Monday 20 June 2011

Usrah: Peranan, Ciri & Persediaan Harakah Islamiah

Oleh: ustaznik


"panji-islamDalam Bab ke 3, bahagian ke II dari buku Apa Erti Saya Menganut Islam, almarhum Ustaz Fathi Yakan membicarakan tentang peranan, ciri dan persediaan harakah Islamiyyah.

Topik ini datangnya selepas topik yang ke 2 iaitu saya mesti meyakini beramal untuk Islam itu wajib. Saya kupas perkara ini (ciri, peranan dan tanggungjawab harakah islamiyah) dalam usrah di sini: ciri, peranan, tggjwb harakah islamiyyah (3) . Huraiannya lebih lanjut secara bertulis dari buku tersebut seperti di bawah:

Peranan Harakah Islamiyah ialah membawa manusia supaya mengabdikan diri kepada Allah sama ada secara individu atau jama’ah dengan berusaha dan bekerja untuk menegakkan masyarakat Islam yang menjadikan Kitabullah (Al-Qur’an) dan Sunnah Rasulullah s.a.w sebagai sumber hukum dan pengajarannya.
Harakah Islamiyah ialah satu tanzim ‘alami yang merangkumi para petugas dalam arena dakwah di seluruh pelosok muka bumi. Untuk mencapai matlamat di atas, Harakah Islamiyah menggunakan dakwah Islamiyah yang bersih lagi murni, sesuai dengan permasalahan dan tuntutan masa kini dan akan datang. Termasuk dalam cara ini ialah mengajak masyarakat supaya turut serta di dalam gerakan Islam dan menyusun mereka dalam gerakan tersebut. Dalam persediaannya pula mereka mestilah dididik supaya meyakini perjuangan ini supaya dengan keyakinan itu mereka akan bekerja untuk Islam dan berjihad di dalamnya.

Di antara tuntutan yang dimaksudkan ialah menghapuskan penjajahan dan saki baki pemikiran dan falsafahnya, sama ada penjajah timur mahupun barat, sehingga umat Islam kembali semula kepada keperibadiannya yang asal dan bebas.

Sejak hari-hari awalnya Harakah Islamiyah telah memberi perhatian berat dalam urusan membersihkan ajaran Islam dari saki baki bidaah dan khurafat dan mengemukakan Islam kepada orang ramai dalam bentuknya yang murni sesuai dengan keagungannya dan ketinggiannya.

Harakah Islamiyah meyakini bahawa hukum-hukum Islam dan ajarannya bersifat sempurna dan menyeluruh, mampu menyusun seluruh urusan manusia di segala bidang.

Harakah Islamiyah menganggap bahawa kaedah asasi yang menjadi tapak tertegaknya Islam di sepanjang sejarah manusia ialah kaedah “Lailaha illah” (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) iaitu mengesakan Allah dalam uluhiyyah (ketundukan dan kepatuhan) dan hakimiyah (kehakiman dan perundangan) dengan pengertian mengesakan Allah di sudut ‘akidah di dalam hati, di sudut ibadah terjelma di dalam syiar-syiar dan di sudut syariat pula terjelma di dalam realiti kehidupan.

Harakah Islamyiah juga meyakini bahawa Islam adalah kekuatan asasi untuk membangunkan umat Islam, kekuatan asasi untuk menyelamatkan seluruh dunia, kekuatan asasi untuk membebaskan manusia dari belenggu penindasan taghut dan para pelaku kezaliman sehingga tidak ada lagi fitnah dan agama seluruhnya hanya untuk Allah.

Harakah Islamyiah berpendapat bahawa menerima dan mengamalkan sistem kapitalisme, sosialisme, komunisme dan lain-lain sistem ciptaan manusia merupakan satu kekufuran terhadap Islam yang agung, menderhakai Allah pemilik alam semesta, perjalanan hidup yang tidak dipandukan oleh petunjuk Ilahi, meraba-raba dalam keadaan yang tidak memberikan apa-apa faedah, menghabiskan tenaga-upaya dan masa. Allah berfirman, maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (Al-’Imran 3: 85)

Sebenarnya Al-Imam Hasan Al-Banna rahimahullah (semoga Allah meredainya) telah menyimpulkan tentang peranan Harakah Islamiyah dengan berkata:

“Peranan kita secara umum ialah tegak berdiri menghadapi serangan arus taghut yang terdiri dari tamadun kebendaan, peradaban yang mementingkan kemewahan dan nafsu-syahwat, yang telah meratah bangsa-bangsa umat Islam. Tamadun ini telah menjauhkan umat dengan kepimpinan Nabi s.a.w dan petunjuk Al-Quran, ia telah menghalang alam jagat ini daripada cahaya petunjuk dan menyebabkan umat Islam mundur terkebelakang beratus-ratus tahun.

Peranan ini mestilah berterusan sehinggalah bumi kita bebas dari belenggunya dan bangsa kita terselamat dari balanya. Dan peranan kita bukanlah terhad di sini sahaja malah kita akan menghadapi dan memerangi peradaban tersebut di bumi tempat kelahirannya sehingga seluruh alam ini akan melaungkan nama Nabi Muhammad s.a.w sehingga manusia semuanya meyakini Al-Quran dan naungan Islam akan meneduhi alam. Di saat inilah tercapainya cita-cita seorang muslim, maka di kala itu tiada lagi fitnah ke atas agama ini dan jadilah agama ini semata-mata bagi Allah. Firman Allah bermaksud: “..Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira; 5- Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Rum 30: 4-5)

Inilah peranan dan tanggungjawab kita secara umum. Adapun secara terperincinya maka tanggungjawab kita kepada umat Islam ialah:

1. Sistem Pemerintahan Dalam Negeri. Dengan wujudnya sistem ini akan terlaksanalah hukum-hakam sebagaimana yang dituntut dalam firman Allah, maksudnya: “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanya sanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq.” (Al-Maidah 5: 49)
2. Sistem Hubungan Antarabangsa. Dengan wujudnya sistem ini akan terlaksanalah bentuk perhubungan sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah, maksudnya: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (Al-Baqarah 2: 143)
3. Sistem Amali Dalam Kehakiman. Sistem ini adalah bersumber dari firman Allah, maksudnya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Al-Nisa’ 4: 65)
4. Sistem Pertahanan Dan Ketenteraan. Dengan perlaksanaan sistem ini dapat digerakkan rakyat umum sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah, maksudnya: “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam)”. (Al-Taubah 9: 41)
5. Sistem Ekonomi (Iqtisad). Sistem ini bertujuan membebaskan kekayaan, harta-benda, negara dan individu-individu berdasarkan firman Allah, maksudnya: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan”. (Al-Nisa’ 4: 5)
6. Sistem Kebudayaan Dan Pelajaran. Sistem ini adalah untuk menghapuskan kejahilan dan kebodohan selaras dengan perintah wahyu yang pertama dari Al-Quran, maksudnya: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan.” (Al-’Alaq 96: 1)
7. Sistem Kekeluargaan dan Rumah-tangga. Sistem adalah untuk membentuk putera-puteri yang Muslim dan golongan dewasa Muslim yang melaksanakan perintah Allah dalam firmanNya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala)”. (At-Tahrim 66: 6)
8. Sistem Hidup Perseorangan. Sistem ini adalah bertujuan menjadi pedoman hidup bagi individu secara khusus supaya kehidupannya berjaya mencapai maksud firman Allah, bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah (berjayalah) sesiapa yang membersihkan dirinya.” (Asy-Syams 30: 9)
9. Menghidupkan roh atau semangat kejiwaan secara keseluruhan dalam setiap diri individu di kalangan ummah sama ada pemerintah ataupun rakyat kerana melaksanakan tuntutan Allah Taala, maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas 28; 77)
10. Akhirnya kita mahu supaya lahirnya individu muslim, rumah tangga muslim, rakyat muslim dan pemerintahan Islam. Kita ingin membina sebuah negara (daulah) yang mampu memimpin negara-negara Islam yang lain, sebuah negara merangkumi seluruh umat Islam, sebuah negara yang dapat mengembalikan keagungan mereka, mengembalikan tanah air mereka yang telah hilang dan mengembalikan tanah air mereka yang dirampas dan di tawan. Selain dari peranan dan tanggungjawab tadi, kita mahu supaya Daulah Islamiyah ini mengepalai pembawa panji-panji jihad dan dakwah ke seluruh alam sehingga dunia ini dapat mengecap kebahagiaan dari ajaran Islam. bersambung..

Sumber : TKO

No comments:

Post a Comment