Thursday 15 December 2011

Tak pernah bincang DAP letak calon Melayu

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan DAP boleh meletak kan sesiapa sahaja calon yang dimahukan termasuk Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-13 sambil menambah rakan komponen dalam Pakatan Rakyat tidak boleh menghalang hasrat itu.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, isu DAP mahu meletakkan calon Melayu bertanding di kerusi majoriti Melayu tidak pernah dibincangkan di peringkat Pakatan Rakyat, malah katanya, DAP juga tidak mempunyai kerusi yang majoritinya Melayu.

“Kita tidak pernah bincangkan perkara itu, ia hanya perbincangan biasa kerana kawasan majoriti Melayu tidak ditandingi DAP dan ini berdasarkan pengalaman yang lalu tidak mungkin DAP akan letakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu kerana DAP tidak mempunyai kerusi itu.

“Ia tidak akan berlaku, apa yang saya tahu DAP mahu letakkan calon Melayu di kawasan majoriti Cina,” katanya.

Beliau menambah sebaik sahaja pembahagian kerusi selesai PAS-KeADILan-DAP boleh memutuskan untuk meletakkan calon masingmasing.

“Berdasarkan pengalaman lalu, bila sudah putuskan kerusi atau kawasan DAP mahu letakkan siapa calon itu kebebasan mereka. Kita tiada sekatan untuk menghalang.

“Ia hak parti masing-masing untuk putuskan siapa calon, parti bebas nak letakkan sesiapa, itu hak parti masing-masing,” katanya.

Desas-desus mengatakan DAP mahu meletakkan calon Melayu bertanding di kerusi majoriti Melayu sudah lama bertiup kencang malah pemimpin Umno juga mengingatkan BN supaya berwaspada dengan strategi itu.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar juga menegaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam Pakatan Rakyat.

“Kita nak bincang apa kalau perkara ini tidak pernah timbul,” jawabnya ringkas.

Sumber : PAS.org

No comments:

Post a Comment