Saturday, 24 July 2010

BIL0049 - Israel masih laksanakan penempatan haram di Palestin

NEW YORK 22 Julai - Utusan Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menuduh Israel sebagai membicarakan keamanan walhal menjalankan 'rancangan haram' membangunkan penempatan sebelum rundingan damai dimulakan.

Riyad Mansour memberitahu Majlis Keselamatan PBB mengenai tindakan Zionis berkenaan termasuk membina penempatan haram Yahudi, memusnahkan kediaman penduduk Palestin di timur Baitulmaqdis, lebih 900 pencerobohan tentera dan penahanan lebih 380 penduduk Palestin sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, ia memberi kesan buruk kepada rundingan tidak langsung dengan Israel yang diusahakan oleh Amerika Syarikat.

Katanya, Majlis Keselamatan dan Kuartet Damai Asia Barat yang terdiri dari PBB, AS, Kesatuan Eropah dan Rusia, perlu berhenti memujuk Israel dan menimbangkan tindakan bersama untuk memaksa rejim Yahudi itu mematuhi kehendak antarabangsa serta menyelamatkan penyelesaian dua negara 'dalam rangka waktu yang dipercepatkan'.

Duta Israel ke PBB, Gabriela Shalev berkata, sudah tiba masa untuk bergerak dari rundingan tidak langsung kepada rundingan langsung dengan Palestin tanpa sebarang prasyarat atau penangguhan.

Mansour pula mengulangi desakan tetap Palestin agar pembinaan penempatan haram dihentikan yang menjadi kunci utama untuk rundingan damai dimulakan.

Beliau menuduh Israel enggan mematuhi komitmen masa lalu termasuk perkara yang dipersetujui semasa sidang kemuncak Asia Barat di Annapolis, Maryland pada November 2007 yang sepatutnya melancarkan semula rundingan damai yang berakhir dengan satu perjanjian pada penghujung 2008. - AP

No comments:

Post a Comment