Thursday, 4 April 2013

PRU13: PAS arah solat hajat, tingkat keselamatan

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengarahkan jentera parti mempertingkatkan kawalan keselamatan khususnya di bilik gerakan MTD untuk mengelakkan sebarang provokasi.

Katanya, usaha itu sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan pelbagai cara yang mungkin akan digunakan pihak musuh untuk menimbulkan sebarang kekacauan dan provokasi sepanjang tempoh berkempen.

Sementara itu, beliau turut meminta jentera dapat memberi fokus kepada kerja-kerja yang diarahkan oleh parti selepas parlimen bubar sehingga ke hari pilihan raya.

"Dalam waktu genting ini, seluruh jentera parti pertingkatkan lagi gerak kerja untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Malah, beliau sekali lagi mengingatkan agar jentera kerja parti tidak lupa untuk menunaikan solat hajat tiap-tiap malam sehinggalah pilihan raya.

Berhubung calon pilihan raya, katanya PAS sudah senarai akhir nama-nama calon yang akan bertanding namun pengisyitharan calon akan diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Wednesday, 3 April 2013

PRU13: PAS jangka hari mengundi 27 April

Cicak Man pun dah sokong PAS,mengkome bile lai??

KUALA LUMPUR: PAS menjangkakan tarikh pembuangan undi pilihan raya umum ke-13 pada 27 April, manakala 13 April sebagai tarikh penamaan calon.

Justeru, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr. Mohd Hatta Ramli menggesa semua jentera parti di setiap peringkat menggunakan tarikh tersebut bagi memandu gerak kerja.

Tambah beliau, biarpun PAS sudah lama bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum, dengan tarikh jangkaan ini diharapkan jentera parti akan lebih giat dlakukan.

"Tarikh-tarikh ini boleh jadi mungkin akan berubah.  Tetapi, sehingga kini, saya seru semua jentera agar bergerak berpandukan tarikh ini," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Hatta berkata PAS akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada PRU13 ini sebelum tarikh penamaan calon yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau percaya, akan ada pengumuman awal bagi calon-calon yang diputuskan, yang dilihat boleh membawa impak positif kepada kempen Pakatan Rakyat.

PAS Perlis merupakan negeri pertama yang mengumumkan bakal calon yang akan bertanding di kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Pengumuman itu dibuat kira-kira 15 minit sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran parlimen, pada 11.35 pagi tadi.





Friday, 29 March 2013

Fokus PRU13: Parlimen Arau dalam genggaman PAS


ARAU: Parlimen Arau (P003) antara yang paling awal memutuskan calon-calon yang akan bertanding pada PRU13 nanti.

Pembahagian kerusi PAS ini sedikit sebanyak membuatkan Umno BN di negeri itu tidak senang duduk malah dimaklumkan mereka masih lagi bertelagah sesama sendiri untuk menentukan calon yang akan bertanding ekoran masalah dalaman Umno yang semakin kritikal.

Parlimen Arau mempunyai lima Dun iaitu N11 Pauh, N12 Tambung Tulang, N13 Guar Sanji, N14 Simpang Empat dan N15 Sanglang.

Pada PRU12, calon PAS, Datuk Dr Haron Din yang memperolehi 16,451 undi tewas kepada calon BN dengan majoriti hanya 300 undi.

Jumlah pengundi P003 pada PRU13 adalah 43,061 orang di mana pengundi kaum Melayu seramai 37,044, Cina (3,437), India (686), dan Siam (1,078).

Bagi mengetahui sejauh mana persiapan jentera PAS di Parlimen Arau, ikuti temubual wartawan Harakahdaily bersama Pengarah Pilihan Raya PAS Kawasan, Khairuddin Che Mat (gambar) yang ditemui di Pejabat MTD Simpang Empat,  baru-baru ini.

Sehingga hari ini, bagaimana persiapan jentera pilihan raya di peringkat kawasan Arau? Berapa peratus persiapan yang telah bergerak?

Pertukaran pengarah pilihan r
aya kerap berlaku, dan saya adalah pengarah yang keempat untuk tempoh ini.  Kali ini banyak kita gabungkan tenaga muda dengan tenaga veteran, seingga kini sudah 95 peratus persiapan yang dilakukan. Sekarang ini masuk ke peringkat memperkemaskan portfolio calon di mana akan digerakkan oleh kawasan masing-masing. Misalnya pihak pengurusan calon akan memberi taklimat kepada wakil calon, kemudian wakil calon akan bagi taklimat kepada pencadang dan penyokong . Seterusnya jawatankuasa logistik akan memanggil portfolio logistik di peringkat Dun. Bermakna di peringkat portfolio sudah bergerak bagi kawasan masing-masing. Macam media baru pun kita sudah gerakkan dan mereka berjalan dengan kumpulan merekalah, yang baru kita tubuhkan. Sekarang persiapan yang terkini kita sedang mempersiapkan video di mana video menjelaskan manifesto Pakatan Rakyat Perlis, video rayuan kepada pengundi-pengundi oleh calon-calon mereka antaranya rayuan untuk balik mengundi.  Kita juga akan memulakan ceramah berkelompok oleh calon-calon yang bertanding untuk menerangkan manifesto 7 agenda awal Pakatan Rakyat Negeri Perlis. Untuk di Arau calonnya Datuk Haron Din akan memanfaatkan perubatan Islam Darul Syifa' untuk berkempen pada PRU nanti.

Mengapa PAS Arau lebih teruja menggunakan media baru untuk berkempen adakah ini merupakan medium utama untuk menarik pengundi-pengundi muda?

Ya. Ini adalah antara sebab utamanya. Saya ingat penggunaan media baru ini akan mendapat sambutan khususnya kepada pengundi-pengundi muda. Misalnya kita sudah wujudkan laman Facebook Arau La Ni, baru seminggu kita tubuhkan. Nampaknya mendapat maklum balas yang baik oleh para pengundi muda.  Dan daripada sini kita akan kembangkan lagi misalnya kita cuba hidupkan suasana berkempen misalnya kita ketengahkan calon-calon untuk bercakap sendiri dengan para pengundi mereka. Malah video Arau yang kita muat naik telah disukai lebih 6,000 pengguna Facebook dan Youtube.

Dalam saat-saat genting ini, apakah isu-isu yang sering dimainkan oleh Umno BN dalam menyerang Pakatan Rakyat di Perlis khususnya di Arau?

Di sini isu yang sering dicanangkan oleh Umno BN adalah isu DAP (pemerintah). Apabila mereka masuk kampung akan bawa isu inilah. Umno BN akan mencanangkan apabila DAP menang dalam PRU ini mereka akan bergabung dengan MCA, dan Cina yang akan memerintah negara ini. Baru-baru ini saya ada jumpa Umno Padang Besar,  dan bertanya dengannya apa isu untuk Umno menghentam PAS mereka kata "kalau boleh biar PAS sebut Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai calon Perdana Menteri" Umno minta sebab mereka hendak buat isu untuk melagakan PAS dengan Anwar Ibrahim. Malangnya PAS tidak pernah menyebut perkara ini.  Jadi Umno mahu isu ini dijadikan umpan untuk mereka melaga-lagakan PKR dengan PAS.

Selain itu, isu yang lama masih lagi didendangkan Umno BN untuk meraih undi rakyat Perlis khususnya adalah isu fitnah Anwar iaitu liwat, di mana pendedahan bapa Saiful didakwa dibayar oleh Anwar, inilah yang sering dibawa dalam ceramah-ceramah Umno BN. Selian itu isu kalimah Allah dan pemberian BR1M, di mana Umno BN memutarbelitkan apa yang diungkapkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu dengan mengatakan Nik Abdul Aziz menghina penerima BR1M. Di sini kami menerangkan semula kepada pengundi-pengundi apa maksud sebenar yang hendak disampai oleh Mursyidul Am PAS.

Daripada isu-isu yang cuba dimainkan oleh Umno BN ini, sejauh mana ianya boleh mempengaruhi pengundi-pengundi di sini?

Isu BR1M memang terjejas bagi Melayu Perlis. Isu jawapan kepada Nik Abdul Aziz ini sukar untuk mereka fahamkan. Inilah yang dijadikan modal untuk Umno hentam PAS di pentas ceramah mereka, dan keadaan ini cukup mempengaruhi pengundi Melayu. Di sinilah peranan jentera PAS untuk menangkis tohmahan yang dilemparkan oleh Umno BN. Melayu Perlis ini susah untuk terima sebab 'termakan budi' banyak sangat. Kaum Cina...Insya Allah. Kaum Cina kita berani kata 50 peratus menyokong Pakatan
Rakyat.

Bergantung harap kepada undi Cina sahaja tidak mencukupi? Bagaimana PAS dan Pakatan Rakyat mahu memastikan kemenangan berpihak kepada PAS dalam PRU ini?

Pengundi muda insya Allah akan memihak kepada Pakatan Rakyat. Berdasarkan culaan kita 70 peratus pengundi muda memihak kepada kita manakala 100 peratus pengundi luar yang pastinya balik mengundi turut berpihak kepada PAS. Saya yakin. Sebab itulah kita dalam usaha untuk memastikan pengundi luar balik mengundi dalam PRU nanti. Sebelum ini, calon Parlimen Arau P003 Datuk Haron Din pernah menyebut pada PRU 2004 dia kalah dengan majoriti 3,000 lebih, PRU 2008 dia kalah majoriti 300 lebih, dan PRU13 dia akan menang. Bila dia cakap begitu kita kenalah bekerja kuat bagi memastikan kemenangan ini.

Isu 'pergaduhan' dalaman Umno BN membabitkan bekas menteri besar masih berlarutan, sejauh mana isu ini boleh memberi kredit kepada PAS dan Pakatan Rakyat?

Isu pergaduhan YB Tambung Tulang dengan YB Guar Sanji sehingga ada yang sanggup memberi upah ratusan ringgit untuk melakukan kekerasan, memandangkan YB Guar Sanji dikatakan memihak kepada Menteri Besar Perlis sedangkan kedudukan beliau hari ini hasil pelobian YB Tambun Tulang. Malah perkara itu dimaklumkan oleh YB Tambung Tulang ketika di dalam satu mesyuarat, semua orang tahu isu ini. Jadi inilah permusuhan diantara Umno BN sendiri sehingga menjejaskan proses untuk memilih calon di kalangan mereka bagi PRU nanti. Dan saya lihat PAS dan Pakatan Rakyat perlu mengambil peluang atas masalah dalaman Umno BN ini menjelang PRU ke-13 nanti. Sikap samseng di kalangan Umno BN tidak pernah berubah, misalnya apa yang berlaku belon panas yang dilancarkan PAS dua minggu lalu dikianati, mereka yang tidak bertanggungjawab memotong tali belon tersebut. Kita telah membuat laporan polis.

Wednesday, 6 March 2013

Mengapa Sulu ceroboh di ambang PRU13?


KETEREH: Mungkinkah ada kaitan kemunculan penceroboh yang mendakwa pewaris kesultanan Sulu di Lahad Datu dengan tarikh pembubaran parlimen Malaysia?

Dalam kehangatan isu berkenaan, penggal ke-12 Dewan Undangan Negeri Sembilan akan berakhir pada 22 Mac ini, manakala parlimen pula pada 28 April depan.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, ketika suasana politik sekarang dianggap ramai tidak menyebelahi Umno dan BN, tiba-tiba pula muncul isu lain.

Mungkinkah katanya, dalam suasana itu Umno mencari kaedah lain pula bagi meneruskan kuasa yang ada.

“Sedangkan kita tahu keturunan Sulu ada susur galurnya daripada keturunan Nabi Muhammad saw. Mereka terkenal dengan amalan Islam.

“Bagaimanapun rakyat kecewa cara pengurusan isu Lahad Datu yang dilakukan kerajaan. Kerajaan BN seperti lumpuh. Timbul persoalan kalangan rakyat mengapa penceroboh datang ketika dekat tarikh tarikh PRU13,” katanya pada program solat hajat keamanan di Kok Lanas malam tadi.

Pada program berkenaan diadakan solat hajat diketuai anggota jawatankuasa Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Mat. (Gambar atas)

Program yang bermula solat Maghrib diadakan di padang Maahad Tahfiz Sains Kok Lanas disertai ribuan rakyat Kelantan.

Isu pencerobohan di Lahad Datu yang berlarutan hampir sebulan berakhir dengan tragedi berdarah apabila ramai penceroboh dan anggota keselamatan menjadi korban.

Bagaimanapun isu berkenaan menjadi begitu rumit apabila berita dari Manila mendakwa komander Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang pernah dilatih di Malaysia akan datang membantu pasukan Kesultanan Sulu di Sabah.

Bekas ketua propaganda MNLF, Hadji Acmad Bayam ketika memberitahu Buletin Manila, MNLF disebutnya mempunyai simpanan senjata yang banyak disembunyi di Sabah dibekal pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.

Bayam juga mendakwa ramai penduduk Filipina yang tinggal di Sabah telah menyertai perjuangan pasukan Sulu.

Sebelum ini isu kad pengenalan kepada warga asing dibongkar pada perbicaraan dikendalikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di Sabah, di mana ada dakwaan ribuan penduduk Filipina diberi IC.

Husam berkata, projek IC ada kaitan dengan usaha bagi menumbangkan kerajaan PBS di Sabah pada 1995.

Oleh itu katanya, kebimbangan sekarang kerajaan boleh mengulangi sejarah yang pernah dilakukan dengan mengisytiharkan Mageran (darurat) di Kelantan pada 1977 bagi menumbangkan kerajaan PAS.

Beliau juga meluahkan rasa terkejut ketika isu keselamatan diperkatakan meluas, Majlis Keselamatan Negara pula dikatakan menganjur forum politik di Tanjung Chat dengan mengundang pemimpin Umno dan wakil dari selatan Thailand.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, projek IC membabitkan ramai warga asing kemungkinan besar akan menimbulkan krisis serupa pada masa datang.

“Sekarang rakyat Filipina yang membuat onar, mungkinkah pada masa hadapan rakyat  Indonesia, Bangladesh atau mana-mana negara yang diberi IC mengambil tindakan serupa.

“Inilah persoalannya sekarang. Di sebalik isu di Lahad Datu seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan kerajaan. Oleh itu kita menuntut Perdana Menteri menjelaskan keadaan sebenar,” katanya.

Wednesday, 16 January 2013

Kalimah Allah : Tiada Percanggahan Antara Pemimpin PAS

KUALA LUMPUR: Kenyataan para pemimpin PAS mengenai kalimah “Allah” tidak bercanggah antara satu sama lain, malah ia selari dengan pendirian dan ketetapan Majlis Syura PAS yang diputuskan dalam mesyuaratnya pada 13 Januari lalu.

Dalam ketetapan menerusi mesyuarat itu, Majlis Syura memutuskan, sesiapapun boleh menggunakan kalimah “Allah”, namun ia tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia dan demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Setiausaha Majlis Syura PAS, Dato’ Nik Muhamad Zawawi Salleh menegaskan, menterjemah kalimah “God” atau “Lord” dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan “Allah” tidak dibolehkan kerana ia salah daripada segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.

Menurut beliau, ia hendaklah dicegah dan perkara itulah selama ini yang ditegaskan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Ketetapan Majlis Syura dan kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sememangnya selari.

“Tiada sebarang percanggahan pun. Jadi tiada sebab untuk pihak tertentu menuduh di sebaliknya pula,” katanya ketika dihubungi Harakah 15 Januari lalu.

Ustaz Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat menegaskan, ketetapan begitu diambil kerana kebenaran mengenai Allah mesti ditegakkan.

“Majlis Syura berharap isu kalimah Allah ini ditangani dengan baik oleh kerajaan kerana urusan penterjemahan buku-buku dan kitab Injil ini adalah urusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Seharusnya KDN mengambil penegasan dalam perkara ini dan jangan sesekali menuding jari kepada orang lain kerana ia berada dalam bidang kuasa kementerian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, ketetapan itu telah dijelaskan sendiri oleh Tuan Guru Abdul Hadi kepada Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam mesyuarat Pakatan Rakyat minggu lalu dan Guan Eng ternyata menerimanya dengan baik.

“Penjelasan itu telah diberikan kepada Lim Guan Eng dan dia mendengar dengan baik. Dia hanya mendiamkan diri ketika mendengar penjelasan tentang pendirian PAS itu kerana sebelum ini dialah yang minta penggunaan kalimah “Allah” untuk Bible versi bahasa Melayu,” jelasnya.

Selepas penjelasan itu dibuat kepada Guan Eng, jelas Ustaz Nik Zawawi, Tuan Guru Abdul Hadi telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai kalimah Allah dan kenyataan beliau itu sama sekali tidak bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura.

“Cuma orang silap faham. Saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Bila kita dah buat ketetapan ini, kita minta kepada semua umat Islam untuk terima ketetapan ini.

“Ketetapan ini adalah terbaik untuk agama Islam dan semua agama lain yang ada di Malaysia. Kita juga meraikan hak-hak mereka (orang bukan Islam) tidak ada masalah, cuma mereka tidak boleh cemarkan kalimah Allah kerana kalimah ini adalah dikhususkan oleh orang Islam sahaja,” jelasnya lagi.

Majlis Syura, jelas Ustaz Nik Zawawi lagi, tidak mengizinkan orang bukan Islam menterjemah kalimah “Allah” kepada kitab orang Kristian iaitu Bible.

Katanya, Allah mengikut kebenarannya menunjukkan Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan Yang Maha Satu yang tidak beranak dan tidak diperanakkan ataupun tidak mempunyai isteri.

“Apabila perkataan Allah hendak digunakan oleh masyarakat Kristian, maknanya lari, kerana orang Kristian mengatakan Allah ini ada tiga, ada anak, ada isteri. Ini tidak sebagaimana yang disebut dalam alQuran. Kita tegaskan disini, itu bukan Allah SWT.

“Jadi bagi masyarakat Kristian, mereka hanya dibenarkan menggunakan perkataan ‘God’ atau ‘Lord’. Itu ikut pandai dialah. Kita tidak terima perkara ini,” tegas beliau.

Sumber : http://ulamak.pas.org.my

Monday, 14 January 2013

Kenyataan Rasmi Majlis Syura Ulamak Berkenaan Isu Kalimah ALLAH




Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Rabiul Awal 1434H bersamaan 13/1/2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara berikut :

1) Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

2) Kalimah Allah adalah 'alami (universal) kerana Allah tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang arab jahiliyyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.

3) Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Kenyataan media ini adalah memperjelaskan maksud kenyataan Al-Mursyidul Am, Presiden dan kepimpinan PAS.

Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS ini juga telah membincangkan isu sedutan ucapan Tuan Guru Presiden yang diangkat martabatnya menjadi amanat dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Tuan Guru Presiden memperjelaskan isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia
Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Tuan Guru Datuk Dr Haron Din
Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Sumber : Dewan Ulama PAS Pusat

Tuesday, 25 December 2012

Amanat Haji Hadi: UMNO Terasa Pedasnya Cili ?

Tiba-tiba sahaja isu PAS kafirkan UMNO melalui 'Amanat Haji Hadi' timbul. Sekian lama ia tidak pernah dibicarakan, tiba-tiba menjadi perbualan hangat di media seolah-olah ada perancangan rapi dan tujuan tertentu ia dibangkitkan.

Tidak dapat dinafikan bahawa UMNO sedang mencari isu untuk menyediakan suasana kondusif untuk mengadakan pilihanraya. Untuk menang, UMNO perlu mencari isu-isu yang menyerang PAS dan Pakatan Rakyat iaitu isu-isu yang boleh menjadi 'kambing hitam' untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap penyelewengan UMNO dan Barisan Nasional.

Pengakuan Deepak melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu pembunuhan Altantuya dan pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap campurtangan Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam urusan polis sangat merimaskan UMNO untuk menghadapi pilihanraya. Amat sukar untuk UMNO dan Barisan Nasional menang dalam pilihanraya jika mereka dalam keadaan bertahan, tidak menyerang.

Justeru, peluru 'zaman Jepun' perlu digunakan untuk menyerang balas Pakatan Rakyat. 'Amanat Haji Hadi' dilihat isu yang terbaik untuk menyerang walaupun ia adalah isu lapuk. UMNO silap jika menyangka bahawa peluru tersebut boleh mematikan sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Rakyat telah pun memahami bahawa isu ini ditimbulkan hanyalah kerana pilihanraya makin hampir.


'Amanat Haji Hadi' bukan ucapan menghukum orang UMNO sebagai kafir. Ia adalah ucapan untuk menerangkan kepada seluruh umat Islam tentang batas iman dan kufur. Tugas menerang adalah tugas yang menjadi tanggungjawab semua para pendakwah agar umat Islam tidak tergelincir daripada aqidah yang sebenar.

Perhatikan kata-kata 'amanat' tersebut: "Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku, agama suku." Jelas, ia adalah amaran agar umat Islam perlu berhati-hati agar tidak mengamalkan politik suku, agama suku kerana ia boleh merosakkan aqidah.

Begitu juga perkataan: "Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam." Perkataan ini bukan bermaksud orang UMNO itu kafir, jika mati berlawan dengan mereka maka ia mati syahid. Tetapi maksud mati syahid di sini ialah mati dalam keadaan memperjuangkan Islam dan menegakkannya. Perjuangan PAS adalah jihad yang mendapat balasan pahala daripada Allah s.w.t. Jihad itu sendiri mempunyai makna yang luas yang tidak terhad pada peperangan dan pembunuhan. Ia melingkupi semua usaha dan pengorbanan sama ada masa dan harta untuk menegakkan agama Allah.

Kenyataan bahawa "Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO, kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah" menguatkan lagi bahawa 'amanat' tersebut ditujukan kepada semua orang Islam. Ia bermaksud sesiapa sahaja sama ada UMNO atau pun tidak yang mengekalkan perlembagaan sekular penjajah akan ditentang.

UMNO perlu membezakan di antara 'menerang' dan 'menghukum'. 'Menerang' adalah menyebut secara umum tanpa disebut nama individu yang terlibat sebagaimana yang terdapat dalam 'amanat' tersebut. Ada pun menghukum, ia adalah dakwaan terhadap individu tertentu. Ia bukan kerja para pendakwah tetapi ialah adalah tugas para hakim. Hakim perlu mendapatkan bukti bahawa fulan bin fulan telah mengatakan sesuatu yang menjejaskan aqidah tanpa dipaksa dan dalam keadaan jahil. Jika cukup keterangan maka hakim boleh menjatuhkan hukuman kafir terhadap individu tersebut.

UMNO umpama orang yang memakan cili dan merasai pedasnya. Adakah orang UMNO merasai bahawa mereka telah memisahkan antara politik dengan agama? Oleh kerana itu mereka merasakan bahawa 'amanat' tersebut hanya ditujukan kepada mereka sedangkan ia ditujukan kepada semua orang Islam hatta kepada orang PAS sendiri. Hakikatnya, UMNO tidak dapat membezakan di antara 'menerang' dan menghukum'. Mereka tidak perlu terasa jika mereka tidak pernah menganggap politik tiada kena mengena dengan agama. Mereka sepatutnya menyedari pentingnya agama dalam memandu politik.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host