Monday 7 April 2014

GST: Nasihat salah dari 'Qarun' luar negara

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan di negara ini dianggap sebagai nasihat yang salah daripada 'Qarun' luar negara.
Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata pihaknya bimbang jika ia merupakan nasihat dari luar negara seperti Bank Dunia (IMF), penyangak-penyangak kewangan luar negara, termasuk penyangak kewangan dalam negara yang mahu menekan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang GST, di Dewan Rakyat, hari ini.
"Soalnya adakah hasil dari cukai seperti Petronas dan lain-lain diurus dengan betul? Adakah cukai dari mereka yang layak selama ini diurus dengan baik? Perkara ini perlu dilihat untuk mengimbangi hasil sedia ada?" soal beliau.
Sebelum itu, beliau turut memaklumkan kepada dewan bahawa mengikut petunjuk yang betul, kerajaan boleh memanfaatkan hasil tanpa mengenakan cukai atau mengurangkan cukai.
Tambah beliau, cukai menurut pandangan Islam boleh digunakan jika dalam keadaan darurat.
"Adakah negara kita sekarang dalam keadaan darurat sehingga memerlukan GST? Saya bimbang ia adalah nasihat daripada Qarun," tegas beliau yang menerima gangguan daripada wakil rakyat BN.
Presiden PAS itu mengingatkan bahwa sering kali kerajaan membuat perbelanjaan tambahan, yang bukan disebabkan tidak mencukupi.
Sebaliknya, perbekalan tambahan biasanya dibentangkan ekoran keborosan, pembaziran dan kebocoran dalam urusan menguruskan hasil negara.

Ketika ini, beberapa ahli parlimen BN bersorak dan bangun memohon penjelasan, bagaimanapun tidak diendahkan Ustaz Hadi.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya beberapa kali bangkit memohon penjelasan sehingga ditegur timbalan speaker dewan, Datul Ismail Mohamed Said agar menghormati pihak yang sedang berucap.
Selain Shabudin, turut mengganggu perbahasan beliau ialah Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr. Noor Azmi Ghazali, dan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr. Marcus Mojigoh.
Bagaimanapun, Ustaz Hadi kemudiannya memberikan laluan kepada Shabudin untuk memohon penjelasan serta bukti jelas yang menunjukkan kerajaan berbelanja boros dan membazir.
"Yang Berhormat kena baca laporan audit negara tiap-tiap tahun. Yang Berhormat kena ingat yang kami bukan Melayu mudah lupa.
"Tiada sebarang tindakan yang diambil dari hasil laporan tersebut. Yang kena pegawai-pegawai bawahan, ikan bilis. Yang atas-atas, menteri dilepaskan. Di mana integriti?" tegas beliau lagi menjawab pertanyaan Shabudin.
Tegas beliau lagi, jika tiada sebarang rasuah, pembaziran, tidak perlu pelaksanaan GST di negara ini.
Beliau turut mengingatkan kerajaan sejauh mana kerajaan merawat penyakit membazir, boros dan kebocoran terhadap projek-projek yang hanya sekadar untuk menunjukkan lagak dan hiburan semata-mata.
Justeru, beliau menyeru kerajaan sama ada mengkaji semula atau memansuhkan sahaja rang undang-undang ini.

No comments:

Post a Comment