Thursday 23 January 2014

Kalimah Allah: Kenyataan Rasmi Majlis Syura Ulama


Isu UMNO BN untuk PRU13 tak banyak. Isu-isu pun tak segar, tak intelektual, tak matang. Tapi perlu juga dijawab apabila mereka cuba mempergunakan isu-isu agama. Dalam Islam, banyak perkara perlu dibahas dengan Ilmu, bukan dengan sentimen. Tapi UMNO BN cuba mempengaruhi rakyat dengan isu-isu agama menggunakan sentimen. Adakah logik, bukan Islam tiada hak berbincang, bertanya, bercakap tentang Islam? Tidakkah UMNO tahu yang Rasulullah tidak pernah menghalang bapa saudaranya Abu Talib membantunya mengembangkan Islam? Abu Talib bukan seorang Islam. Tidak pernah Rasulullah mengajar para sahabat untuk tidak melibatkan Abu Talib dalam kerja-kerja Islam. Kini UMNO BN cuba pula menghalang non muslim menyebut perkataan Allah. Tidakkah UMNO BN tahu yang Allah adalah tuhan kepada non muslim juga? Tidakkah pelik UMNO BN marah kepada bukan Islam hanya kerana meraka mengaku yang tuhan mereka adalah Allah? 

Berikut adalah kenyataan rasmi Majlis Syura Ulama yang ditandatangani oleh kedua-dua ulama iaitu TG Nik Abdul Aziz dan TG Harun Din. Dengan ini hancurlah harapan UMNO BN untuk menggambarkan yang TGNA dan TGHD tidak sependapat.

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan sesiapapun boleh menggunakan kalimah Allah namun Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini.

Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

"Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.

"Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah," kata kenyataan rasmi Majlis Syura Ulamak yang bermesyuarat malam tadi.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan timbalannya, Datuk Dr Haron Din. Berikut adalah kenyataan penuh Majlis Syura Ulamak.

Kenyataan Rasmi Majlis Syura Ulamak

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 13/1/2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara berikut:

1)    Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

2)    Kalimah Allah adalah a'lami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.

3)    Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Kenyataan media ini adalah memperjelaskan maksud kenyataan Al Mursyidul Am, Presiden dan seluruh kepimpinan PAS.

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS ini juga telah membincangkan isu sedutan ucapan Tuan Guru Presiden yang diangkat martabatnya menjadi amanat dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Tuan Guru Presiden memperjelaskan isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia 
Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Tuan Guru Datuk Dr Haron Din 
Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Source : Harakahdaily

No comments:

Post a Comment