Saturday, 3 July 2010

BIL0043 - IRC - PEROSAK KEPADA JEMAAH PAS.


"Saya meneruskan usaha mendedahkan strategi untuk me'nyah'kan ulama' daripada PAS dengan mengambil alih sedikit demi sedikit kepimpinan ulama' PAS. (termasuk golongan profesional yang mendapat tarbiyah PAS)

Golongan ini telah mendapat tarbiyah daripada IRC yang berpusat di UK dan kemudiannya balik ke Malaysia menubuhkan NGO dengan dinamakan Jemaah Islah Malaysia (JIM). Dibawah ini saya siarkan artikel yang pernah disiarkan dalam media elektronik suatu masa dulu.

Oleh (Saya rahsiakan penulisnya)
Risalah "Gerakan Islam - Satu Sejarah Dan Pengalaman" Selongor, 1989]

GERAKAN ISLAM

Apakah yang dimaksudkan dengan Gerakan Islam atau Harakah Islamiah ?
Sebelum itu kita cuba memahami dulu maksud perkataan jamaah. Menurut Hadith yang masyhur tiga orang yang bermusafir hendaklah melantik seorang amir atau ketua dari kalangan mereka. Dalam perkataan lain tiga (atau lebih) orang yang sedang bermusafir dikehendaki menubuhkan sebuah jamaah. Bagaimanapun jamaah ini bersifat sementara sebab sekembalinya musafirin tersebut ke tempat asal mereka jamaah pun dibubarkan.

Berdasarkan kepada pengertian ini setiap pertubuhan atau organisasi, sama ada berdaftar dengan Pejabat Pendaftaran atau tidak, adalah sebuah jamaah. Harakah (Gerakan) bolehlah ditakrifkan sebagai sebuah jamaah yang bergerak/bergiat/berjuang bagi mencapai matlamat yang lebih besar seperti menegakkan ideologi dan cara hidup dengan melibatkan massa atau orang ramai. Oleh itu satu golongan massa yang berjuang bagi menegakkan demokrasi contohnya adalah satu gerakan atau harakah, dan dipanggil Gerakan Demokrasi atau Harakah Demokrasi. Begitu juga dengan Gerakan Nasionalisme bagi menegakkan ideologi dan cara hidup yang berlandaskan perkauman, dan Gerakan Komunis bagi menegakkan sistem komunis, dan sebagainya.

Apa yang dinamakan Harakah Islamiah atau Gerakan Islam merupakan satu jamaah yang berjihad bagi menegakkan sistem hidup Islam (Nizomul Hayatul Islami). Tergolong dalam takrif ini termasuklah jamaah-jamaah Tabligh, Al-Arqam, ABIM, IRC dan PAS.

Harakah Islamiah Syumuliah pula adalah sebuah jamaah yang bermatlamat menegakkan Sistem Hidup Islam yang lengkap (komprehensif), lengkap dari segi keahlian (ulamak, intelek, profesional, petani, buruh, nelayan, dsb.) dan juzuk-juzuk kehidupan (siasah/politik, ekonomi, perundangan (syariat), ketenteraan, dakwah/tabligh, pendidikan (tarbiyah), dsb.) Oleh kerana kesemua ini hanya boleh dilaksanakan dengan tertegaknya sebuah Negara Islam atau Daulah Islamiah, keutamaan perjuangan diberikan kepada jihad dalam bidang siasah, dakwah dan tarbiyah, di samping tidak mengabaikan bidang-bidang lain. Matlamat perjuangan adalah untuk mengembalikan kekuasaan kepada orang-orang mukmin yang bertaqwa dan menyambung semula Khalifah Rashidah.

Di negara kita Harakah Islamiah terbesar dan paling berpengaruh yang menepati takrif ini hanyalah PAS. Di negara-negara lain harakah-harakah yang setanding adalah Ikhwanul Muslimin di Meslr, Jamaatul Islami di Pakistan, Partisi Refah di Turki. Kesemua jamaah ini terlibat di dalam pilihanraya bagi menegakkan Negara Islam, sungguhpun pilihanraya diyakini bukan jalan tunggal untuk mencapai matlamat. Di negara-negara lain yang tidak membenarkan Ummah Muslimin mengambil bahagian di dalam pilihanraya, ataupun negara berkenaan tiada pilihanraya, perjuangan mengambil bentuk jihad bersenjata dan/atau jihad bawah tanah. Contoh jihad bersenjata termasuklah Mujahidin Afghanistan, Mujahidin Patani, Mujahidin Eriteria dan Mujahidin Moro. Contoh jihad bawah tanah ialah Mujahidin di negara-negara komunis, Iraq dan Syria.

Apabila sahaja Negara Islam dapat ditegakkan Harakah Islamiah tidak lagi berfungsi seperti sebelumnya, dan sistem pemerintahan kini berpandu kepada pemerintahan Rasulullah (saw) dan Khalifah-Khalifah Rashidah, khasnya Khalifah Abu Bakr AlSiddiq, Omar Ibnul Khattab, Osman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Omar bin Abdulaziz, semoga Allah meredhai kesemuanya.

GERAKAN ISLAM DI UNITED KINGDOM

Kita mulakan pembicaraan dengan melihat kepada Gerakan Islam di United Kingdom.

Usaha dakwah di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di United Kingdom sebenarnya bermula di Tanah Air sendtri iaitu di Institut Teknologi Kebangsaan (kini dinaikkan taraf kepada Universiti Teknologi Malaysia), sekitar hujung tahun 60'an dan awal 70'an. Sekumpulan pelajar, kebanyakannya pelajar-pelajar kejuruteraan, telah dilatih dan ditarbiyah (dididik) oleh seorang pensyarah pinjaman dari Institut Teknologi Bandung bernama Pak Imaduddin Abdul Rahim untuk menjadi kader-kader dakwah.

Pada awal tahun 70'an perjuangan Islam di Malaysia didukungi oleh dua kumpulan (jamaah/harakah) terbesar: Parti Islam Se Malaysia, PAS (wadah berpenekanan politik) dan Angkatan Belia Islam Malaysia, ABIM (wadah belia dan non-partisan). Bagaimanapun, hubungan antara keduanya adalah erat bak kata pepatah seperti isi dengan kuku, tiap satu memainkan peranan yang saling menguatkan perjuangan Islam (complimentary roles). Kader-kader dakwah ini merasa diri masing-masing berintima' (bersama-sama) dengan ABIM dan PAS sekaligus. Oleh kerana medan perjuangan ABIM adalah di kalangan belia, usaha dakwah di kalangan pelajar dan siswa/i pada masa itu mempunyai hubungan hampir langsung dengan ABIM.

MELANJUTKAN PELAJARAN

Di awal tahun 70'an juga, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan polisi menghantar seberapa ramai yang mungkin pelajar-pelajar Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di United Kingdom. Di antara yang merebut peluang ini termasuklah sebilangan besar kader-kader tersebut. Menerusi program ini mereka dapat mendaftarkan diri di berbagai-bagai universiti dan politeknik di United Kingdom (U.K.). Walaupun demikian, sebahagian besar daripada mereka bertumpu di kawasan Brighton (Selatan U.K.) dan Glasgow (Selatan Scotland). Semasa di U.K. pelajar-pelajar ini berpeluang meneruskan perjuangan Islam disebabkan di sana sudahpun wujud dua kumpulan dakwah besar tiap satu mempunyai hubungan dengan jamaah induk masing-masing di India dan Pakistan. Kumpulan-kumpulan ini adalah Jamaah Tabligh dan United Kingdom Islamic Mission, [cawangan Jamaatul Islami (Maududi), Pakistan].

PERPECAHAN

Pertemuan ini telah memberi pengalaman baru kepada kader-kader tersebut tetapi ada padahnya. Kumpulan yang sebelum itu merupakan satu ikatan yang padu dari segi fikrah dan tanzim telah terbelah dua - satu mengikut stail tabligh sementara satu lagi mengikut stail Jamaatul Islami yang juga menjadi manhaj harakah-harakah lain saperti PAS, ABIM dan Ikhwanul Muslimin, Mesir. Sudah menjadi resam perpecahan maka berlakulah tidak bertegur sapa, bermasam muka dan perbalahan antara kedua kumpulan tersebut di khalayak ramai. Perbalahan itu contohnya berlaku selepas solat Jumaat di mana pengikut Tabligh akan meminta orang ramai supaya tunggu untuk mendengar bayan (ceramah) dan ini ditentang oleh kumpulan satu lagi yang menganggap tindakan itu tidak syari' kerana seolah-olah menghalang orang ramai daripada pulang ke rumah masing-masing setelah selesai solat Jumaat.

PENUBUHAN IRC

Lanjutan daripada itu timbullah kesedaran di kalangan beberapa orang daripada kader-kader untuk berusaha supaya kedua-kedua kumpulan bercantum semula. Usaha ini mengambil bentuk satu wadah atau platform yaNg dikenali sebagai Islamic Representative Council (IRC). Tepat dengan namanya, objektif utama IRC adalah untuk menjemput wakil-wakil daripada dua kumpulan tadi dan juga mereka yang mirip kepada Islam tetapi tidak menyertai mana-mana kumpulan untuk bersama-sama dalam satu majlis yang akan berusaha menyatupadukan semula pelajar-pelajar Islam. Maka diwujudkanlah usrah-usrah yang dianggotai oleh wakil-wakil tersebut.

Malangnya usaha yang murni itu gagal mencapai objektifnya - yang tabligh tetap tabligh, yang mirip kepada nasionalisme tetap dengan pegangannya sementara bakinya merubah corak IRC daripada satu platform semata-mata menjadi satu jamaah yang memiliki amir serta majlis syura dan tanzimnya sendiri. Bagaimanapun, IRC telah memilih jalan untuk menyembunyikan barisan kepimpinannya daripada pengetahuan dan penilaian ummah. Yang dapat dilihat oleh orang ramai hanyalah program-program dakwah dan rehlah. Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 1975/1976.

SUARA AL-ISLAM

Belum sempat IRC merasai ketenangan, kepimpinannya mula bergolak. Beberapa orang kepimpinan telah keluar daripada IRC dan menubuhkan jamaah baru yang diberi nama Suara Al-Islam. Perbezaan antara keduanya hanyalah pada cara perjuangan hendak diteruskan. IRC ingin cara yang berteraskan tarbiyah sementara Suara Al-Islam memilih cara radikal dan revolusioner yakni dengan menimbulkan isu-isu penting dan asas di tengah-tengah masyarakat dan dengan itu program tarbiyah tidak menjadi isu utama. Bagi mereka tarbiyah adalah pertembungan langsung dengan kuasa-kuasa toghut di dalam masyarakat.

Bagaimanapun, beberapa tahun selepas itu kepimpinan serta ahli-ahli Suara Al-Islam memilih jalan yang wajar dan menepati syara' untuk menyertai PAS sekembali mereka ke Malaysia. PAS memiliki ciri-ciri yang lebih lengkap yang merangkumi ciri-ciri perjuangan IRC dan Suara Al-Islam. Lagipun PAS merupakan harakah/jamaah tertua yang ditubuhkan oleh ummah Muslimin di Malaysia untuk berjuang bagi menegakkan Daulah Islamiah di negeri ini.

Satu babak penting dalam asam garam perjuangan Islam di Malaysia berlaku sekitar tahun 1976/77, iaitu apabila beberapa orang pemimpin dan ahli IRC kembali ke Tanah Air. Mereka bukan sahaja tidak mahu menyertai jamaah yang sedia ada iaitu ABIM-PAS, tetapi sudah mula mengkritik daripada luar kepimpinan perjuangan Islam masa itu. Kalau objektif asal IRC ditubuhkan adalah untuk menyatupadukan kumpulan-kumpulan yang berpecah di U.K., kini IRC (secara disedari ataupun tidak disedari ?) memainkan peranan sebaliknya iaitu untuk memecah dan melemahkan barisan perjuangan ummah yang telah bersatupadu seperti yang dituntut oleh Allah s.w.t. dalam surah As-Saff, ayat 4 :

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh."

JAMAAH BARU DI MALAYSIA

IRC telah memilih jalan yang sangat-sangat ditegah oleh Allah dan Rasulnya iaitu menubuhkan jamaah baru di Malaysia sungguhpun sudah wujud jamaah Islam. Allah (s.w.t.) telah melarang tindakan ini secara keras dan jelas di dalam Kitab Suci AlQuran:

"Dan berpegang teguhlah kepada tali (agama) Allah, dan jangan kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara." (Surah Ali Imran, Ayat 103)

"Sesungguhnya orang-orang yang memecah belahkan agamanya dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikitpun tangggungjawabmu terhadap mereka (mereka bukan daripada kamu - tafsir)." (Surah AlAn'am, Ayat 159)

Di samping itu terdapat juga banyak hadith Rasulullah (s.a.w.) yang melarang ummah daripada berpecah atau membuat jamaah baru: Sabda Baginda yang bermaksud "Hendaklah kamu bersama-sama Jamaah Muslimin dan pimpinan mereka." Lagi sabda Baginda yang bermaksud, "Berjamaah itu rahmat dan berpecah belah itu azab."

Pada masa yang sama kepimpinan ABIM dan IRC mengadakan rundingan bagi mencari jalan persefahaman demi untuk kebaikan perjuangan Islam. Maka satu persefahaman tidak resmi, atau tidak bertulis telah dicapai, iaitu ABIM tidak akan mengembangkan sayapnya ke United Kingdom dan sebagai balasan ahli-ahli dan kepimpinan IRC akan menyertai ABIM sekembalinya mereka ke Malaysia.

Sungguhpun ABIM telah menepati janjinya, sebahagian besar kepimpinan dan ahli IRC yang pulang ke Tanah Air tetap bertegas tidak mahu menyertai ABIM. Di antara tuduhan terhadap ABIM termasuklah matlamat perjuangan ABIM tidak jelas, tiada tarbiyah dll, meskipun aspek-aspek ini dapat diperbaiki dengan pernyertaan mereka ke dalam ABIM (jika benar IRC mempunyai matlamat yang jelas dan ada tarbiyah!). Lagipun tuduhan-tuduhan itu bukanlah hujjah-hujjah syara' dan boleh dipertikai. Anihnya, ABIM yang memiliki beberapa lulusan Al-Azhar dari kalangan kepimpinannya, malah ada yang mendapat tarbiyah Ikhwanul Muslimun, diragui tentang kejelasan perjuangan mereka oleh kumpulan yang rata-rata berpendidikan bukan-agama, yang mempelajari Islam selama sejam atau dua jam seminggu sahaja !?

IRC mulai bergiat di Malaysia khasnya di kalangan pelajar-pelajar dan kakitangan-kakitangan akademik universiti. Seperti yang dijangkakan, berlakulah peristiwa-peristiwa pijak memijak kaki satu sama lain dengan ABIM. Kepimpinan pelajar yang mempunyai hubungan langsung dengan ABIM cuba diambil alih oleh IRC. Akibatnya ABIM tidak ada pilihan lain kecuali mengembangkan sayapnya ke United Kingdom sebab ABIM menghadapi keadaan buntu di mana keahliannya dari kalangan lulusan United Kingdom semakin merosot. Maka ditubuhkanlah ABIM-U.K. sekitar awal 80'an.

PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA BERPECAH LAGI

Dengan tertubuhnya ABIM-U.K. perpecahan di kalangan pelajar-pelajar Malaysia menjadi lebih buruk. Kini pelajar-pelajar Malaysia di Britain berpecah kepada empat kvunpulan besar - Tabligh, IRC, Suara Al-Islam dan ABIM di samping wadah nasionalist UMNO-U.K.

Berlakulah kepada pejuang-pejuang Islam di rantau orang apa yang tidak berlaku kepada penjajah British sendiri semasa mereka di negeri kita, iaitu perebutan kuasa sesama sendiri bagi mencari pengaruh. Masing-masing menyediakan strategi bagi merampas pertubuhan-pertubuhan pelajar seperti "Islamic Society" dan "Malaysian Student Society" di hampir setiap institusi di mana terdapat pertubuhan-pertubuhan seperti itu. Contohnya, apabila diadakan Mesyuarat Agong Tahunan sesebuah pertubuhan maka ahli-ahli akan mengambil tempat masing-masing di dalam dewan mesyuarat - sebelah dewan diduduki oleh ahli-ahli IRC sementara sebelah lagi oleh ahli-ahli ABIM.

Berlakulah tikam lidah antara kedua-dua puak masing-masing cuba menegakkan kepentingan puaknya. Begitu juga dengan tempat penginapan. Satu tempat didiami oleh orang-orang IRC dan orang-orang ABIM pula mencari tempat lain. Apabila diadakan kenduri maka ahli-ahli kumpulan sahaja dijemput. Panduan perkahwinan seperti yang diajar oleh Rasulullah (s.a.w.) diubah daripada empat perkara (ugama, keturunan, kecantikan dan kekayaan) kepada lima dengan ditambah satu lagi syarat, iaitu bakal suami/isteri hendaklah menjadi ahli jamaah yang sama.

Jika direnung dengan tajam maka terasalah sedih dan malu terhadap apa yang berlaku. Islam adalah Ugama Suci, Ugama Benar, Ugama Tunggal Diridhai Allah tetapi malangnya "seolah-olah" ugama ini tidak mampu menyatupadukan satu kelompok umatnya yang kecil yang rata-rata terdiri daripada orang-orang yang boleh berfikir sendiri tanpa dipengaruhi oleh mereka yang berkepentingan. Yang sedihnya ini berlaku di rantau orang dan di negeri orang kafir pula. Sepatutnya orang-orang mukmin menunjukkan akhlak yang tinggi kepada orang-orang kafir sebagai contoh dan uswah hasanah supaya hati mereka dapat dijinakkan kepada Islam. Konsep ukhwah atau persaudaraan dalam Islam telah menjadi kabor, daripada menjadi sesuatu yang memisahkan antara iman dan kufur kepada sesuatu yang memisahkan satu jamaah Islam daripada jamaah Islam lain. Sebenarnya, Allah (swt) telah menganugerahkan kepada kita konsep ukhwah yang betul, iaitu seperti firmanNya:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah bersaudara ... " (Surah Al-Hujurat, Ayat 10)

bukannya "Sesungguhnya orang-orang IRC sahaja bersaudara" atau "Sesungguhnya orang-orang ABIM sahaja bersaudara," atau sebagainya. Oleh itu berilah hak persaudaraan kepada setiap individu yang mengaku ia beriman kepada Allah dan Rasulnya. Allah (s.w.t.) telah menyatukan hati-hati orang-orang beriman dan menghapuskan permusuhan sesama mereka maka siapakah anda, dengan membuat jamaah baru, tergamak meletakkan hijab dan tembok antara individu-individu mujahid mukmin - yang satu mengikut anda sementara yang satu lagi mengikut jamaah yang sedia wujud ?

ABIM BERGOLAK

Satu lagi peristiwa penting yang menggemparkan keutuhan perjuangan Islam di Malaysia berlaku pada tahun 1982 apabila Saudara Anuar Ibrahim, iaitu Presiden ABIM mengisytiharkan dirinya menyertai parti asobiyah, iaitu UMNO. Akibatnya ABIM terpecah dua - satu kumpulan menyokong tindakan Sdr. Anuar dan yang satu lagi menentang. Mereka yang menentang kebanyakannya mengambil tindakan keluar daripada ABIM lalu menyertai PAS. Maka ramailah pejuang-pejuang Islam termasuk dari kalangan pelajar berduyun-duyun mula menyertai PAS yang dipimpin oleh satu barisan kepimpinan baru yang dinamik, berani dan berwibawa.

IRC BUNTU

IRC di Malaysia pada masa itu menghadapi keadaan yang sangat buntu di mana mereka yang inginkan Islam memberi thiqah dan walak kepada kepimpinen PAS sementara kepimpinan IRC masih "bersembunyi", tidak mengistiharkan siapa mereka. Oleh itu ummah tidak dapat menilai sejauh mana kepimpinannya berwibawa, apakah mereka itu berani berdepan dengan toghut ataupun tidak, ataupun mereka hanya berani menghentam toghut di dalam usrah dan tamrin tertutup saja yang dihadiri oleh orang-orang terpilih, apakah mereka benar-benar memiliki akhlak yang tinggi ataupun akhlak dan jamaah mereka lebih kepada indah khabar dari rupa. Apakah amir IRC seorang ulamak atau jurutera sahaja. Tahukah dia tentang selok belok ugama khasnya hukum-hukum feqah yang sememangnya menjadi pra-syarat kelayakan seseorang pemimpin Harakah Islamiah. Persoalan ini menjadi tandatanya kepada ummah supaya amir IRC dapat dipertanggungjawabkan di khalayak ramai terhadap setiap tindakan yang diputuskannya, sama ada sesuatu tindakan itu menepati syara' atau tidak.

Sebaliknya barisan kepimpinan PAS kebanyakannya adalah dari kalangan ulamak yang berwibawa, bukan sahaja bijak dan berani menjelaskan isu-isu ultra-sensitif seperti isu kemurtadan, kristiani-sasi dan hak-hak istimewa orang Melayu tetapi juga berani dikenakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) malah ada yang telah syahid di jalan Allah, contohnya Almarhum Ustaz Ibrahim Mahmud bersama 13 orang sahabat di Memali (semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh-roh Syuhada' Memali).

STRATEGI BARU

Keadaan kebuntuan tersebut telah menyebabkan IRC merubah strateginya sekitar tahun 1982. Maka disusunlah satu strategi atau "grand design" terhadap ABIM dan PAS, lalu diperkenalkan konsep Harakah Islamiah Syumuliah, HIS [Takrif HIS IRC adalah tidak sama dengan HIS yang diterangkan sebelumnyaj. Dalam rangkakerja HIS IRC, ABIM dan PAS hendak dijadikan "wajah-wajah" jamaah (wujuuhul jamaah) IRC semata-mata. Dalam istilah politik moden, strategi ini akan menjadikan ABIM dan PAS sebagai gerakan-gerakan depan (front organisations) semata-mata dan kepimpinan ABIM dan PAS sebagai boneka-boneka (maaf kasar sedikit di sini) yang hanya boleh bertindak menurut arahan kepimpinan IRC. Oleh itu kekuasaan sebenar berada dalam tangan amir IRC bukan amir ABIM atau PAS.

Menurut strategi ini orang-orang tertentu IRC yang mampu mendapat pengaruh akan dihantar bertugas hampir sepenuh masa di dalam PAS dan ABIM. Mereka akan memainkan peranan untuk mewujudkan satu suasana jamaah-dalam-jamaah di mana jamaah baru ini akan terdiri daripada mereka yang memiliki fikrah IRC dan berwalak kepada IRC. Kumpulan ini akan memainkan peranan bagi melaksanakan strategi HIS untuk IRC. Paling kurang hasil yang diharapkan dari kumpulan ini ialah mereka akan bersikap lembut terhadap IRC.

Menerusi strategi baru ini IRC telah dapat meyakinkan kepimpinan PAS tentang niat ikhlas (?) mereka untuk bersama membantu PAS khasnya dalam program-program tarbiyah. Lujnah tarbiyah PAS pusat telah menjemput dua orang ahli majlis syura IRC untuk bersama-sama dalam lujnah tersebut. Serentak dengan itu hampir keseluruhan program tarbiyah PAS, termasuk di institusi-institusi pengajian tinggi, diserahkan kepada ahli-ahli IRC untuk dikendalikan.

HARAP PAGAR PAGAR MAKAN PADI

Malangnya IRC telah mengingkari janjinya dan bertindak bak kata pepatah "harap pagar pagar makan padi". Tujuan sebenar mereka menyertai PAS mulai terbongkar. IRC bukan sekadar mengendali program tarbiyah PAS tetapi juga dikumpulkannya secara rahsia ahli-ahli PAS yang berpotensi (yang bakal menjadi pemimpin) dan mereka dibawa keluar daripada PAS untuk menyertai jamaah sulit mereka IRC. Lunas-lunas akhlak Islam telah tidak diikuti oleh kepimpinan IRC. Apabila tembelang IRC diketahui oleh pucuk pimpinan PAS mereka telah diberi kata-dua dan diminta supaya membuat pilihan, iaitu sama ada kekal di dalam PAS dengan meninggalkan IRC ataupun berhenti terus daripada mengkhianati PAS. Sungguhpun begitu sebagai mematuhi syariat berjamaah tiada seorang pun ahli IRC dipecat daripada jamaah PAS. Lanjutan daripada itu program-program dakwah yang ada kaitan dengan PAS khasnya di pusat-pusat pengajian tinggi berpecah kepada dua: satu kumpulan yang jauh lebih ramai kekal bersama PAS sementara yang satu lagi menyertai IRC.

Tindakan IRC selanjutnya jelas menunjukkan strateginya terhadap PAS masih diteruskan sebab meskipun sebahagian besar ahli IRC telah berundur daripada PAS masih ada beberapa individu yang berpangaruh kekal di dalam PAS. Kehadiran mereka bukan disebabkan mereka telah mufaraqah (istihar keluar) daripada IRC tetapi atas arahan kepimpinan IRC sendiri - mereka tidak pernah mengistiharkan diri mereka keluar daripada IRC, malah hubungan mereka dalam bentuk usrah-usrah sulit (rahsia) masih diteruskan.

Perlu ditekankan di sini semasa kepimpinan IRC berulang-ulang menemui kepimpinan PAS (sebelum perpecahan berlaku) mereka telah mengisyhtiharkan bahawa IRC tidak wujud di Malaysia, yang ada hanya bekas ahli-ahli IRC. Oleh sebab itu kepimpinan PAS tidak menimbulkan soalan siapakah amir mereka atau siapakah ahli-ahli majlis syura mereka. Malah sebahagian besar pengikut-pengikut IRC sendiri termasuk dari kalangan siswa/siswi tidak diberi maklumat tepat atau tidak diberitahu langsung tentang siapakah barisan kepimpinan jamaah yang mereka sedang ikuti. Sebenarnya IRC mengamalkan sistem pengkelasan dalam keahliannya. Daripada empat peringkat hanya peringkat tertinggi diberi hak mengetahui dengan tepat struktur dan kepimpinan jamaah.

PERJUANGAN DI LUAR MALAYSIA

Sekarang kita kembali kepada masalah dakwah di kalangan pelajar. Semasa PAS mempercayai IRC telah bersatu dengannya tiada usaha dijalankan di luar negeri, sama ada di United Kingdom, Amerika Syarikat atau Timur Tengah untuk menubuhkan cawangannya di sana sebab peranan ini dimainkan oleh IRC di U.K. dan MISG (dikuasai oleh IRC setelah dirampas dari ABIM yang menubuhkannya) di Amerika. Akan tetapi, dalam keadaan sekarang adalah mustahil PAS dapat mengharapkan mereka yang menerima tarbiyah IRC di luar negeri pulang untuk menyertai PAS. Alhamdulillah, kepimpinan PAS sedang mengambil langkah-langkah tertentu supaya pelajar-pelajar di seberang laut dapat menyertai perjuangan PAS, insyaAllah. Oleh itu sekarang sudah wujud sayap-sayap PAS (secara tidak resmi) dl luar negeri termasuklah di U.K., USA dan Timur Tengah.

WAHAI MUJAHID ILALLAH

Akhir kata, jadilah anda tentera-tentera dan srikandi-srikandi Allah yang sentiasa peka kepada perpaduan ummah dan cita-cita perjuangan mereka. Jauhkan diri daripada tindakan-tindakan negatif yang membawa keretakan dan perpecahan pada saff para mujahidin ila Allah. Sebab ummah mukminin adalah ummah yang satu. Seruan dan perintah Allah dan RasulNya adalah jelas iaitu semua orang-orang beriman hendaklah bersatu dalam satu jamaah. Oleh itu jika anda terdengar seruan dan ajakan yang sebaliknya maka pastilah ianya bukan dari ajaran Allah dan RasulNya tetapi ajaran orang-orang yang tidak betul yang sanggup mengkhianati dan melemahkan perjuangan ummah yang sedang berjihad menegakkan kembali Ugama Yang Suci, meskipun mereka mendakwa diri mereka sebagai pejuang-pejuang yang berakhlak meninggi langit. Lagipun orang yang berakhlak tinggi sifatnya tidak sekali-kali suka menceritakan tentang kebaikan dirinya kepada orang lain, jauh sekali daripada menjaja ke sana sini memberitahu orang betapa akhlaknyalah yang terbaik.

Dalam keadaan apa sekali pun jangan berganjak walaupun seinci daripada manhaj perjuangan orang-orang beriman, iaitu : "Alghaayah laa tubarrirul wasilah." maknanya "Matlamat tidak boleh membersihkan (menghalalkan) cara. "
Maksudnya, jika matlamat sesuatu tindakan itu adalah baik untuk mencari keridhaan Allah (s.w.t.) maka cara yang diambil bagi mencapai matlamat itu juga hendaklah syar'i atau diridhai Allah.

Oleh itu jika menubuhkan jamaah baru setelah sudah wujud jamaah Islam adalah haram di sisi Allah (lantaran ia memecah belahkan ummah) maka anda hendaklah yakin ianya adalah haram; atas alasan apa pun jangan sekali-kali terlibat di dalam penubuhannya ataupun menyokongnya. Ataupun jika berbohong dan menipu sesama mukmin itu adalah haram menurut Allah dan Rasulnya maka jangan sekali-kali menjadikan sifat-sifat dayus ini sebagai bahan tarbiyah dan senjata perjuangan. Dan lagi jika bekerjasama dengan musuh-musuh Allah bagi menjatuhkan kumpulan Islam adalah sangat-sangat dilarang oleh Allah dan RasulNya maka anda hendaklah yakin orang yang terlibat tidak langsung layak memimpin ummah meskipun beliau seorang lulusan ugama. Sebab apakah anda tidak hairan Ugama Islam yang Suci ini dapat ditegakkan dengan cara-cara yang bathil seperti ini ?!!.

Dalam satu riwayat Imam Syafie rahimahullah dikatakan tidak tidur malam kerana memikirkan masalah ummah termasuk masalah perpecahan ummah di zamannya meskipun institusi khalifah masih berjalan dan syariat Islara masih tertegak. Sekarang sisem khalifah sudah tiada lagi dan syariat Islam sudah lama tumbang, maka ummah sangat-sangat memerlukan lebih ramai orang memikirkan masalah perpecahan dan bagaimana penyelesaian dapat dicapai. Ummah sudah bosan dengan sikap negatif kumpulan yang sengaja mencari-cari kelemahan pejuang-pejuang sejati serta suka menimbulkan keraguan terhadap kepimpinan mereka.

RUMUSAN

Beberapa rumusan penting boleh dikutip daripada huraian sejarah ringkas Gerakan Islam di Malaysia:

1. Penubuhan jamaah-jamaah baru khasnya IRC bukan didasarkan kepada tuntutan syara' dan ia lebih banyak mendatangkan mudharat daripada menafaat kepada kejayaan perjuangan Islam di Malaysia kerana terlalu banyak masa, tenaga dan wang dihabiskan lantaran pergeseran sesama pejuang-pejuang Islam

2. Hadith Rasulullah (saw), "Berjamaah itu rahmat dan berpecah belah itu azab" adalah tepat sekali. Dulu pejuang-pejuang Islam bersatu padu dan ummah melihat pertentangan di dalam masyarakat hanya antara kumpulan Islam dengan kumpulan yang tak nak Islam (iaitu gabungan antara orang fasiq, munafiq dan kafir) tetapi kini terlalu banyak hijab dan tembok ditegakkan di tengah-tengah para mujahidin ila Allah yang menjadikan mereka seperti orang-orang asing (strangers) dan musuh (enemies) sesama mereka. Sudah terlalu ramai pejuang yang dulunya bersahabat karib kini menjadi musuh ketat.

3. Setiap mukmin hendaklah berjihad bagi menyatupadukan kembali ummah dengan tidak menyokong atau menyertai jamaah-jamaah baru. Jika ada pemimpin atau anggota jamaah baru yang merasai dirinya lebih layak memimpin ummah (sebab akhlaknya lebih baik, jelas manhaj dan matlamat perjuangannya, dll) maka tinggalkanlah jamaah baru itu dan sertailah jamaah tertua PAS dan jika benar seperti yang dirasai sudah tentu ummah akan memilihnya untuk memimpin mereka.

Sumber: Izlin Hakeem (Ahli Forum 'Ta'adud Jemaah' di I Luv Islam)

17 comments:

  1. sudah-sudahlah, kerja kita lebih banyak dari masa yang ada. tak kiralah organisasi apapun kita bergerak, asal islam menjadi tunggaknya. Allah tak tanya parti apa kamu terlibat di akhirat kelak... Allah akan tanya apa yang kamu dah buat dalam usaha menyampaikan risalah islam ini. apa yang telah berlaku, biarlah berlalu... kalau semua orang boleh terima PAS, kenapalah orang kampung saya sangat alergic dengar nama PAS.... terpaksalah para pendakwah lain yang bergerak dalam platform selain PAS menggunakan wadahnya untuk menyampaikan risalah Islam ini. Jangan menjadi terlalu fanatik, melebihkan wadah dari risalah. Moga Allah mengampunkan dosak2 kita... teruskan lah berkerja walau apa jua cara, asal semua orang boleh menerima islam sebagai cara hidup sehinggalah akhirnya Daulah Islamiyah terbentuk.... Insyaallah, saya yang tidak terlibat dalam PAS inipun, akhirnya akan meletakkan pemilihan kepada PAS dalam pilihan raya kerana ALlah telah memilih PAS untuk meneraju parti politik islam di Malaysia...

    ReplyDelete
  2. setuju dgn pandangan balas saudara. kita di era baru , perlukan antara satu sama lain. rugi kita berbalah hanya kerana nama. bersangka baiklah. Allah SWT akan bantu mereka yang ikhlas dan bersungguh2 berjuang berteraskan prinsip. Elok lah kita baca dan fahami karya Prof Dr Yusuf al-Qardhawi dalam "Fiqh ad-Daulah" dlm bab berkenaan "taaddud-jamaah".

    ReplyDelete
  3. setuju dengan pandangan balas yg dilontarkan. Hanya org yg berfikiran cetek, kurang matang dan rendah nilai akan membincangkan hal2 sebegini. yg ruginya sapa? kita org Islam. eloklah baca juga buku dan kalu boleh bincang buku Prod Yusof Qardawi : Agenda Kebangkitan Ummah.

    ReplyDelete
  4. salaam bro. jamaah islam yg terawal di mesia ialah jamaah tabligh. tabligh sampai di mesia sekitar awal kurun 20. lebih awal daripada PAS. ape tak dikuatkan tabligh tu je? haaa jawab-jawab

    ReplyDelete
  5. Atas dasar apa menubuhkan jamaah baru haram?

    Apakah dengan penubuhan itu memecah belahkan umat? Betul ke? Betul kah jika tak wujud IRC/JIM semua orang berjaya disantuni oleh PAS?

    Benarkah PAS itu sendiri terdiri dengan manhaj Al-Quran & Sunnah? Sejauh mana pimpinan PAS yang besar dan kecil merujuk kepada Quran dan sunnah serta syura, dalam pelbagai isu?


    Qaedah fiqh, ijtihad la yanqus bil ijtihad. Ijtihad tidak menasakhkan ijtihad lain. Adakah dengan ijtihad haraki (yang sama sekali tidak pun qati'e), telah melawan hukum, haram & berdosa?


    Itulah bila berfatwa ikut hawa nafsu... Nas yang ada pun, dipetik dengan konteks kepentingan peribadi semata-mata...

    ReplyDelete
  6. saya setuju dengan "suah sudah lahhh". Tulisan ini sudah lapuk. Malu saya bacanya. Saya suka petikan Albanna bila ditanya siapa saya yg diletakkan pd gejet sisi blog ni...tetapi tutlisan ini tidak mengambarkan orang yg menjiwai pendirian Albanna tentang perselisihan antara jemaah Islam. Saya tak fikir tulisan ini mengembirakan tuan guru tetapi akan mengembirakan musuh musuh Islam sbenarnya. Tulisan ini juga tidah banyak membantu gerakan Islam...malah inilah sebahagian ciri MUSUH ISLAM dengan sifat melaga lagakan, kerana hakikat sejarah dan jemaah yg difitnahkannya itu meleset sama sekali. Bertaubatlah...nanti macam mana penulis nak minta maaf kepada mereka yg 'difitnahkan' itu?. Apakah dosa semua ahli2 mereka kepada penulis?.Adakah penulis yakin mereka semua itu berdosa dan tertolak semua amal mereka disisi Allah?.

    ReplyDelete
  7. setiap kali tahun pemilihan pas atau tahun pilihanraya, artikel sebgini akan keluar.. psywar rasanya ...

    ReplyDelete
  8. >>> setiap kali tahun pemilihan pas atau tahun pilihanraya, artikel sebgini akan keluar.. psywar rasanya ...


    Makna kata, Jangankan tuduh IRC, PAS itu sendiri terbina atas manhaj fitnah dan cantas. Nak naik, nak dapat jawatan, senang sahaja... Baca isu IRC dan anai-anai... Maka popularlah saya sebagai pemimpin. Inikah pimpinan yang berwibawa?


    Mana pergi slogan 'Negara Berkebajikan', kalau dengan rakyat sendiri, nak berorganisasi adalah HARAM, melainkan hanya dengan PAS? Inikah parti yang ingin kita beri undi?

    ReplyDelete
  9. Sebenarnya artikel ni boleh mengelirukan generasi muda.kami hnya tahu ada pas,abim, jim dll yg boleh kita pilih utk menjalankan dakwah kepada masyarakat. kalau artikel ni saya baca sebelum saya baru nak berjinak2 dgn jemaah pasti saya dah lari dr kumpulan2 ni..So, lebih baik saudara jgn sebarkan lagi artikel sebegini krn LEBIH RAMAI di luar sana yg perlu kita santuni..lgpun hanya Allah yg tahu apa yg berlaku sebenarnya. Syaitan suka pecah belahkan org2 ISLAM, jd bersangka baik itu lebih baik.

    ReplyDelete
  10. Ana Ahli JIM,Ahli IKRAM juga AHLI SEUMUR HIDUP PAS.
    Sedih dengan kenyataan penulis seolah2 tak kenal antara sahabat dengan Musuh.
    Jom kita kerjasama dalam titik pertemuan. Di titik2 yg tidak bertemu 'qalu :"salama". usahakan agar banyakkan titik pertemuan.
    Fikiran Cetek, walaupun ada yg bergelar Ustaz , ajar di DQ ... tak tahu beza sahabat dan musuh.

    ReplyDelete
  11. Mana orang2 PAS yg menyokong pendirian tulisan ini. Mana???. Atau orang PAS sendiri tak suka dengan fitnah memfitnah ini. Atau orang pas sendiri tidak menerima orang2 seperti penulis ini. Sebab itu saya rasa tak payahlah rasa lebis pas dari PAS atau lebis islam dari ISLAM. Dalam pas tu pun ada berbagai jenis mazhab,kaum,pemikiran dan juga ahli kepada jemaah lain. Macamana pas boleh terima berbaiksangka dgn orang keadilan yg tak punya fikrah malah orang2 kafir china dan india semata2 kerana pilihanraya...dalam masa lain kita tolak dan memfitnah sesama islam dan juga gerakan islam yg mereka jelas ada manhaj tarbiah dan tanzim yg sahih malah dalam masa yg sama merekalah yg berkerja utk PAS dalam pilihanraya. Awaslah penyakit yg busuk dan membusukkan ini. Kalau kita ikhlas beramal percayalah orang lain juga ikhlas beramal.

    ReplyDelete
  12. kalau ramai yg kata artikel ni typikal ketika pru hampir tiba, saya katakan yang jawapan anda semua juga adalah typikal setiap kali artikel seperti ini dikeluarkan...

    semua pertikai yang kita semua perlu bersatu, x perlu ungkit isu2 lama seperti ini.. tapi kadang2 kita lupa yang kita sendiri pon x pernah jadi orang yang nak bersatu... kalau dalam satu umah kita ada dua orang bapak pon kita dah tentu kacau bilau sebab pasti, dua orang pimpinan xkan mampu bagi arahan kepada jumlah mad'u yang sedikit, walaupun kita katakan "berbeza WASILAH"... wasilah bukan perkara pokok, yang penting itu mad'u dapat diseru... sibuk perjuang wasilah masing2 padahal saya tengok sama ja program semua jemaah buat... PAS buat program sama sebiji dgn ABIM, IKRAM, dan semua jemaah2 islam yang lain bila buat program... kat mana yang kata wasilah x sama... jadi kesimpulan nya... wasilah itu hanya ALASAN untuk taadud diteruskan...

    satu lagi bab bersangka baik sebab taadud jemaah itu dah ADA... jadi x perlulah bercakaran lagi... ini pon satu alasan yang x best sebab bila ada dua jemaah yang besar, dah tentu2 ada percakaran... biar baek setara mana pon pimpinan atasan, ahli bawahan tetap akan bergaduh bila keluar dua arahan yang berbeza dari dua jemaah tersebut... ni realiti... hampa semua yang ayat penuh puitis kat atas ni pon.. bila bercakap tu, cuba tgk realiti sama... sebab tu la idea asal suruh semua jemaah Islam kat msia ni bersatu tapi hanya dengan satu kondisi yang akan menyebabkan kita semua x berpecah... kita kena duduk dibawah satu jemaah ASAS... macam idea IRC tubuh dekat UK tu.... tu yang penulis nak cakap... semua orang kalau berani terima hakikat yang kita selalu bercakaran, dan kita nak bersatu semula, kita semua sekali kena intima' dgn PAS... dan sebab tu la artikel sejarah penubuhan gerakan2 Islam ni dibuat.. nak bagi kita semua nampak sapa yang kita semua patut intima'.... ni bila orang keluarkan sejarah, dia kata "ini merugikan Islam"...bla...bla...bla.... ayat nak cantekk... weh, tengok orang sebeleh kita tengok... kalau la TAADUD jemaah itu memang menguntungkan umat Islam... dengan jumlah JEMAAH yang ada kat msia skrg + KADER-KADER yang berjumlah puluhan ribu bagi setiap jemaah tu,,, sepatutnya,, Islam dah menang dah kat Msia... cer terai fikir.....

    mu tengok orang kat sebelah mu tu, dia pon berani buat terang-terangan maksiat,, betul2 sebelah kamu... mu ada masa lagi nak berpuitis2 kat dalam ni...

    ReplyDelete
  13. Dalam mempunyai fikrah yg sama pun boleh berantakan.. Mungkin wujudnya 2 idea kontemporari dan konvensional.. Itu x penting tapi matlamat tetap sama. Bukan ke teks usrah ABIM-PAS-IRC-JIM-HALUAN-ISMA sama... IM jugakkakan?? Islam merupakan satu sistem kehidupan yg besar, apa salahnya setiap jemaah yg sama fikrahnya menjadi pelengkap diantara satu sama lain bagi keperluan sebuah sistem yg besar itu??.bagaimana nak menghadapi nasionalis yg sentiasa mencari peluang utk menggagalkan gerakan Islam

    ReplyDelete
  14. Parti Amanah Nasional (PAN)..satu lagi projek IRC..masih tak nampak lagi?

    ReplyDelete
  15. Bukti jim mmg jenis ambik kesempatan telah di zahir oleh ketuanya saari sungib. Dia mmg suka menonjolkan diri didlm apa2 perkara. Bahkan sebelum pru 2008 dia pernah menayang video klip tentang keganasan polis dimana dia lebih menonjolkan dirinya. Itulah kenyataan.

    ReplyDelete
  16. PERPECAHAN

    "Perbalahan itu contohnya berlaku selepas solat Jumaat di mana pengikut Tabligh akan meminta orang ramai supaya tunggu untuk mendengar bayan (ceramah) dan ini ditentang oleh kumpulan satu lagi yang menganggap tindakan itu tidak syari' kerana seolah-olah menghalang orang ramai daripada pulang ke rumah masing-masing setelah selesai solat Jumaat."

    kebodohan apakah ini?

    sembang perjuangan islam merentasi sempadan dunia,
    tapi punya lah jahil...ya ampooon.


    perkara ini menjadi perkara jahiliyah bila kita terus memperdebatkannya..

    ReplyDelete
  17. Semoga Allah menunjukkan kebenaran dengan kaum yang mengikuti sunnah dan mnenjauhi mereka yang merosakkan masyarakat menggunakan dalil dalil agama yang dimanipulasi untuk kepentingan peribadi, perkumpulan dan jemaah harakah. semoga Allah cela mereka yang memanipulasi ayat ayat al-quran untuk menisbahkan jemaah ialah perkumpulan mereka dan menafikan amal-amal perkumpulan lain.

    penulis entri ini tidak lain selain hanya taksub!

    ReplyDelete