Monday 22 November 2010

Raja Abdullah ke AS jalani rawatan sakit tulang


RIYADH: Raja Abdullah dari Arab Saudi akan menjalani rawatan di Amerika Syarikat bagi penyakit tulang belakang yang dialaminya dan tugasnya akan dipangku Putera Mahkota, Sultan bin Abdul Aziz yang akan kembali dari Maghribi, lapor agensi berita SPA semalam.

Raja Abdullah akan berangkat ke Amerika Syarikat hari ini bagi melengkapkan pemeriksaan kesihatan dan menjalani rawatan susulan berdasarkan perakuan pasukan perubatannya,” kata kenyataan rasmi yang dilaporkan oleh SPA.

Putera Mahkota itu pula akan kembali ke Arab Saudi dari Maghribi selepas bercuti, kata satu lagi kenyataan.

Putera berkenaan, yang berada di istananya di Agadir, Maghribi selama hampir 12 minggu, akan mengambil alih pentadbiran ketika ketiadaan Raja Abdullah, kata pegawai Saudi kepada AFP.

Raja Abdullah, 86, akan dirawat bagi penyakit tulang rawan dan pengumpulan darah di sekitar tulang belakang, kata pegawai itu.

Tambahnya, Putera Sultan juga tidak mengambil bahagian secara aktif dalam pentadbiran sejak beliau ke luar negara untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit dihidapinya, yang tidak dinyatakan pada 2008-2009.

Abdullah, yang menjadi raja pada 2005, memperlahankan aktivitinya sejak Jun lalu kerana masalah kesihatan yang tidak dinyatakan dengan rasmi.

Namun pada 12 November lalu, mahkamah diraja menyatakan raja berkenaan menghidapi penyakit berkaitan tulang belakang. – AFP

Sumber: BHarian

No comments:

Post a Comment