Perjuangan parti dapat dilaksana jika berjaya pegang tampuk kuasa: Nik Aziz
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, menegaskan bahawa perjuangan PAS kini lebih mementingkan kepada usaha mendapatkan kuasa bagi membolehkan mereka berkuasa pada masa depan.
Beliau berkata, hanya melalui kuasa saja yang membolehkan PAS menjadi pemerintah, sekali gus membuka jalan untuk melaksanakan pelbagai agenda termasuk dasar syariat Islam.
“PAS berjuang untuk mendapatkan kuasa kerana dengan kuasa itu saja keadilan dapat ditegakkan sebagaimana dilakukan di Kelantan, dapat melaksanakan dasar selari dengan syariat Islam.
“UMNO tidak pernah melakukan ini walaupun sudah lama berada di tampuk kuasa, namun tanpa Islam sebagai asas perjuangan, parti itu (UMNO) hanya mampu bertempik (melaung) di atas nama bangsa Melayu saja dan ini sudah tentu tidak akan memberi kepuasan kepada bangsa lain,” katanya dalam Facebooknya, semalam.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar berkata, beliau optimis, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah sampai ke penghujung hayat dalam memimpin negara, umpama pohon yang reput akarnya walaupun pada zahirnya daun masih merimbun.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati untuk ‘berteduh’ di bawah UMNO kerana akan ditimpa bahaya pada masa depan kerana pertubuhan itu hanya menunggu masa untuk rebah.
“Saya nyatakan demikian kerana Ketuanan Melayu yang dibawa UMNO kini semakin tidak laku untuk dipasarkan kepada rakyat yang kini sudah semakin cerdik.
Melayu yang dibela UMNO kini hanya omong-omong kosong semata-mata.
“Saya sudah nyatakan, bahawa kononnya Melayu akan menghadapi bahaya jika Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum nanti hanyalah cerita dongeng UMNO saja,” katanya. -BH
Sumber : Kelab Greenboc
No comments:
Post a Comment