Kaji serangan BN jika Pakatan mahu pilihan raya asing, kata Nik Aziz
Nik Aziz menyempurnakan tugas harian beliau ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian semalam.
KUALA LUMPUR, 13 Dis : Cadangan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berasingan bagi negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat memerlukan kajian mendalam sebelum ia diguna pakai, kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sejak menerajui Kelantan sejak 1990, Menteri Besar ini biasanya akan membubarkan DUN seiring dengan pembubaran Parlimen oleh Barisan Nasional (BN), agar kedua-dua pilihan raya diadakan serentak.
Tradisi itu diteruskan ketika pada 2004 ketika Terengganu diterajui PAS.
Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, sama ada pilihan raya DUN wajar dilaksanakan berasingan atau sebaliknya, keputusan itu perlu dikaji terlebih dahulu khususnya terhadap kesan yang bakal dihadapi oleh kerajaan berkenaan sekiranya ia dilaksanakan.
Dipetik Harakahdaily yang menemui beliau di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di sini semalam, Nik Aziz mengulas kenyataan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipetik berkata kerajaan negeri dikuasai perikatan tiga parti itu mempunyai pilihan untuk mengadakan pilihan raya Dun berasingan jika kerajaan BN mengadakan pilihan raya umum tahun hadapan.
Katanya, kuasa membubarkan DUN adalah hak milik kerajaan negeri dan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat berhak mengadakan pilihan raya negeri.
Nik Aziz menambah sekiranya cara berkenaan dilaksanakan, ia akan memudahkan pelbagai jentera Umno dan BN menyerang negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.
“Jadi saya rasa cadangan itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan,” ujarnya.
Pakatan Rakyat kini menerajui Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Laporan pertengahan tahun ini menyebut kemungkinan Kedah, Pulau Pinang dan Selangor akan mengadakan pilihan raya DUN yang berasingan iaitu selepas tahun keempat mandat semasa.
Mandat semasa hanya akan berakhir Mei 2013, tetapi spekulasi menyebut pilihan raya umum ke-13 kemungkinan diadakan suku pertama tahun depan.
Laporan Bernama semalam menyebut, Nik Aziz kini menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana masalah pinggang.
Anaknya Nik Omar berkata Murysidul Am PAS itu dirawat di hospital itu sejak Jumaat lepas setelah dinasihatkan pakar perubatan pada Rabu.
Nik Omar berkata masalah pinggang itu dihidapi ayahnya sejak sekian lama selepas terjatuh dari kuda.
Menteri Besar Kelantan berusia 79 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan baik. -TMI
Anwar mahu pilihan raya negeri diasing
Dakwa kerajaan pembangkang berkuasa bubar DUN dalam tempoh berlainan dengan Pusat
PETALING JAYA: Kerajaan negeri dikuasai pembangkang mempunyai pilihan untuk mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) berasingan jika kerajaan Barisan Nasional (BN) mengadakan pilihan raya umum tahun depan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kuasa membubarkan DUN adalah hak milik kerajaan negeri dan negeri yang dikuasai pembangkang berhak mengadakan pilihan raya negeri berasingan dengan Kerajaan Pusat.
“Kita serah kepada kerajaan negeri untuk adakan pilihan raya negeri secara berasingan. Pada dasarnya pembangkang bersedia hadapi pilihan raya negeri jika ia diadakan tahun depan.
“Namun kita masih ada opsyen (mengadakan pilihan raya umum Parlimen dan DUN serentak atau tidak). Itu kuasa kerajaan negeri,” katanya pada sidang media mengenai konvensyen pakatan pembangkang yang akan diadakan di Pulau Pinang pada 19 Disember ini.
Hadir sama, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggap cadangan mengadakan pilihan raya umum Parlimen dan DUN secara berasingan menimbulkan lebih banyak keburukan seperti melayan pelbagai kerenah politik selain membazir wang rakyat.
Sementara itu kata Anwar, konvensyen pakatan pembangkang di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Ahad depan tidak akan menyentuh langsung isu penubuhan negara Islam diperjuangkan PAS.
Anwar berkata, tidak ada keperluan untuk pakatan pembangkang membincangkan isu itu kerana ia bukan faktor utama konvensyen dan ia bukan isu yang menjadi agenda utama pembangkang.
Katanya, konvensyen itu akan membincangkan pelbagai perkara seperti persiapan pilihan raya umum termasuk mengadakannya secara serentak di negeri dikuasai pembangkang, isu perlembagaan, dasar dan hala tuju pakatan pembangkang, ekonomi serta pendidikan.
“Kita tidak akan membincangkan isu penubuhan negara Islam yang diperjuangkan PAS sebaliknya menumpukan isu yang selama ini disepakati pembangkang. Mengapa kita perlu bincangkan isu yang tidak menjadi dasar konsensus parti pembangkang,” katanya. -BH
Sumber : Kelab Greenboc
No comments:
Post a Comment