KUALA LUMPUR, 22 Dis: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendakwa Kerajaan Umno BN berbohong dan sengaja melengah-lengahkan pindaan ke atas akta berkenaan yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat lebih setahun lalu.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh mempersoal sikap kerajaan yang bertegas untuk meneruskan Akta Keselamatan Dalam Negeri itu dan mengambil masa yang panjang untuk memindanya.
"Sekarang ini sudah penghujung tahun 2010, tak ada pun pindaan yang dijanjikan. Mana janji-janji mereka?
"Suatu yang sangat ketara ialah kerajaan tidak akan mudah melepaskan tongkat paling berkuasa ini. Mereka sedang cuba bersungguh-sungguh menjual idea pindaan dan bukan mansuh," kata beliau dalam sidang media di ibu negara hari ini.
GMI, tegasnya amat yakin pindaan yang dicanangkan kerajaan itu hanyalah pindaan kecil berbentuk kosmetik semata-mata.
Pindaan itu tegasnya, tidak akan mengubah apa-apa untuk mencegah ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia selagi tidak mengambil kira lima perkara asas akta zalim itu.
Lima perkara tersebut ialah penahanan tanpa bicara, kuasa-kuasa menteri yang terlalu luas, tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap orang tahanan dan isu persepsi awam bahawa ISA digunakan untuk kepentingan politik.
"GMI percaya bahawa sebarang pindaan terhadap kelima-lima perkara ini tidak akan membawa sebarang makna kerana kielima-lima aspek ini adalah antara yang membenarkan parti pemerintah untuk terus memerintah.
"Mungkin atas sebab itu, terdapat desas desus mengatakan hanya tempoh penahanan akan dipinda daripada 60 hari kepada 30 hari.
"Isu persepsi awam terhadap ISA hanya boleh ditangani dengan pemansuhan ISA, tindakan siasatan profesional polis, kewujudan semakan mahkamah dan pendekatan serta sikap yang lebih prihatin terhadap keadilan dan hak asasi manusia tanpa menjejaskan keselamatan negara," kata beliau.
Terus desak kerajaan mansuh ISA, bukan pinda
Sehubungan itu, GMI memutuskan untuk terus mendesak kerajaan memansuhkan ISA, membebaskan tahanan dan menutup Kem Kamunting (Kemta) menjelang tahun baru 2011.
Selain ISA, GMI juga menuntut semua undang-undang yang melanggar Perlembagaan Negara dan Artikel 9, 10 dan 11 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948 serta Artikel dalam Deklarasi Islam Hak Asasi Manusia Sejagat (UIDHR) 1981.
"GMI mengajak dan menyeru rakyat dan anggota alam gabungannya menyokong tuntutan memansuhkan ISA.
"GMI tidak akan sekali-kali tunduk kepada prinsip yang melibatkan penahanan tanpa bicara," tegasnya.
Selain itu katanya, GMI mahu laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ddibahaskan di parlimen dan melaksanakan syor yang dikemukakan.
Syed Ibrahim sebelum itu membentangkan aktiviti yang dilaksanakan GMI sepanjang tahun 2010 yang menyedarkan rakyat mengenai kewujudan akta ini.
Program paling besar yang berjaya membuka mata kerajaan terhadap tuntutan rakyat ialah Himpunan Mansuh ISA di ibu negara 1 Ogos lalu yang menghimpunkan ribuan rakyat selain program-program penerangan di seluruh negara.
Selain itu, GMI turut mendapat sokongan antarabangsa dengan tertubuhnya GMI UK oleh warganegara Malaysia yang tinggal di negara itu dan mengadakan program dan bantahan berterusan setiap bulan di hadapan pejabat Pelanciongan Malaysia di sana.
Sokongan padu juga daripada World Againts Torture (OMCT), (Amnesty International) AI, Human Rights Watch (HRW), Islamic Human Rights Commission, UK (IHRC) dan International Bar Association's Human Rights Institute (Ibahri).
Penambahan blok di Kemta
Sementara itu, peguam dari Majlis Peguam yang turut hadir, Syamsuriatina Ishak mendakwa kerajaan tidak berhasrat menutup Kem Kamunting apabila terdapat penambahan blok di kem berkenaan.
"Kita tidak fikir kerajaan akan tutup Kem Kamunting kerana terdapat penambahan 4 blok dua tingkat untuk penahan di Kamunting.
"Saya pergi ke sana untuk jumpa klien, dan saya nampak penambahan blok ini," katanya.
Sehingga ke hari ini terdapat 25 orang masih ditahan di Kamunting.
Turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah Khairunnizah Mohd Akhir, isteri tahanan Mustawan Ahbab yang ditahan pada 4 Oktober lalu kerana dituduh terlibat dengan Jemaah Islam (JI).
Harakahdaily/-
Sumber : Cina Islam
No comments:
Post a Comment