Showing posts with label Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Tokoh. Show all posts

Thursday, 16 January 2014

Mengapa PAS menentang GST?



Firman Allah:
أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا (79)الكهف.
Maksudnya:
Khadir berkata: “Adapun kapal (yang aku rosakkan) ini adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut. Aku jadikannya rosak, kerana mereka akan melalui negeri yang Rajanya merampas setiap kapal yang tiba.”

Firman Allah:
قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا (94) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (95) آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا (96(الكهف.
Maksudnya :
Mereka berkata: "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya Kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat Engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" (94)

Dia menjawab: "(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku kurniakan kepadaku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah aku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh." (95)

"Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu. Dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu."  Sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya." (96)

Al Quran memaparkan dalam satu surah, dua kisah benar di zaman silam, supaya diambil iktibar. Ianya merupakan kisah perbandingan di antara kerajaan yang zalim yang merampas setiap kapal yang lalu ke negerinya tanpa mengira pemiliknya kaya dan meskin, lalu nabi Khaidir merosakkan kapal kepunyaan orang-orang miskin bagi menyelamatkannya. Berbeza pula kerajaan yang adil, Rajanya seorang yang soleh dan bijak bernama Dzulqarnain, membantu kaum yang lemah, kerana kewangannya surplus,  sehingga menolak tawaran untuk membayar cukai bagi membantu mereka menghadapi pencerobohan kaum yang ganas.

sumber kewangan negara
Islam adalah membawa rahmat kepada seluruh manusia. Dalam konsep mengumpul sumber kewangan negara yang dilaksanakan dalam sistem ekonomi di peringkat masyarakat dan negara, nasional dan antara bangsa  dan inter negara-negara, Islam  menentang pengambilan kekayaan secara rakus tanpa mengira batas timbang rasa kemanusiaan. 

Dalam hal ini, Islam tetap menggalakkan kemajuan ekonomi sehingga berkemampuan untuk diri dan membantu pihak yang memerlukan bantuan. Islam juga tidak menyekat kekayaan yang diambil dengan cara yang baik dan membelanjakannya juga untuk kebaikan, dengan menetapkan sempadan dan kewajipan, serta menghalang kekayaan negara berpusing di kalangan orang-orang yang kaya dan pihak yang berkuasa. Batas halal dan haram dalam segala aspek, barangan, operasi dan akhlak dalam semua urusan, adalah sempadan dalam kegiatan ekonomi. Sistem ekonomi liberal kapitalis tidak mempunyai roh akhlak, halal – haram ini. Semua ini bertujuanuntuk menjaga kesaksamaannya dan keharmonian dalam kehidupan manusia yang bermasyarakat madani.

Dalam aspek sumber kewangan masyarakat dan negara, maka Islam mewajibkan sumber zakat secara ibadat yang menjadi rukun Islam kepada penganutnya. Para ulama juga mengizinkan percukaian dilaksanakan sekiranya sumber kewangan negara tidak mencukupi dengan  konsep yang adil  seperti zakat  juga.

Zakat diwajibkan keatas penganut Islam sehingga dimasukkan dalam rukun agama dan ibadat yangtidak boleh dibatalkan. Maka zakat tidak boleh dikenakan kepada penganut bukan Islam  kerana hak yang berbeza dalam prinsip ibadat dan konsepnya. Adapun cukai dikenakan kepada penganut bukan Islam dan penganut Islam juga dalam konsep bermasyarakat dan bernegara. Sekiranya kewangan negara mendesak maka cukai boleh ditambah; dikurang dan boleh pula dihapuskan sekiranya sudah ada sumber kewangannya mencukupi atau sebab-sebab yang lain.

golongan tidak diwajibkan zakat
Zakat terhadap penganut Islam diwajibkan kepada kalangan berkemampuan dan kaya sahaja, dimana kalangan miskin tidak diwajibkan zakat. Maka hukum Islam menetapkan kadar mewajibkannya yang dinamakan nisob. Dimana nisob ini juga dikira kadar lebihan daripada keperluan diri, keluarga dan pengurusan, dengandikecualikandaripada perkiraannya. Mereka yang berpendapatan tidak mencapai nisob dikira miskin atau yang tegarnya dinamakan fakir dan tidak diwajibkan zakat. Pungutan zakat pula mengikut haul (tahunan) atau musim bagi hasil pertanian.

Maka cukai yang dikenakan bagi keperluan negara yang melibatkan rakyat supaya menyumbang, tanpa mengira agama hendaklah berpandukan konsep pungutan zakat dengan mengecualikan kalangan miskin daripada cukai dan juga tidak membebankan lebih daripada kemampuan, serta menghalang bebanan daripada kesannya seperti berlakunya inflasi.

Khalifah Umar bin Al Khattab r.a. dan Umar bin Abdul Aziz yang banyak memperkenalkan cukai yang dinamakan jizyah,kharaj dan usyur, daripada sumber kegiatan ekonomi, berpandukan kepada konsep yang tidak membebankan rakyat miskin dalam sistem zakat. Maka cukai tidak dikenakan terhadap kalangan rakyat yang pendapatannya tidak mencapai tahap selesa atau kalangan penganggur atau kalangan yang bergantung sumbangan daripada pihak lain seperti paderi dan sami atau yang berkhidmat kepada negara dan masyarakat.

cukai boleh dihapuskan
Cukai boleh dihapuskan kerana tidak berkait dengan ibadat, tidak seperti zakat yang diwajibkan dan tidak boleh dibatalkan kepada penganut Islam kerana ianya dimasukkan dalam perkara ibadat sepanjang masa. Sejarah membuktikan bagaimana cukai lebih rendah kadarnya dibandingkan dengan zakat. Penurunan dan sehingga penghapusan cukai pula berlaku tidak seperti zakat, apabila tujuan daripada pungutannya tidak ada lagi kerana hasil lain yang mencukupi atau pihak berkenaan tidak berfungsi menunaikan tanggung jawab terhadap pembayar.

Contohnya Abu ‘Ubaidah (pemerintah wilayah Syam) membatalkan cukai jizyah yang bertujuan menjaga keselamatan pihak yang membayar daripada kalangan bukan Islam, apabila beliau menghadapi ancaman pihak tentera Rom, sehingga tidak mampu menjaga keamanan pembayar, atau mereka yang terlibat bertugas menjaga keamanan dan keselamatan.Cukai juga dikurang bahkan ditiadakan apabila sumber yang lain telah mencukupi, contohnya  Khalifah Umar bin Al Khattab pernah menghapuskan Usyur (cukai perniagaan) yang dikenakan kepada barangan asasi keperluan harian rakyat di tahun kemelesetan ekonomi bagi menurunkan harganya. Adanya kalangan negara Arab yang mempunyai sumber petroleum yang banyak membatalkan beberapa cukai kerana mewarisi kesan pemerintahan Islam.

Khalifah Umar bin Al Khattab dan Umar bin Abdul Aziz adalah contoh yang paling ideal kerana memerintah di zaman paling majmuk, wilayah yang luas dan mencabar. Di antara arahan mereka adalah melarang sekeras-kerasnya mengenakan cukai tanpa kemampuan pembayarnya. Mereka menggalakkan pengurusan yang menambahkan sumber yang ada tanpa membebankan rakyat bahkan mengancam untuk memecat sesiapa sahaja yang menaikkan cukai tanpa berlaku adil dan menunjukkan tidak berkemampuan mengendalikan urusan kewangan wilayahnya yang diberi autonomi.

krisis kewangan
Terkini negara kita sedang menghadapi krisis kewangan walaupun pihak kerajaan sentiasa  menafikannya. Maka dilakukan kenaikan cukai yang telah sedia ada dan mengadakan cukai baru. Terakhir pula diperkenalkan GST, cukai  terhadap barangan dan perkhidmatan. Alasannya supaya berlaku adil dengan melibatkan semua rakyat tanpa mengira kaya dan miskin menanggung bebanan menampung keperluan negara. Pendekatan ini adalah salah tafsir terhadap prinsip keadilan, konsep dan objektifnya.

Adil mengikut takrif Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukannya membebankan kepada semua tanpa mengira tahap kemampuan. Sudah pasti ada kalangan yang miskin yang terbeban dengan terlalu sedikit penambahan cukai daripada barangan keperluan dan menanggung kesan inflasi juga terhadap barangan yang kononnya tidak bercukai atau dalam kawalan. Dalam masa yang sama ada segelintir kalangan yang kaya-raya dan tidak bermasalah dalam semua keadaan, mereka inilah yang sepatutnya mengambil tanggung jawab cukai tambahan.

Sepatutnya pihak kerajaan yang diamanahkan melakukan muhasabah diri secara ikhlas, terhadap ketirisan daripada sumber yang telah sedia ada dan membetulkan kesilapan yang berlaku serta berani,tegas dan telus bertindak terhadap penyelewengan, disamping melakukanislah(reformasi) sebelum transformasi. Transfomasi tanpa Islah boleh membawa keadaan yang lebih parah.

Saya tegaskan dalam ucapan bajet, bahawa ketirisan berlaku dengan sebab projek mewah sehingga meninggalkan perkara aulawiyyat(keutamaan) bagi rakyat  menyebabkan keborosan dan pembaziran. Masih berlakunya rasuah yang mencacatkan projek yang dirancang dengan baik dan menggagalkannya. Hutang bersama riba yang terpaksa dibayar daripada peruntukan negara dan bencana alam disebabkan kesalahan manusia dan lain- lain. Kebocoran ini menyebabkan defisit yang memerlukan penampungan daripada sumber kewangan tambahan. Semuanya daripada kesalahan kerajaan, bukannya rakyat.

Penyelesaiannya bukan dengan membebankan rakyat yang lemah,dengan menaikkan cukai sedia ada, mengadakan cukai baru dan kenaikan harga barangan daripada kesannya yang tidak terkawal, termasuklah bayaran tol yang sepatutnya diturun dan akhirnya dihapuskantetapi dijadikan kesempatan mengambil duit rakyat tanpa mengira kaya dan miskin.

menyekat ketirisan
Penyelesaiannya ialah menyekat ketirisan dan menghapuskannya. Bertindak terhadap sumber dan puncanya dengan berani, ikhlas dan tegas. Menampung kekurangan sementara waktu terhadap mereka yang berkemampuan sahaja dengan menukarkan bayaran rasuah untuk segelintir manusia, digantikan kenaikan cukai untuk semua rakyat. Memayungi rakyat yang lemah supaya tidak menerima tempiasnya dengan langkah yang bijak, saperti kawalan harga barangan keperluan, penurunan dan penghapusan cukai dan subsidi dengan cara yang sistematik daripada sumber kekayaan dan keuntungan pihak tertentu.

Malangnya kerajaan mengambil jalan pintas tanpa peduli rakyat. GST adalah percukaian zalim, kalau zakat dikira nisob nya, adapun GST tanpa nisob mengambil daripada sekecil-kecil barangan dan mencakar paling miskin, sehinggalah paling mahal dan paling kaya, bahkan yang kaya lebih selesa. Kalau zakat mengikut haul (tahun) dan musim, maka GST setiap hari dan saat. Kalau cukai mengikut Islam mengambil iktibar daripada zakat, maka GST mengikut selesa tanpa iktibar. Laksana lebih daripada raja yang merampas kapal yang elok, adapun yang dirosakkan tidak dirampas. Maka jauh sekali daripada menyontohi raja yang adil, Dzulkarnain yang disanjung oleh Al Quran apabila tidak menerima cukai kerana kewangannya surplus, bahkan GST adalah menyontohi raja zalim yang merampas setiap kapal.

sumber : TUAN GURU ABDUL HADI AWANG, HD

Friday, 16 November 2012

Sayyidah Nafisah r.anha

                            Sayyidah Nafisah r.anha: Serikandi Ahlul Bait Rasulullah s.a.w

Bumi Mesir diberi kelebihan oleh Allah dengan bersemadinya sekalian ramai jasad Ahlul Bait. Antara mereka ialah Sayyidah Nafisah r.anha. Nama Sayyidah Nafisah tidak asing lagi bagi umat Islam di Mesir ini. Masjid beliau yang terletak berhampiran Kubu Salahudin Al-Ayubi, Kaherah menjadi saksi betapa kasihnya umat Islam kepada beliau apatah lagi tanggal 9 Jamadilakhir setiap tahun, sekalian umat Islam akan berkumpul di perkarangan masjid beliau bagi merayakan maulid beliau.

Berdekatan masjid beliau, juga terdapat beberapa maqam Ahlul Bait Nabi dan ulamak yang lain antaranya Sayyidah Sukainah binti Saidina Husein, Sayyidah Ruqayah binti Saidina Ali, bapa saudaranya Sayyid Muhammad Al-Anwar dan pengarang kitab "Tafsir Mimpi" Imam Ibnu Sirin.


Keturunan Mulia

Sayyidah Nafisah memang terkenal sebagai seorang serikandi yang berani bahkan terkenal dengan kehebatan ilmunya yang tinggi hingga digelar sebagai “Ummul ‘Ulum” (ibu sekalian ilmu). Nama beliau ialah Nafisah binti Sayyid Hasan al-Anwar bin Saidina Zaid bin Saidina Hasan bin Saidina Ali bin Abi Talib, menantu Rasulullah s.a.w. “Nafisah” diambil dari kalimah "an-nafasah" yang bermaksud kemuliaan atau ketinggian keadaan sesuatu. Beliau sangat menyerupai emak saudara sebelah bapanya yang bernama Sayyidah Sukainah al-Kubra binti Zaid r.anhum.

Ayahandanya Sayyid Hasan al-Anwar dan diberi gelaran “al-Anwar” iaitu yang bercahaya kerana keadaan mukanya yang kelihatan bercahaya kesan daripada kuat ibadat yang ikhlas kepada Allah. Beliau dilantik oleh Khalifah Jaafar al-Mansur sebagai gabenor Madinah al-Munawarah tahun 150 hijrah. Sayyidah Nafisah dilahirkan di Mekah tanggal 11 Rabiul Awal tahun 145 hijrah. Beliau dibesarkan di Madinah kerana ayahandanya seorang gabenor. Sejak kecil, beliau lebih suka membaca al-Quran, selawat ke atas Nabi di samping gemar menziarahi maqam Nabi. Hingga satu masa, setelah usia Sayyidah Nafisah mencecah beberapa tahun, ayahandanya telah membawa beliau menuju ke bilik yang bersemadi jasad Rasulullah s.a.w. Lalu ayahandanya berkata, "Ya Rasulullah! Redhailah anak perempuan aku yang aku namakan Nafisah ini." Lalu satu malam ayahandanya bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w lalu Baginda bersabda, "Wahai Hasan!Sesungguhnya aku telah meredhai anakmu yang juga zuriatku, Nafisah dan Allah Taala juga meredhainya dengan sebab redha aku kepadanya".

Perkahwinan

Sayyidah Nafisah berkahwin dengan sepupu beliau yang berketurunan Saidina Husein, Sayyidi Ishaq al-Mu'taman bin Saidina Jaafar As-Sodiq bin Saidina Muhammad al-Baqir bin Saidina Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain bin Saidina Ali menantu Rasulullah s.a.w. Suaminya digelar sebagai "al-Mu'taman" kerana beliau seorang yang sangat amanah dan kuat imannya. Beliau merupakan saudara kandung kepada Sayyidah Aisyah (bukan Aisyah isteri Rasulullah s.a.w) iaitu anak kepada Saidina Jaafar as-Sodiq. Sayyidah Aisyah juga disemadikan dalam masjidnya di Hayyu Al-Khalifah dekat dengan Kubu Salahudin Al-Ayubi di Kaherah. Tatkala Sayyid Hasan Al-Anwar meninggalkan jawatan gabenor Madinah, ia diganti oleh menantunya Sayyid Ishaq Al-Mu'taman sebagai gabenor bagi khilafah Abbasiyah. Beliau diakad nikah pada hari Jumaat 5 Rejab tahun 161 hijrah dan telah dikurniakan dua cahaya mata bernama Qasim dan Ummu Kalthum.

Ibadat Sayyidah Nafisah

Sayyidah Nafisah sangat gemar membaca al-Quran, kuat berpuasa di siang hari, solat pada malamnya, amat kasihan belas kepada orang miskin, anak-anak yatim dan manusia sekaliannya. Diriwayatkan daripada Sayyidah Zainab binti Sayyid Yahya yang juga anak saudaranya, beliau berkata, “Aku telah berkhidmat kepada emak saudaraku (sebelah ayah), Sayyidah Nafisah selama 40 tahun. Aku tidak pernah lagi melihat Sayyidah Nafisah tidur pada siang dan malam kecuali kerana darurat (terpaksa) kerana sibuk dengan beribadat. Beliau juga sentiasa berpuasa kecuali dua hari raya dan hari tasyriq. Lalu aku bertanya kepadanya, “Wahai emak saudaraku!Tidakkah kau berasa penat dan kasihani tubuhmu?” Lantas beliau berkata, “Bagaimana aku mampu mengasihani diriku sedangkan dihadapanku azab Allah sedang menanti. Tiada siapapun yang dapat mengelak daripadanya kecuali orang-orang yang berjaya.”

Sayyidah Nafisah telah mengerjakan haji sebanyak 30 kali dan kebanyakannya beliau pergi dengan berjalan kaki. Beliau selalu berdoa sambil menangis di sisi Kaabah “Tuhan ku!Penciptaku!Penolongku!Berikanlah kegembiraan kepadaku dengan redha-Mu kepadaku. Janganlah diriku ini menjadi sebab sebagai pendinding (hijab) antara Kau dan aku. Tuhanku!Permudahkanlah aku menziarahi kubur kekasih-Mu, Ibrahim (iaitu Mekah)”.

Pada hari yang kesepuluh akhir Ramadhan tahun 193 hijrah Sayyidah Nafisah bermusafir ke Mesir bersama suami, ayah dan kedua-dua anaknya yang ketika itu umur beliau mencecah 48 tahun kerana bertujuan menziarahi ahli keluarga Rasulullah s.a.w yang lain di Mesir. Setelah menziarahi Mekah dan Baitulmaqdis, mereka tiba di Mesir dengan disambut meriah oleh sekalian penduduk Mesir termasuk sekalian pembesar negara ketika itu. Kebanyakan mereka menjemput Sayyidah Nafisah ke rumah. Hinggalah beliau tiba di rumah Ummu Hani’, satu keajaiban telah berlaku apabila Allah s.w.t telah memuliakan hamba-Nya itu dengan disembuhkan kecacatan seorang budak perempuan Yahudi dengan keberkatan air wuduk Sayyidah Nafisah yang menyebabkan keluarga budak tadi memeluk Islam. Sejak itu,berduyun-duyun manusia menziarahi Sayyidah Nafisah meminta doa dengan pelbagai hajat hingga suaminya bercita-cita untuk kembali ke Madinah. Lalu Sayyidah Nafisah berkata, “Aku tidak boleh berbuat demikian kerana aku melihat Rasululah s.a.w dalam mimpi bersabda,“Jangan tinggalkan Mesir kerana Allah akan mematikan kamu di sana”.

Kasihnya beliau kepada Mesir dan penduduknya amatlah tinggi. Beliau pernah berkata, “Sesungguhnya aku amat menyayangi penduduk Mesir. Aku bercita-cita untuk dikuburkan di sini. Allah memuliakan Mesir dengan menyebutnya dalam al-Quran sebagaimana disebutnya Mekah.” (rujuk kitab Ad-Durr An-Nafisah oleh Syeikh Ramadhan Abdu Rabbuhu Asfur r.anhu).

Sayyidah Nafisah dan Imam Syafie

Imam Syafi’e r.anhu, Imam mazhab Feqah yang masyhur sempat hidup sezaman dengan Sayyidah Nafisah. Sayyidah Nafisah menjalani kehidupan di Mesir selama 15 tahun iaitu dari 26 Ramadhan tahun 193 hijrah hingga 15 Ramadhan tahun 208 hijrah. Imam Syafi’e amat kerap menziarahi beliau. Ini sebagai tanda mulia dan kasihnya Imam Syafi’e kepada ahli keluarga Nabi. Selain ziarah, Imam Syafi’e juga turut mendengar bacaan hadis daripada Sayyidah Nafisah dan beliau juga membaca hadith kepada Sayyidah Nafisah. Beliau juga kerap menunaikan solat terawih di masjid Sayyidah Nafisah dan apabila Imam Syafi’e ditimpa sakit beliau pasti akan menghantar seorang utusan bertemu Sayyidah Nafisah dan mengirim salam bertujuan menggantikannya menziarahi Sayyidah Nafisah. Beliau pasti meminta Sayyidah Nafisah mendoakan kesihatan untuk beliau. Hingga satu hari beliau ditimpa sakit yang membawa kepada kewafatan beliau, seperti biasa seorang utusan diutus bertemu Sayyidah Nafisah dan kali ini Sayyidah Nafisah berdoa, “Semoga Allah memberikan kepadanya (Imam Syafi’e) sebaik-baik pertemuan dan memberikan kenikmatan dengan melihat wajah-Nya yang mulia.” Maka utusan itu kembali dan memberi tahu apa yang didengar kepada Imam Syafi’e lalu beliau tahulah bahawa ajalnya bakal tiba tidak lama lagi. Lalu Imam Syafi’e berwasiat agar Sayyidah Nafisah menyembahyangkan jenazahnya lalu wafatlah Imam Syafi’e pada hari Khamis, akhir bulan Rejab tahun 204 hijrah.

Apabila mendengar berita kewafatan Imam Syafi’e dengan penuh kesedihan, Sayyidah Nafisah berdoa,” Semoga Allah merahmatinya,dan adalah dia seorang yang memperelok wuduk”. Ini adalah sebagai penyaksian Sayyidah Nafisah kerana wuduk adalah asas melakukan ibadat. Apabila cantik asasnya maka cantiklah ibadat yang dibina padanya seolah-olah beliau berkata, “Imam Syafi’e itu elok pada ijtihadnya.” Tatkala terasa kesakitan yang menimpa amatlah kuat hingga memisahkannya dari dunia,Sayyidah Nafisah mula menggalikan kubur dalam biliknya. Pada saat-saat akhir usianya,beliau sering turun dan beribadat dalam liang lahad tersebut dengan banyak bersembahyang sunat dan membaca al-Quran. Berkata Al-Allamah Al-Ajhauri, “Adalah Sayyidah Nafisah membaca al-Quran dan mengkhatamnya dalam kuburnya sebanyak 6,000 kali dan beliau menghadiahkan pahalanya kepada sekalian umat Islam yang telah meninggal dunia.”

Menghembus Nafas Terakhir

Kesakitan yang menimpanya semakin kuat pada pertengahan bulan Ramadhan tahun 208 hijrah dan beliau sedang berpuasa ketika itu. Maka sekalian orang yang hadir ketika itu menyarankan agar beliau berbuka puasa sahaja bagi meringankan kesakitan yang dihadapi. Mendengar hal tersebut beliau berkata, “Pelik sungguh. Aku berpuasa 30 tahun dan aku berdoa kepada Allah agar dimatikan aku dalam keadaan berpuasa tiba-tiba aku diminta berbuka?”.

Kesakitan yang ditanggungnya berlarutan hingga hari Jumaat hari yang ke-15 Ramadhan. Mulut beliau masih lagi mampu membaca al-Quran hingga sampai pada ayat ke-127 daripada Surah al-An’am yang bermaksud, “Bagi mereka itu (orang-orang yang merenung dan menghayati pesanan dari Allah) disediakan tempat yang selamat dan aman iaitu syurga di sisi Tuhan mereka dan mereka berada dalam kekuasaan dan pertolongan-Nya dengan sebab apa yang mereka kerjakan di dunia dahulu.” Ketika selesai membaca ayat ini, sunyi seketika rumah beliau diikuti tangisan dan doa sekalian manusia yang hadir mengiringi roh beliau yang baru dijemput mengadap Allah.

Disemadikan Di Mesir

Setelah kewafatan Sayyidah Nafisah,suaminya Ishaq al-Mu’taman telah bercadang untuk membawa kembali jasad Sayyidah Nafisah ke Madinah untuk dikebumikan bersama-sama ahli keluarganya yang lain. Tetapi,penduduk Mesir telah membantah dan meminta agar Sayyidah Nafisah disemadikan di Mesir dalam kubur yang digali dengan tangan beliau sendiri. Setelah cubaan memujuk keluarganya menemui jalan buntu, sekalian penduduk Mesir telah mengadu kepada Ubaidillah bin as-Sura, gabenor Mesir ketika itu agar dapat menangani masalah ini dengan baik. Dikatakan sekalian penduduk Mesir telah mengumpulkan sekalian harta bagi diberikan kepada keluarga Sayyidah Nafisah agar hasrat untuk mengembalikan Sayyidah Nafisah ke Madinah dibatalkan. Pada malamnya,suaminya telah bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w dan Baginda bersabda kepada Ishaq,” Wahai Ishaq! Kembalikan harta manusia (penduduk Mesir) kepada mereka dan semadikan Nafisah di sisi mereka kerana rahmat diturunkan kepada mereka dengan berkat Nafisah.” Keesokannya, Sayyid Ishaq telah memaklumkan mimpinya kepada penduduk Mesir. Dengan penuh gembira dan syukur kepada Allah, jasad Sayyidah Nafisah disepurnakan lalu disemadikan di dalam biliknya yang kini dibina masjid padanya yang dinamakan “Masjid Sayyidah Nafisah”. Setelah itu,suaminya bersama dua lagi anaknya kembali ke Madinah dan meninggal dunia di sana. Semoga Allah meredhai sekalian Ahli Bait Rasulullah s.a.w. dan menghimpunkan kita sekalian bersama-sama meraka di bawah panji datuk mereka dan pemberi syafaat kita,Nabi Muhammad s.a.w. Amin.

Wednesday, 14 November 2012

Antara Iltizam dan Bebas

Agama Islam :
Antara Keiltizaman Beramal dan Kebebasan Menganut

الحمد لله الذي علم الإنسان بعد جهل و هداه بعد ضلال و فقهه بعد غفلة والصلاة و السلام على محمد رسول الله الذي أرسله ربه للناس كآفة بشيرا و نذيرا و هاديا و معلما ليهلك من هلك عن بينة و يحي من حي بينة

Keiltizaman Beramal.

1. Islam adalah agama wahyu. Ia diturunkan oleh Allah swt Tuhan Yang Maha Mencipta kepada Nabi Muhammad saw. Ia adalah cara hidup yang sempurna dan dimuktamadkan oleh Allah swt sebagai satu - satunya jalan yang lurus dan benar.

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Sesungguhnya ini Jalanku jalan yang lurus maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan sekali - kali kamu mengikut jalan - jalan yang lain kelak kamu akan menyeleweng dari jalanNya. Demikian itu Allah telah wasiatkan kamu dengannya semoga kamu bertaqwa.

Surah Al Ana'am : ayat 153

2. Seorang yang mengaku Islam [ muslim ] wajib melaksanakan peraturan dan ketetapan syariat Islamiyah sebagai komitmen beragama. Mereka tidak boleh mengingkari syariat yang telah ditetapkan oleh Allah swt dan RasulNya saw. Juga mereka tidak boleh mendustakannya. Tiada pilihan dan kebebasan bagi mereka yang mengaku beriman kepada Allah swt melainkan mesti akur dan patuh pada ketetapanNya.

a] Tiada Kebebasan memilih

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

Tidak layak bagi mereka yang beriman lelaki dan perempuan apabila telah ada ketetapan Allah dan RasulNya saw. lantas mereka membuat pilihan yang lain dalam urusan mereka [ selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah swt dan RasulNya saw ] dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya saw maka sesungguhnya ia telah sesat dengan satu kesesatan yang nyata.

Surah Al Ahzaab : Ayat 36

b] Tidak boleh Ingkar [ menolak dan menafikan syariat ]

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

Sesungguhnya orang - orang yang ingkar [ kufur ] terhadap ayat - ayat kami, nescaya kami akan salai mereka di atas para api. Setiap kali luntur kulit mereka, kami gantikan mereka dengan kulit yang baru supaya mereka merasai azab. Sesungguhnya Allah swt adalah Tuhan yang Maha Gagah lagi Maha Bijak.

Surah An Nisa' : Ayat 56

c] Tidak boleh dustakan syariat

إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ

Sesungguhnya orang - orang yang mendustakan ayat - ayat kami dan berlagak sombong terhadapnya, nescaya tidak dibuka pintu langit dan mereka tidak boleh memasuki syurga Allah sehinggalah seekor unta boleh memasuki lubang jarum. Demikianlah balasan buat penjenayah.

Surah Al A'raaf : Ayat 40

3. Seorang muslim bukan sahaja tidak boleh mengabaikan perintah dan larangan Allah swt, malah mereka juga mesti memastikan aqidah atau keyakinan mereka kepada Islam adalah muktamad tanpa sebarang keraguan dan berbelah bahagi terhadap kebenaran Islam. Berpaling daripada Islam selepas menganutnya [ murtad ] adalah satu jenayah besar dalam Islam justeru ia satu pengkhianatan dan persendaan terhadap agama Allah swt. Tuhan Yang Mencipta sekelian alam termasuk manusia.

مَن كَفَرَ بِاللَّهِ مِن بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَٰكِن مَّن شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِّنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman [ maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah ] kecuali orang yang dipaksa [ melakukan kufur ] sedang hatinya tenang tenteram dengan iman, akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar.

Surah An Nahl : 106

Kebebasan menganut

4. Islam tidak pernah memperjuangkan kebebasan beragama justeru Islam telah menegaskan bahawa satu - satunya agama yang benar ialah Islam. Bahkan Islam memerintahkan ummatnya berjuang bagi mempertahankan Islam dan menyebarkan dakwah Islam ke serata pelusuk dunia menembusi setiap sanubari manusia. Agama atau cara hidup yang diiktiraf oleh Allah swt hanya Islam.

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Sesungguhnya cara hidup [ Ad Deen ] di sisi Allah ialah Islam dan tidaklah bercanggahan orang - orang yang diberikan kitab kecuali setelah sampai kepada mereka ilmu pengetahuan, ekoran hasad dengki yang melampau dikalangan mereka dan barangsiapa yang mengingkari ayat - ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat pantas hitunganNya.

Surah Aali Imran : Ayat 19

5. Namun Islam tidak pernah bahkan melarang ummatnya memaksa non muslim untuk menganut Islam. Justeru Islam adalah agama fitrah yang datang dari Tuhan Yang Maha Benar, maka ia mesti diterima dengan benar dan yakin tanpa sebarang paksaan. Bahkan Islam sekali lagi melarang ummatnya mempersenda agama lain dan tuhan - tuhan yang disembah oleh mereka.

a] Tiada paksaan dalam menganut Islam.

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Tidak ada paksaan dalam menganut agama Islam. Sesungguhnya telah nyata petunjuk iman berbanding kekufuran. Maka barangsiapa yang mengingkari toghut dan beriman kepada Allah swt maka sesungguhnya ia telah berpegang teguh dengan tali Allah yang kukuh yang tidak akan putus selamanya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Surah al Baqarah : Ayat 256

Asbabun Nuzul ayat ini menurut satu riwayat adalah kerana seorang Ansar yang bernama Abul Hushain أبو الحصين dari suku Bani Salim bin Auf. Ia mempunyai dua orang anak lelaki yang telah menganut agama Nasrani sebelum kedatangan Islam ke Madinah. Sewaktu kedua - dua anak ini datang ke Madinah bersama orang Nasrani, lalu mereka singgah di rumah bapanya .

Kemudian bapanya menahan kedua - dua anaknya dan tidak boleh pergi melainkan mereka mestilah menganut Islam. Apabila berlaku pertengkaran antara bapa dan anak - anaknya, lalu kes ini dirujuk kepada Rasulullah saw.

Bapa mengadu : Ya Rasulallah, adakah patut anak saya masuk neraka sedang saya hanya melihatnya ?

Sejurus itu Allah swt menurunkan ayat ini yang bermaksud : "Tidak ada paksaan dalam menganut agama Islam, sesungguhnya telah nyata petunjuk iman berbanding kekufuran"

b] Tidak boleh mempersenda agama lain.

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Dan janganlah kamu cerca apa - apa yang mereka sembah selain dari Allah swt, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap ummat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

Surah Al Ana'am : Ayat 108

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

http://www.eperjuangan.com/2012/11/antara-iltizam-dan-bebas.html

Tuesday, 3 July 2012

Dompet Tok Guru Hanya Sampul Surat



JOHOR BAHRU – Sifat merendah diri dan zuhud terserlah ketika Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS ingin mengeluarkan wang lalu dompetnya terjatuh di atas lantai pada program Himpunan Hijau Ke Putrajaya peringkat Negeri Johor di Dataran Dahlia, dekat sini, baru-baru ini.
Menariknya, apabila dompetnya itu hanyalah sekeping sampul surat biasa telah membuatkan ramai yang terkejut dan sukar untuk mempercayai seorang yang bertaraf menteri besar hanya memiliki sesuatu seperti demikian.
Ibn bacoks ketika merakamkan gambar tersebut sempat mendengar bisikan-bisikan ramai dengan pelbagai ungkapan takjub kerana teruja dengan peribadi yang ditonjolkan secara sepontan oleh tokoh pujaan ramai itu.
Aksi spontan itu disaksikan lebih 10,000 orang ketika Menteri Besar Kelantan itu ingin menurunkan tandatangan pada signbord simbolik kepada kepulangan Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS ke Johor.
Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan ringkas, Salahuddin menceritakan pengalamannya sewaktu memenuhi undangan makan malam daripada sebuah keluarga miskin di utara semenanjung.
Katanya, dua keping getah yang disidai di tempat yang berasingan itu difahamkan untuk sara hidup anak beranak, manakala selebihnya untuk perjuangan.
Beliau yang terharu dengan pengorbanan seorang yang dianggap dhaif, tetap mahu berjuang sekalipun tinggal hanyalah sekeping getah demi kelangsungan jemaah.
”Pakcik itu boleh berjuang hidup mati hanya untuk Islam, apalah yang ada pada diri saya. Saya serahkan diri pada Allah. Balik ke Johor untuk bertanding. Itu niat (ikhlas) saya,” katanya lagi bernada merendah diri.

Wednesday, 6 June 2012

Beliau adalah 'ulama kesayangan ummah

Kenali tokoh harakah nusantara :

Sengaja saya paparkan kembali di sini untuk pembaca lebih mengenali pemimpin gerakan Islam yang dihormati dan disegani kawan mahupun lawan. Beliau adalah seorag tokoh yang telah banyak berkorban demi memastikan Islam kembali tertegak di muka bumi ini.

…Al Fadhil Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Beliau dilahirkan pada 6 Zulhijjah 1366 bersamaan [ 20 Oktober 1947. ] di Kampung Rusila Marang , Terengganu . Anak ke 5 dari 9 orang adik beradik .

.2. Tuan Guru menuntut di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang kemudian Sekolah Agama Marang dan seterusnya mengambil senawi di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Disamping itu belajar agama, Bahasa Arab serta politik dari ayah sendiri iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhamad.

3. Tuan Guru melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 – 1973 . Tamat dengan B.A (Syariah) . Melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah) dan berjaya menamatkannya dalam masa 2 tahun sahaja (1974 – 1975)

4. Tuan Guru Mula aktif sejak tahun 1964 iaitu semasa belajar lagi sebagai Setiausaha Ranting (sekarang cawangan) PAS kampung Rusila , Marang .

5. 1976 , setelah tamat belajar dan pulang ke tanah air , beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1977 dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980. Pada tahun 1989 di pilih menjadi Timbalan Presiden PAS setelah Dato’ Fadzil Mohd Noor dipilih menjadi Presidennya.

6. Tuan Guru Mula menyertai pilihan raya sebaik sahaja pulang ke tanah air pada tahun 1978 di DUN Marang dan kalah di tangan Tengku Zahid Musa dengan majoriti 68 undi. Pada tahun 1982 diamanahkan sekali lagi menjadi calon PAS di DUN Marang dan Parlimen Dungun. Menang di DUN Marang tetapi kalah di Parlimen Dungun di tangan Haji Awang Jabar. Pada tahun 1986, bertanding DUN Rhu Rendang dan menang tetapi kalah di Parlimen Marang di tangan Abdul Rahman Bakar. Pada tahun 1990 menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang . Begitu juga tahun 1995, menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang.

.7. Tuan Guru juga terlibat di peringkat antarabangsa di Madinah apabila menjadi Ketua Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah di samping menjadi Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah. Semasa di Asia Barat, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Khudsi. Di Mesir pula, beliau menjadi Setiausaha Seksyen Syariah dan Undang-undang Persatuan Melayu Republik Arab Mesir. Sebagai pemimpin PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang banyak terlibat di peringkat antarabangsa samada gerakan Islam atau gerakan rakyat.
Antaranya :-

a] Ahli Penyelaras Sekretariat Parti-parti Islam Sedunia yang berpusat di Istanbul Turki.
b] Ahli Sekretariat Perjuangan Rakyat mempertahankan Baitul Maqdis yang berpusat di Amman, Jordan.

c] Ahli Majma’ Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran.

d] Ahli deligasi ahli Parlimen parti-parti Islam
yang dipimpin oleh Dr.Necmetin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki menemui Setiausaha Agung PBB, Butros Butros Ghali serta menemui Ahli Senat Amerika Syarikat.

e] Menyertai deligasi ahli-ahli Parlimen Parti Islam melawat Eropah yang diketuai oleh Dr. Erbakan.

f] Menyertai deligasi pemipin parti Islam seluruh dunia menemui raja-raja serta presiden negara-negara Asia Barat
sebelum Perang Teluk.

g] Mengiringi Presiden PAS, Dato’ Fadzil Mohd Noor bersama deligasi pemimpin German Islam seluruh dunia untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan mujahidin Afghanistan.

8. Kepimpinan beliau sejak awal sering berdepan dengan ujian getir samaada yang datang dari tekanan luar parti mahupun permasaalahan dalaman parti . Kesabaran dan ketabahan beliau mendepani segalanya adalah suatu yang sangat mengkagumkan . Semoga Allah swt terus mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada beliau .


rujukan http://www.eperjuangan.com/2009/10/selamat-ulangtahun-ke-62.html

Wednesday, 2 March 2011

Presiden PAS arah solat ghaib untuk Erbakan

TEMERLOH, 2 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta semua ahli PAS agar menunaikan solat jenazah ghaib untuk pemimpin gerakan Islam Turki yang meninggal baru-baru ini, Profesor Nechmuddin Erbakan.

Erbakan, yang disifatkan sebagai bapa kepada gerakan Islam sedunia termasuk Malaysia meninggal dunia Ahad lepas.


Sementara itu, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS telah diutuskan khas oleh Abdul Hadi untuk mewakili beliau ke majlis perkebumian Erbakan.Syed Azman melaporkan, jutaan rakyat Turki serta perwakilan gerakan Islam dari seluruh dunia menyhertai majlis perkebumian mujahid agung itu.

Suasana di Masjid Al-Fateh di tengah-tengah kota Istanbul di selubungi rasa sayu dan sedih yang amat memilukan, lapor beliau.

Pemergian mujahid agong Nechmuddin Erbarkan di tangisi jutaan rakyat Turki serta umat Islam di seluruh pelusuk dunia.

"Beliau pergi buat selama-lamanya meninggalkan kita," tulis beliau dari sana.

Nechmuddin Erbarkan, seorang pejuang Islam yang gigih merupakan bapa perubahan gerakan Islam Turki yang telah merobah corak politik yang ada di Turki.

Beliau pernah di kenakan tahanan rumah, pernah keluar masuk penjara, pernah menjadi Perdana Menteri Turki dan juga amat gigih memperjuangkan reformasi politik di Turki.

Beliau juga amat di hormati di peringkat antarabangsa serta menjadi ’bapa’ kepada pimpinan gerakan Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Hubungan beliau yang amat rapat dengan pimpinan gerakan Islam menjadikan beliau sentiasa di rujuk dan menjadi contoh kepada gerakan Islam yang lain.

"Beliau juga mempunyai hubungan 'istimewa' dengan Presiden PAS, Datuk Sri Abdul Hadi Awang," tulis Syed Azman kepada Harakahdaily.

"Saya yang sempat hadir mewakili Presiden serta seluruh kepimpinan PAS di majlis perkebumian beliau, merasa amat pilu dan sayu apabila melihat hampir dua juta rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat hadir untuk sama-sama bersolat jenazah di masjid Al Fateh di tengah-tengah kota Istanbul.

(Gambar: Jutaan rakyat Turki memberikan penghormatan terakhir kepada Erbakan di tengah-tengah kota Istanbul)

"Semua pejabat dan jalan-jalan di tutup dan rakyat berpusu-pusu dri pagi lagi menuju ke Masjid Al Fateh.

Turut hadir adalah Presiden Turki Abdullah Gul dan Perdana Menteri Rechab Tayyib Erdogan. Kedua-dua mereka adalah merupakan anak murid kepada Sheikh Erbarkan," lapor beliau.

Pimpinan Gerakan Islam dari seluruh dunia juga turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Mujadid Agong ini, antaranya, Sheikh Rachid Ghanoushi dari Tunisia, Mohammad Nazzal dari Hamas, Sheikh Mehdi Akiff dari Ikhwan Muslimin Mesir, Qadhi Hussien Ahmed dari Jamaat Islami Pakistan serta pimpinan gerakan Islam dari Moroko, Algeria, Sudan, England, Austria dan Afrika Selatan.

Selepas solat jenazah, beliau di kebumikan di perkuburan Negara yang terletak berdekatan dengan Masjid Al Fateh.
"Sayu dan pilu saya melihat ribuan rakyat yang menangis terisik-isik mengiringi pemergian mujahid agong ini," katanya.

Dari anak-anak kecik kepada yang tua semua bersedih dengan pemergian pimpinan agong mereka ini.
Sahabat-sahabat dari gerakan Islam juga tidak dapat menahan rasa sebak dan pilu mengiringi jenazah Mujahid Agong ini.

Inilah contoh Mujahid agong yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Airmata kesedihan membasahi semua pimpinan gerakan islam yang hadir dan pemergian beliau amat di rasai semua dan sukar di cari ganti.

"Selamat tinggal Mujahid Agong Nechmuddin Erbarkan," tulis Syed Azman dalam laporannya.


sumber: harakahdaily

Saturday, 4 December 2010

Al-Ustaz Sa'id Ramadhan bukan Syaikh Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti

Memandangkan ramai yg terkeliru antara al-Ustaz Sa'id Ramadhan dan Syaikh Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti, maka saya ingin menceritakan serba sedikit tentang peribadi tokoh hebat ini.
al-Ustaz Sa'id Ramadhan rahimahullah (1929-1995M = 1345-1416H)

al-Ustaz Sai'd Ramadhan (Abu Aiman) rahimahullah merupakan seorang ahli pidato dan pendakwah yg berasal dari Tanta, Mesir. Beliau ialah menantu kepada as-Syahid Imam Hasan al-Banna rahimahullah. Imam Hasan al-Banna telah mengahwinkan beliau dengan anak sulungnya. Beliau antara individu paling rapat dengan as-Syahid. Beliau juga merupakan pimpinan gerakan Ikhwanul Muslimin dan mempunyai jasa yg besar dalam perjuangan umat Islam di Palestin. Beliau ialah Setiausaha Peribadi kepada as-Syahid. Beliau ialah bapa kepada Prof Tariq Ramadhan, cendekiawan Islam terkenal dewasa ini.

Beliau ialah seorang pendakwah yg petah, berakhlak mulia, berjiwa tentera tapi mudah mengalirkan air mata, pidatonya mampu membuatkan sidang pendengar menangis. Beliau antara pemuda Ikhwan yg aktif di Kuliyah Huquq, Universiti Kaherah. Beliau juga mengepalai penerbitan Majalah as-Syihab yg diterbitkan secara bulanan oleh as-Syahid Hasan al-Banna pada tahun 1948.

Jangan terkeliru! Ini pula ialah Syaikh Prof Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti hafizahullah. Seorang ulama besar dari negara Syria. Pengarang kitab Fiqh Sirah yg terkenal.

Jihad di Palestin

Beliau terlibat dalam jihad di Palestin bersama-sama Kataib Ikhwanul Muslimin. Pada tahun 1949, beliau menuju ke Baghdad setelah pulang dari Palestin, setelah pihak Mesir yg bekerjasama dengan penjajah Yahudi merancang untuk menangkapnya. Ikhwanul Muslimin Iraq telah menyambutnya dengan penuh kehormatan sebagai seorang mujahid dan pendakwah Ikhwan. Kerajaan Iraq diminta oleh Mesir supaya menyerahkan beliau ke negara asalnya. Kerajaan Iraq akhirnya bersetuju untuk tidak menyerahkan beliau dengan syarat beliau mesti keluar dari Iraq dalam waktu yg terdekat. Beliau merantau bersama al-Mustasyar Abdullah al-Aqil dari Baghdad ke Basrah dengan menaiki keretapi. Lalu dari Lapangan Terbang Basrah, beliau menaiki kapal terbang ke Pakistan. Mereka ditemani oleh seorang polis bagi memastikan mereka benar-benar berlepas keluar dari Iraq dan tidak tertinggal.

Kerajaan Mesir telah mencabut kewarganegaraannya lalu beliau terus hidup merantau. Raja Arab Saudi ketika itu, al-Malik Faisal telah memberikan kepadanya pasport khas untuk membolehkan beliau bergerak ke mana sahaja.

Sumbangan kepada Dunia Islam

Beliau ialah salah seorang pengasas Rabitah 'Alam Islami di Makkah. Beliau juga Setiausaha Agung al-Muktamar al-Islami lil-Quds. Beliau juga telah mengasaskan al-Markaz al-Islami di Geneva pada tahun 1961. Beliau juga membina markaz di London dan Munich pada tahun 1964. Beliau juga telah menerbitkan Majalah al-Muslimun sebagai ganti kepada Majalah as-Syihab. Antara tokoh-tokoh yg pernah berdampingan dengan beliau ialah as-Syahid Imam Hasan al-Banna, as-Sayyid Abul Hasan an-Nadwi, Abul 'Ala al-Maududi, Dr. Mustafa Sibaie, Dr. Mustafa Zarqa dan Imam Muhammad Abu Zahrah.

Sa'id Ramadhan pada zaman mudanya


Nota an-Nadwi

As-Sayyid Abul Hasan an-Nadwi melalui kitabnya, Muzakkirat Saih fi as-Syarq al-'Arabi menceritakan tentang kehebatan al-Ustaz Sa'id Ramadhan rahimahullah. Setelah mengetahui bencana dahsyat yg melanda dunia Arab ketika itu, pengarang menyusun pertemuannya dengan tokoh-tokoh pejuang di sana khususnya Sa'id Ramadhan. Beliau suarakan hasratnya itu melalui al-Ustaz Soleh 'Ashmawi. Antara yg hadir sama dalam pertemuan itu ialah Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, Muhammad ad-Damardash dan al-Mustasyar Abdullah al-'Aqil.

Pada petang esoknya, pengarang menghadiri syarahan Sa'id Ramadhan di Dewan Abdul Hamid Sa'id di Dar as-Syubban al-Muslimin di Kaherah. Syarahannya memakan masa 2 jam. Kehadiran sungguh membanggakan. Syarahan itu sesekali diselang seli dengan laungan takbir dan tahmid oleh audien yg hadir. Pada hari perbicaraannya di mahkamah iaitu 4 Februari 1951, mahkamah telah berubah menjadi dewan syarahannya. Beliau berbicara dengan bersemangat. Suasana mahkamah berubah menjadi suasana masjid. Mereka yg hadir menitiskan air mata mendengar kalamnya yg menusuk hati, mendengar satu demi satu ayat al-Quran dan Hadith yg dilafazkannya. Kata pengarang, "Kami keluar dari mahkamah dalam keadaan terharu dengan apa yg kami lihat dan apa yg kami dengar."


Hidup terbuang

Beliau menghabiskan kebanyakan hidupnya dalam buangan. Beliau juga enggan untuk pulang ke tanah airnya, Mesir setelah melihat pemerintahan negara itu yg bersilih ganti dengan pemerintah taghut. Pada tahun 1958, beliau berhijrah ke Geneva. Beliau memilih untuk hidup di negara barat bersama isterinya, Ummu Aiman dan anak-anaknya. Beliau telah dikurniakan 5 anak lelaki dan seorang anak perempuan. Beliau banyak menghabiskan masanya dengan membaca dan menulis. Beliau telah memperoleh PhD dalam Islamic Law di University of Cologne, Germany.

Kembali ke Rahmatullah

Beliau meninggal dunia pada 5 Ogos 1995. Sebenarnya, beliau bercita-cita untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan al-Baqi' di Madinah tetapi hasratnya ditolak oleh kerajaan Arab Saudi. Beliau akhirnya dikebumikan di tanah airnya, Mesir yg tidak dimasuki sejak 1954. Al-Fatihah!

______________

Rujukan:

Min 'Alam ad-Dakwah wa al-Harakah al-Islamiyyah al-Mu'asirah (ms 288-298), tulisan al-Mustasyar Abdullah al-'Aqil

http://www.ikhwanonline.com/

http://www.ikhwanwiki.com/

Sumber: Islam Is Peace

Monday, 22 November 2010

Raja Abdullah ke AS jalani rawatan sakit tulang


RIYADH: Raja Abdullah dari Arab Saudi akan menjalani rawatan di Amerika Syarikat bagi penyakit tulang belakang yang dialaminya dan tugasnya akan dipangku Putera Mahkota, Sultan bin Abdul Aziz yang akan kembali dari Maghribi, lapor agensi berita SPA semalam.

Raja Abdullah akan berangkat ke Amerika Syarikat hari ini bagi melengkapkan pemeriksaan kesihatan dan menjalani rawatan susulan berdasarkan perakuan pasukan perubatannya,” kata kenyataan rasmi yang dilaporkan oleh SPA.

Putera Mahkota itu pula akan kembali ke Arab Saudi dari Maghribi selepas bercuti, kata satu lagi kenyataan.

Putera berkenaan, yang berada di istananya di Agadir, Maghribi selama hampir 12 minggu, akan mengambil alih pentadbiran ketika ketiadaan Raja Abdullah, kata pegawai Saudi kepada AFP.

Raja Abdullah, 86, akan dirawat bagi penyakit tulang rawan dan pengumpulan darah di sekitar tulang belakang, kata pegawai itu.

Tambahnya, Putera Sultan juga tidak mengambil bahagian secara aktif dalam pentadbiran sejak beliau ke luar negara untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit dihidapinya, yang tidak dinyatakan pada 2008-2009.

Abdullah, yang menjadi raja pada 2005, memperlahankan aktivitinya sejak Jun lalu kerana masalah kesihatan yang tidak dinyatakan dengan rasmi.

Namun pada 12 November lalu, mahkamah diraja menyatakan raja berkenaan menghidapi penyakit berkaitan tulang belakang. – AFP

Sumber: BHarian

Sunday, 8 August 2010

Tuan Guru Haji Bidin: Pengasas PAS Terengganu


PAS Terengganu telah mengadakan sambutan Jubli Emasnya di Dungun dua tahun lalu. Sambutan ini dibuat di tempat ia ditubuhkan iaitu Surau Haji Bidin, Sura Gate. Kira-kira 50 tahun sebelum itu, iaitu pada 6 Julai 1956, satu perjumpaan 24 orang pemuda Islam telah diadakan di surau ini yang dikenali juga sebagai Madrasah az-Zainiyah dengan dipimpin oleh Tuan Guru Haji Bidin.Dalam perjumpaan ini, cawangan PAS yang pertama di Terengganu telah berjaya ditubuhkan dan dinamakan sebagai PAS Cawangan Dungun dengan Tuan Guru Haji Bidin sebagai Yang Dipertuanya. Inilah bermulanya sejarah PAS Terengganu sebelum ia menjadi kubu kuat PAS hari ini.

Tuan Guru Haji Bidin atau nama sebenarnya, Zainal Abidin bin Aman bin Mat Ali ialah seorang ulama yang terkenal di Terengganu. Beliau dilahirkan pada 1893 di Kampung Tasik, Wau, Ulu Dungun. Ibunya, Saadiah Jaafar ialah seorang ibu tunggal setelah suaminya meninggal dunia, tetapi kemudian berkahwin dengan Hamzah, iaitu datuk kepada bekas Bendahari Agung PAS, Ustaz Abdul Wahab Yunus.

Haji Bidin menjadi anak yatim semenjak kecil, tetapi mendapat didikan agama daripada ibunya. Ketika berusia 11 tahun, belia dihantar belajar dengan Haji Taib Hassan dan Ustaz Baki Awang di Kampung Sindol. Pada 1906, beliau memasuki Pondok Pulau Serai dan berguru dengan Tuan Guru Haji Yusof bin Lebai Isa selama enam tahun.

Setelah itu beliau berhijah pula ke Pondok Losong untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong yang terkenal itu. Dua tahun di pondok ini, pada 1914, Haji Bidin berpindah ke Kelantan kerana tertarik dengan kemasyhuran Tok Kenali. Beliau sempat berguru dengan Tok Kenali di Pondok Kenali sehingga 1926. Beliau sempat belajar bersama-sama Sheikh Idris Marbawi dan Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayah Mursyidul Am PAS).

Di samping itu, beliau berulang-alik ke Masjid Muhammadi kerana berguru dengan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang dan Tuan Guru Haji Yaakub Legor. Di Pondok Kenali ini, Haji Bidin telah menjadi kepala telaah dan sempat mengajar Mufti Haji Ahmad Maher selama enam tahun. Pengajian beliau tamat pada 1926 kerana Tok Kenali menyuruh beliau balik ke Dungun membuka pondok.

Selepas beberapa ketika mengembara, sekitar 1927, Haji Bidin mula mengajar dan membuka pondok di Hulu Sungai Penaga. Ketika yang sama beliau telah dilantik menjadi Imam Muda Masjid Kampung Tengah, Kuala Dungun. Ketika menjadi imam di sini, Haji Bidin telah berhadapan dengan beberapa masalah amalan khurafat dan ajaran sesat, tetapi berkat usaha gigihnya, beliau berjaya mengatasi masalah ini.

Tujuh tahun kemudian, Haji Bidin telah membuka pondok baru di satu kawasan yang dikenali sebagai Tanah Lot. Pada 1938, sebuah madrasah telah berjaya disiapkan sebagai tempat pengajian. Bagaimanapun, beliau kekal sebagai imam di Kampung Tengah sehingga 1951. Selepas bersara sebagai imam, Haji Bidin sekali lagi memindahkan pondoknya ke Sura Gate, dan mendirikan pusat pengajian yang dikenali sebagai Madrasah az-Zainiyah yang suraunya masih wujud hingga hari ini.

Haji Bidin mengajar beberapa cabang ilmu yang penting dalam pengajian Islam seperti fiqh, hadis, nahu, tafsir, balaghah, mantiq dan lain-lain. Antara kitab yang diajar oleh beliau ialah Matan Ajrumiah, Azhari, Qatr, Syuzuz al-Zahab, Ibnu Aqil, Asymuni, Sittin, Fathul Muin, Tahrir, Mahalli, Iqna?, Fathul Wahab, Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Ibni Ibad, Iqaz al-Himam, Jauhar al-Mauhub, Siyarus Salikin dan lain-lain.

Beliau juga berjaya melahirkan ramai murid yang terkenal termasuk Ustaz Omar Shukri Embong (bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Ustaz Abdul Wahab Yunus, bekas Ahli Parlimen Dungun yang juga pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Haji Bidin, selain terkenal kerana alim dalam bidang agama dan menjadi imam di masjid, turut dihormati kerana memiliki keramat tertentu. Banyak cerita yang diriwayatkan tentang keramat yang dimiliki oleh beliau, antaranya tidak ditimpa hujan ketika menaiki perahu bersama kitab-kitabnya walau hujan sedang lebat. Pernah juga berlaku percubaan melanggar beliau dengan kereta, tetapi niat jahat itu terhalang kerana enjin kereta tersebut mati dan ia hanya boleh dihidupkan setelah orang tersebut memohon maaf kepadanya.

Beliau juga dikatakan boleh mengangkat kayu besar seorang diri. Cerita-cerita kekeramatan beliau ini telah menyebabkan beliau amat disegani oleh masyarakat di Dungun. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang warak, lemah lembut, tidak pemarah dan tidak suka bercakap banyak. Beliau dikatakan mengikut perangai Tok Kenali.

Kerana gurunya seorang yang minat politik, Haji Bidin turut mewarisi minat ini di mana beliau semenjak di Kenali lagi sudah mula menulis dalam akhbar Majlis. Beliau tertarik dengan perkembangan politik di Istanbul tetapi keras menolak fahaman sekular yang dibawa oleh Mustafa Kamal Ataturk.

Sejak muda, kecenderungan beliau adalah politik Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Tetapi pada peringkat awal, beliau menyokong Umno untuk menghalau British, bahkan turut berkempen dalam pilihan raya 1954 untuk menyokong Ustaz Mohd Taib Sabri menentang calon Parti Negara. Tetapi pada 1956, setelah PAS mulai berkembang, Haji Bidin bersetuju dengan gagasan politik yang dibawa oleh Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, Datuk Mohd Asri Muda.

Atas usaha gigih beliau mengumpulkan pemuda-pemuda yang berminat dengan politik Islam, maka satu perjumpaan diadakan di suraunya di Sura Gate. Hasilnya, PAS Cawangan Dungun berjaya ditubuhkan sebagai cawangan pertama di Terengganu. Haji Bidin diberikan amanah sebagai Yang Dipertua PAS Dungun untuk satu tempoh yang lama. Beliau melepaskan jawatannya pada 1971 kerana uzur, tetapi terus komited dengan perjuangan PAS.

Enam tahun kemudian, iaitu ketika muridnya yang juga anak saudaranya, Ustaz Abdul Wahab Yunus sedang memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Haji Bidin telah jatuh sakit dan meninggal dunia di rumah anaknya, Haji Anuar di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Beliau meninggal dunia dalam bulan Ramadan pada 20 Ogos 1977 dan dikebumikan di perkuburan Syed Yahya, Dungun. - tajdid _

Sumber: Tranungkite.net