Saturday 23 October 2010

TRILOGI - biodata, fitnah dan jawapan........


1.Biodata Calon PAS GALAS, diambil daripada e-group PAPISMA

Beliau merupakan anak kepada seorang pemimpin PAS, Mohamad Awang yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Penerangan PAS Kelantan tahun 1996.

Bapanya juga adalah bekas Adun Guchil, Kuala Krai tahun 1974-1978.

Ibunya pula, Ramelah Mat Jusoh seorang yang gigih mendidik 10 orang anak.

Hasilnya, calon PAS ini adalah anak yang ketujuh, seorang yang benar-benar mewarisi bakat perjuangan ayahnya.Dr Zulkefli dilahirkan pada tanggal 16 Januari 1966 bertempat di Guchil 3, Kuala Krai.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil, Kuala Krai. Kemudian meneruskan pengajian di peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra.

Kecemerlangannya dalam pelajaran terbukti apabila mendapat tawaran belajar di Universiti Malaya dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan tahun 1992.Pengalamannya sebagai seorang doktor kerajaan di Hospital Taiping, Perak (1992) kemudian berpindah ke Hospital Besar Kota Bharu (1993) dan Pusat Kesihatan Ciku 3 Gua Musang; telah mendidik beliau menyayangi masyarakat dan memahami kesusahan hidup rakyat.

Justeru itu, beliau mengambil keputusan membuka klinik sendiri di Ciku 3, Gua Musang sebagai meneruskan khidmat dan merapatkan lagi hubungannya dengan rakyat.Dr Zulkefli mula aktif dalam PAS apabila terlibat dengan cawangan ketika berkhidmat di Ciku 3, sehinggalah beliau terpilih untuk jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang.

Beliau juga pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 dan pilihan raya umum 2008 bagi Parlimen Gua Musang.

Meskipun begitu, beliau menyedari bertanding di kubu kuat Tengku Razaleigh bukanlah mudah untuk mencapai kemenangan, namun dengan kegigihan dan kesungguhan, beliau tetap menghadapinya dan sedia memikul tanggungjawab parti.

Justeru, masyarakat dan parti menilainya sebagai seorang pemimpin yang ikhlas, taat dan rela berkorban demi perjuangan Islam.

2.TUDUHAN FITNAH bodoh UMNO Online
http://umno-online.com/?p=23430

Benarkah Calon Pas Pernah Ditangkap Khalwat?
KUALA LUMPUR, 22 Okt – Benarkah calon Pas ditangkap khalwat? Jika benar, ia sesuatu yang mengejutkan. Ini kerana bakal calon Pas khususnya pakatan pembangkang di pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Dr Zulkefli Mohamad bukan saja calon kitar semula malah dikhabarkan pernah ditangkap khalwat bersama isterinya sekarang, Ramelah Mat Jusoh.

Memetik laporan beberap blog termasuk theunspinners, dakwaan pernah ditangkap khalwat itu telah dikhabarkan orang setempat di Gua Musang.

Menurut blog ini lagi, perkara itu mungkin dianggap sebagai kisah lama. Hasil perkongsian mereka pun sudah sampai 10 orang. Namun persoalannya adakah calon yang berlatarbelakang ditangkap khalwat ingin ditonjolkan oleh Pas sebagai imej Islam dan penyambung warisan ulama?

Pemilihan Dr Zulkefli ini tidak disenangi ramai pihak di kalangan pemimpin Pas setempat. Malah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga dikatakan membuat pembohongan apabila beliau berkata Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Sebenarnya, Nik Aziz sudah berbohong kerana orang sebenar yang melakukan kerja cemerlang yang dikatakan adalah hasil usaha Allahyarham Chek Hashim Sulaima adalah Hussein Awang.

Dr Zulkefli sudah dua kali kalah. Sudah dua kali ditolak pengundi Gua Musang.

Hussein dilihat ramai sebagai lebih layak kerana dia yang menjalankan kerja sepanjang masa arwah Chek Hashim menanggung sakit.

Bukan sahaja, Hussein yang kecewa, seorang lagi yang turut tidak puashati dari senarai calon, ialah Abdullah Husin.

Abdullah telah mengarahkan penyokong-penyokongnya dari kalangan Pemuda untuk mendesak Nik Aziz mencalonnya.

Dia juga telah menghimpunkan Pemuda untuk satu majlis untuk membantah pencalonan Dr Zulkefli tetapi rancangan itu telah dibatalkan.

Nampaknya belum apa-apa lagi Pas sudah berdepan dengan pelbagai kemelut. Jikalau pun benar calon Pas, Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat namun ia sebenarnya sudah melepasi kriteria utama dan tunggal Pas iaitu syarat untuk menjadi calon adalah bukan perokok.

Syarat Pas mudah saja jangan perokok.

Tak kiralah sama ada calon tersebut kaki minum, kaki kelentong, kaki fitnah termasuk kaki liwat…agaknya.

Mungkin hero Pas, Mat Sabu boleh komen kisah romantik Hotel Perdana, Abang Din Pudu Raya juga kalau berani boleh ulas!.

3.JAWAPAN di MALAYSIAKINI

http://www.malaysiakini.com/news/146109
Calon PAS: Tuduhan khalwat fitnah semata-mata
Tidak sampai 24 jam selepas diumumkan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas, calon PAS Dr Zulkefli Mohamad menjadi sasaran media rasmi Umno - Umno Online - yang melaporkan bahawa beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Media rasmi Umno yang memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan 'isterinya' sekarang, Ramelah Mat Jusoh.

azlanDalam reaksinya terhadap laporan itu, Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Malah, katanya, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya.

Dr Zulkefli, sebaliknya menjelaskan isterinya bernama Zainab Jalar.

"Fitnah semata-mata, - boleh buat semakan di mana-mana pejabat agama di Kelantan dan seluruh Malaysia," katanya dalam jawapannya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Selain mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap berkhalwat, Umno Online juga memperlekehkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini mengenakan syarat untuk menjadi calon adalah bukan perokok dengan memberikan gambaran seolah-olan beliau adalah perokok.

"Saya tidak merokok. Semoga Allah mengampuni dosa mereka yang membuat fitnah," kata Dr Zulkefli.
Dr Zulkefli diumumkan sebagai calon PAS oleh Nik Aziz di Gua Musang malam semalam.

Beliau adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008 tetapi tewas.

Berusia 44 tahun, Dr Zulkefli merupakan anak ketujuh daripada 10 adik beradik.

Beliau adalah lulusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan, Universiti Malaya pada tahun 1992.
Dr Zulkefli mengendalikan klinik sendiri di Chiku 3, Gua Musang.

azlanKerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim, 48, akibat barah usus pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, dengan mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Chek Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN, Mohd Saufi Deraman 3,753 undi.

Selain Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS, turut hadir di majlis pengumuman calon tersebut ialah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang atau 16.35 peratus.

No comments:

Post a Comment