Wednesday, 24 November 2010

APABILA ULAMA MUDA PILIH TEGURAN SIR

ULAMA muda UMNO yang 40 orang itu memilih kaedah sir iaitu cara tersembunyi bagi menengur pimpinan UMNO dan pimpinan kerajaan jika berlaku sesuatu perlanggaran terhadap Islam.

Seperti pengumuman Perdana Menteri dalam bajet 2011 bagi menjadikan Malaysia hub hiburan malam dan siang.

Ulama tua baik yang bekerja dengan kerajaan seperti Mufti Perak dan ulama haraki membuat teguran terbuka. Tiada kenyataan dari ulama muda UMNO. Reaksi mereka mengikut jurucakapnya, teguran mereka secara sir.

Ertinya, mereka bekerja tetapi apa yang dibuat tidak diketahui umum.

Pandangan ulama tentang hub hiburan, baik ia dijalankan atau tidak dijalankan, diketahui umum sebagai bercanggah dengan ajaran Islam. Baik sir atau terbuka, ia salah.

Tetapi apabila Perdana Menteri bercadang untuk melaksanakannya, apa sikap Islam? Islam mesti menyatakan sikapnya iaitu menentang baik dengan tangan atau dengan lidah atau membantah dalam hati. Yang terkemudian itu adalah selemah-lemah iman.

Orang yang lemah iman langsung tidak bersuara apabila raja atau pemerintah melakukan suatu yang tidak betul. Ia hanya memberontak dalam hati.

Ulama muda memilih berbisik dengan raja atau kerajaan.

Ulama muda adalah ulama. Mereka berbuat begitu bagi menjaga nama baik raja dan kerajaan. Bila mereka berbisik ia dikira baik sikit dari yang memendam rasa dalam hati. Mereka menggunakan lidah tetapi tidak didengar oleh orang luar.

Tetapi apa yang mereka kata sebenarnya tidak diketahui di luar. Apa jadi dengan teguran mereka tidak diketahui.

Betulkah mereka ada menegur? Kerana mereka ulama sekali pun muda tentulah mereka tidak berbohong. Tetapi itu tentang isu yang dibangkitkan. Bagaimana dengan isu-isu yang orang tidak bangkit tentang sikap mereka? Adakah setiap kali mereka mesti ditanya?

Peranan ulama adalah memberitahu apa saja yang salah, yang berbangkit dan yang tidak berbangkit, kerana hendak memberitahu apa yang mereka buat, tetapi supaya orang tahu sesuatu yang salah yang berlaku. Memberitahu orang besar tentang kesalahannya bagi membetulkan orang besar itu dan sekali gus orang ramai lagi awam tahu sesuatu itu salah.

Kalau mereka sesudah memberitahu secara sir, diam saja, maka yang tahu salah ialah orang yang ditegur. Tetapi orang lain tak tahu yang dibuat itu salah.

Cara yang diguna oleh ulama muda UMNO rasanya tidak berapa kena dengan kemahuan Khalifah Umar al-Khatab yang ketika menerima jawatan khalifah minta rakyat menegurnya jika dia salah. Tidak disebur secara sir.

Maka bangun seorang pemuda, mungkin bukan ulama dan mungkin ulama, menghulur pedang sambil berkata, jika Umar menyeleweng, maka mata pedangnya nescaya singgah di lehernya.

Saidina Umar tidak kata kaedahnya tidak betul atau tidak sopan, bahkan beliau memuji tindakan pemuda itu sebagai tanda adanya rakyat jelatanya yang jujur dan berkata benar.

Pernah Saidina Umar bercakap tentang penentuan emas kahwin bagi perempuan. Perempuan yang tidak setuju dengan pandangan Umar, menegur dan bertanya sejak bila Umar mahu menentukan hak yang sudah ditentukan ada pada tangan wanita?

Khalifah menarik balik pandangannya. Dan orang ramai pun tahu tentang kedudukan perkara itu.

Teguran mengenai sesuatu tentang Islam adalah dakwah. Komen Mufti Perak tentang hub hiburan itu adalah dakwah. Apa lagilah dengan komen Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Logiknya teguran berbisik ulama muda UMNO itu tentulah bertujuan dakwah. Dakwah berbisik yang masyhur ialah peringkat awal kenabian Rasulullah SAW. Nabi terpaksa guna kaedah sir kerana keadaan belum mengizinkan. Tetapi selepas itu baginda diperintahkan berdakwah secara terbuka.

Selepas kejadian Saidina Umar berdepan dengan cabaran pemuda yang menghulur pedang jika dia menyeleweng, maka ia menggambarkan suasana keterbukaan kritik antara massa dan pemerintah. Contoh keterbukaan Islam melalui sikap Umar itu menjadi tiruan masyarakat barat menyampaikan teguran kepada pemimpin dan kerajaan.

Dalam suasana di luar dakwah berjalan secara terbuka, ulama muda UMNO menggunakan kaedah sir untuk berdakwah di kalangan UMNO dan pemimpinnya. Adakah UMNO berada para peringkat awal kenabian Rasulullah?

Sumber: Harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment