KUALA LUMPUR, 21 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat, mahu semua pihak berwajib memantau kegiatan 'gay' yang didakwa semakin berleluasa.
Ketuanya, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily berkata, pihaknya bimbang melihat premis-premis gay yang kini tumbuh seperti cendawan selepas hujan.
Sebagai satu langkah pencegahan, beliau mahu permasalahan gejala songsang ini turut disebut dalam khutbah Jumaat selain pemantauan terhadap aktiviti golongan itu.
"Setakat ini, kita selaku rakyat Malaysia masih belum pernah mendengar mana-mana masjid di Malaysia diberikan teks khutbah mengenai keburukan gay dan impaknya kepada Negara," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa semua perkara yang menyentuh soal agama dan akidah umat Islam di Negara ini akan sentiasa dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) termasuk laman blog gay.
Bagi Nasarudin, pemantauan dari sudut blog tidak cukup dan lebih penting katanya pemantaun premis dan aktiviti yang dianjurkan golongan itu perlu diperbanyakkan.
"Dewan Pemuda PAS juga mendesak agar pihak-pihak berwajib memantau premis-premis yang dimiliki oleh golongan ini.
"Dewan Pemuda PAS juga bersedia untuk membantu bagi membanteras kemungkaran ini," katanya lagi.
Selain itu, pihak JAKIM jelasnya perlu memantau segala jenis hiburan yang terdapat di Negara ini.
Lebih mengejutkan, apabila 'ikon' gay yang baru-baru ini dibenarkan untuk membuat konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ianya ditambah pula dengan pembikinan filem “ Anu dalam botol “ yang didakwa cuba menyuburkan lagi gejala itu kepada masyarakat.
Sumber : Harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment