Dari katil wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya dibekalkan dengan akhbar untuk dibaca saban hari. Nampaknya isu ketuanan Melayu masih menjadi ratib yang tidak henti-henti keluar dari mulut pimpinan UMNO.Peliknya tidak pula istilah ini disebut ketika Konvensyen BN 2010 yang lepas. Adakah Ketuanan Melayu tidak boleh menembusi pintu Dewan San Choon, Wisma MCA di mana konvensyen itu berlangsung?
Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di Negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau. Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah SWT? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah SWT?
Firman Allah SWT yang bermaksud : Sesungguhnya benar-benar Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus diantara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al hikmah. dan Sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (Surah Ali-Imran : 164)
Namun, dukacita sekali apabila ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam. Menolak Islam bererti menolak ketuanan Islam. Bila menolak Islam ertinya menolak anugerah daripada Allah SWT. Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima, demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengenepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka. Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu. Apa yang peliknya, di samping menjulang Ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab Ketuanan Melayu? Melaungkan Ketuanan Melayu dengan mengenepikan Islam hanya akan menjadikan bangsa Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia.
Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini. Buktinya, di Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh Ketuanan Melayu. Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman. Hakikatnya, perjuangan Ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia. Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai addin (din dan daulah). Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada salah seorang pemimpin UMNO Kelantan yang mendoakan kesihatan saya agar terus dapat berjuang menentang UMNO. Semoga doanya dimakbulkan Allah, insya-allah Amin.
Marilah balik kepada Islam sebagai penyelesaian yang sempurna, yang datang daripada Allah SWT. Ia sudah sempurna, tanpa cacat cela sedikitpun.
Firman Allah SWT yang bermaksud : Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. tidak ada yang dapat merobah robah kalimat-kalimat-Nya dan dia lah yang Maha Mendenyar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-An’am, ayat 115)
Al-Quran ialah manual yang diturunkan oleh Allah SWT untuk mentadbir dunia. Justeru, apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasih orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada Al-Quran. Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku. Tidak guna jika menggunakan ubat yang salah, penyakit tidak sembuh bahkan semakin melarat. Dalam hal ini, Ketuanan Melayu ialah ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.
Al-Quran menyatakan bahawa sesuatu bangsa tidak mempunyai sebarang kelebihan ke atas bangsa yang lain, yang melebihkannya hanyalah taqwa kepada Allah SWT. Renunglah sejenak sekali lagi,
Firman Allah SWT yang bermaksud : Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Kemuliaan tidak pernah bergantung kepada bangsa. Ia hanya wujud apabila sesuatu bangsa itu bertaqwa kepada Allah SWT. Bangsa Arab yang melakukan hampir kesemua jenis jenayah di dunia, akhirnya menjadi mulia apabila menerima Islam. Jika bangsa Arab yang sedemikian jahil itupun dimuliakan Allah SWT dengan Islam, apa peliknya jika bangsa Melayu pun boleh dimuliakan oleh Allah SWT, syaratnya berpegang dengan Islam?
Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela. Alhamdulillah, di Kelantan, saya telah menerajui kerajaan negeri selama 20 tahun dengan tidak pernah menyebut Ketuanan Melayu, namun orang Melayu tetap terbela dan terjaga. Manakala KDYMM Sultan Kelantan pula disayangi oleh semua bangsa di Kelantan. Kaum bukan Melayu pula tidak mempunyai sebarang masalah untuk berada di Kelantan. Bimbang saya andainya Ketuanan Melayu disebut-sebut dan diulang-ulang, ia hanya akan memarakkan dendam dalam diam dan membakar di dalam senyap.
Di sudut yang lain pula, Ketuanan Melayu jugalah yang telah menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah satu ketika dahulu sehingga hari ini melahirkan generasi yang buta al-Quran. Jawi yang menjadi tulisan asal bahasa Melayu di’kebumikan’ secara terhormat oleh Ketuanan Melayu . Ketuanan Melayu jugalah yang menghapuskan bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat dan Ketuanan Melayulah yang bertanggungjawab terhadap terhakisnya tanah rezab Melayu di seluruh negara. Jenayah Ketuanan Melayu ini sebenarnya cukup panjang untuk ditulis. Ia menyimpulkan bahawa Ketuanan Melayu tidak membawa apa-apa faedah untuk negara hatta untuk bangsa Melayu sekalipun.
Marilah kita sama-sama mengingatkan satu sama lain tentang akhirat. Akhirat yang menjadi tempat tuju samada Melayu atau bukan Melayu. Ia khusus untuk Allah SWT membalas setiap perbuatan manusia. Justeru, kita diperintahkan mengulang-ngulang peringatan ini beratus ribu kali sepanjang hidup kita melalui surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam solat. Tujuh ayat yang menjadi agenda utama hidup seorang muslim diulang baca sentiasa, dan satu daripada ialah peringatan tentang hari kiamat,
Firman Allah SWT yang bermaksud : Yang menguasai di hari Pembalasan (Surah Al-Fatihah, ayat : 4)
Yakinlah, tibanya kita di stesen yang bernama akhirat, Ketuanan Melayu tidak akan membawa apa-apa harga lagi di mahkamah Allah SWT!
HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Wad 2, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian
6 Muharram 1432H
Sumber : Harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment