Wednesday, 5 January 2011

PAS kutuk serang gereja Coptic Orthodox


KUALA LUMPUR, 5 Jan: PAS mengutuk dengan sekeras-kerasnya serangan ke atas gereja Coptic Orthodox di Iskandariah, Mesir beberapa hari lalu yang telah mengorbankan lebih 20 nyawa.

“Bagi pihak PAS, letupan bom yang dilakukan ke atas gereja tersebut sesuatu yang menyedihkan dan menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Tegasnya, Islam melarang umatnya melakukan serangan ke atas mana-mana rumah-rumah ibadah walaupun di waktu tercetusnya peperangan.

Malah, jelasnya Allah SWT menegaskan di dalam Al-Quran supaya umat Islam tidak mencela berhala-berhala sembahan penganut agama lain.

ORANG ramai terdiri daripada penganut Kristian menunjukkan kemarahan mereka ekoran insiden letupan kereta di hadapan sebuah gereja Coptic Orthodox di Iskandariah, Mesir ketika sambutan Tahun Baru, semalam yang mengakibatkan 21 orang terkorban. - AP

Tambahan pula, katanya sebilangan besar golongan Kristian Coptic di Mesir ini sejak sekian lama bersama dengan komuniti antarbangsa dalam usaha membebaskan Palestin daripada penaklukan regim haram Israel.

Maka, kata beliau mereka sepatutnya diraikan dengan baik sebagaimana diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, tindakan memusnahkan rumah ibadat sebegitu adalah tindakan paling tidak bertamadun dan amat dikutuk oleh ajaran Islam.

“PAS mengharapkan insiden ini bukanlah satu sabotaj yang bertujuan untuk melaga-lagakan umat Islam dengan penganut Kristian.

“PAS juga berharap supaya penganut semua agama di Malaysia bersikap toleransi sesama mereka dengan meningkatkan kefahaman beragama sesama kita,” ujarnya.

Menurutnya lagi, ia selaras dengan usaha untuk membangunkan negara yang harmoni yang diterima oleh semua.

1 comment:

  1. Umat islam hari ini sepatutnya meningkatkan nilai toleransi dan hubungan baik antara satu-sama lain. bukan tentangan semata-mata umpama tanpa menggunakan akal yang sewajarnya sebagai seorang Muslim dan Mu'min. Ikutilah jejak Rasulullah SAW membina negara Madinah AlMunawwarah, disana kita dapati golongan pengikut agama lain diberi layanan yang baik bahkan mereka berasa selamat dibawah pimpinan dan taklukan umat islam. secara tidak langsung menarik mereka untuk bersama-sama dengan kita.

    ReplyDelete