KUALA LUMPUR, 3 Feb : Jika benar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersikap mendahulukan rakyat, beliau hendaklah menyatakan sokongan kepada kebangkitan rakyat Mesir menuntut presiden mereka berundur, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
"Jangan cakap sahaja mendahulukan kepentingan rakyat, tetapi bersikap buta dan pekak kepada aspirasi dan tuntutan rakyat seperti yang dicerminkan oleh rakyat Mesir yang bangkit beramai-ramai itu.
"Jangan hanya sedap pada slogan sahaja, sedangkan apa yang berlaku ialah rakyatlah yang terlebih dahulu menanggung kesusahan," katanya.
Mahfuz juga melihat apa yang berlaku di Mesir itu berpunca dari sikap Presiden Hosni Mubarak yang menjadi boneka Israel dan Yahudi Zionis.
"Sebab itulah kita bimbang negara ini juga akhirnya akan menjadi boneka dan porak peranda seperti Mesir dengan sikap kerajaan Najib yang begitu mesra Zionis termasuk melantik firma Zionis seperti Apco Worldwide untuk menjadi rakannya dalam melaksanakan pemerintahan negara ini.
"Itu belum lagi diambilkira hubungan dagang dengan Israel yang seolah-olah dirahsiakan sehinggalah perkara itu menjadi isu baru-baru ini," katanya.
Mahfuz percaya, kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) akhirnya akan menghadapi nasib yang sama di tangan rakyat negara ini kerana kegelisahan sebahagian besar rakyat negara ini hakikatnya sama dengan kegelisahan rakyat Mesir.
"Sama seperti apa yang berlaku di Mesir, rakyat Malaysia juga mahukan demokrasi yang sebenarnya serta keadilan dan pembebasan dalam kehidupan ekonomi mereka bahkan rakyat Malaysia juga berhadapan dengan Datin Seri Rosmah Mansor yang dilihat sama seperti Leila Trabelsi iaitu isteri Zine el Abidine Ben Ali, bekas presiden Tunisia yang dihalau oleh kebangkitan rakyat negara itu baru-baru ini.
"Rakyat Malaysia juga sedang berhadapan dengan tekanan kenaikan harga barang yang berterusan termasuk kenaikan harga minyak sehingga kadar penerimaan terhadap Najib jatuh merudum dalam tinjauan pendapat baru-baru ini.
"Rakyat Malaysia juga berhadapan dengan pengagihan kekayaan negara yang tidak seimbang dan kerajaan pula memberatkan lagi bebanan rakyat termasuk generasi akan datang dengan hutang negara ekoran perlaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikritik oleh orang-orang Umno sendiri sebagai tidak berpijak di bumi nyata," katanya.
Dari sudut demokrasi dan hak asasi pula pula, kata Mahfuz, Human Rights Watch (HRW) sendiri menyifatkan kerajaan Najib hanya bercakap kosong sahaja dalam soal hak asasi manusia.
"Bukan setakat itu sahaja, kerajaan Najib juga sedang berusaha untuk menyekat kebebasan termasuk melalui cadangan untuk mengadakan kawalan siber," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang menyifatkan kerajaan Najib semakin kasar menyekat suara rakyat.
Mengulas perkembangan di Mesir, Mahfuz meminta Mubarak berundur kerana kedegilannya untuk terus berkuasa mendatangkan masalah kepada masyarakat dunia.
"Harga minyak dilaporkan akan naik berikutan perkembangan di Mesir dan para pelajar di seluruh dunia pula terkandas di negara itu," katanya.
Sumber : Harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment