Sunday, 20 November 2011

Respon Dewan Muslimat PAS Pusat Berhubung Festival Seksualiti Merdeka



RESPON DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
BERHUBUNG FESTIVAL SEKSUALITI MERDEKA
"MUSIM KE-4"
(1 -13 NOVEMBER 2011)

DMPP menyambut baik tindakan pantas pihak Polis khususnya seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dalam menghentikan Festival Seksualiti Merdeka ”Musim Ke-4” yang kita difahamkan sedang berlangsung di Annexe Gallery, Kuala Lumpur bermula 1 November lepas dan ditakwimkan akan berakhir pada 13 November 2011.

Tindakan Polis yang juga telah MENGHARAMKAN program ini adalah sangat wajar memandangkan ianya bertentangan dengan undang-undang negara, DILIHAT SEOLAH-OLAH menghina kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, menyinggung sensitiviti majoriti rakyat hatta bertentangan dengan nilai-nilai murni semua agama.

Walau bagaimanapun, DMPP ingin mengingatkan semua pihak khususnya pihak berkuasa agar jangan hanya mengambil tindakan ibarat melepaskan batuk di tangga. Isu ini sebenarnya merupakan isu pembinaan akhlaq dan pembangunan nilai-nilai murni seseorang manusia dan setiap rakyat negara ini.

Ianya adalah isu masyarakat yang melibatkan pelbagai tahap serta peringkat; bermula daripada pendidikan anak-anak dan pembangunan sesebuah institusi keluarga sehinggalah kepada pembinaan sebuah pentadbiran yang baik – ”good governance”, dengan meletakkan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik di pihak pemerintah dan setiap individu kepimpinan negara.

Menyelesaikan masalah ini tidak boleh hanya dilihat daripada satu sudut seperti kuatkuasa undang-undang, hukuman atau seumpamanya. Tetapi ia sewajarnya bermula daripada pendidikan, keprihatinan dan penetapan prinsip hidup serta prinsip pembinaan masyarakat yang secara jelas mesti bertunjangkan kepada keimanan yang benar serta kehidupan beragama dan kehidupan berTuhan.

Berdasarkan rekod penyelidikan terbaru, DMPP mendapati bahawa Festival Seksualiti Merdeka ini telahpun diadakan sejak Ogos 2008. Bermakna ianya telah berlangsung sejak 4 tahun yang lepas dan kini ia memasuki ”Musim yang Ke-4”!

Persoalannya, mengapa baru tahun ini pihak berkuasa menyedari adanya acara ini? Bolehkah kita simpulkan bahawa PDRM dan pihak-pihak berkuasa yang lain selama 3 tahun yang lepas telah GAGAL menjalankan tugas mereka? Apakah telah menjadi budaya Pentadbiran UMNO Barisan Nasional yang akan hanya bertindak bila rakyat kebanyakan mula menunjukkan bantahan atau lebih malang jika ianya membabitkan individu atau pihak yang tidak seiringan dengan UMNO BN?

Lantas kesempatan ini diambil untuk melegitimasikan penentangan mereka kepada individu atau pihak-pihak berkenaan? Dan bukannya tindakan tegas yang bertitik tolak daripada rasa tanggungjawab, kesedaran dan amanah kepada tugas serta kehidupan beragama masing-masing?

DMPP menegaskan bahawa semua persoalan ini penting untuk dijawab sejujurnya dan rakyat juga mesti disedarkan. DMPP tidak mahu isu-isu seperti ini dipolitikkan dan diambil kesempatan politik oleh pihak-pihak tertentu . Realitinya, masalah ini merupakan ”isu prinsip” yang sangat penting untuk disepakati bersama tanpa mengira perbedaan politik. Isu yang akan memastikan kelangsungan peradaban dan komuniti manusia pada masa hadapan.

DMPP ingin membawa satu contoh yang menarik untuk kita semua membuat penelitian dan muhasabah. Berdasarkan penyelidikan, DMPP mendapati terdapat satu program yang dinamakan Pertandingan Miss Transgender Malaysia 2011, juga diadakan di Malaysia baru-baru ini pada 9 Oktober 2011, melibatkan kaum ”Nyah” dari seluruh negara iaitu 14 buah negeri yang ada di Malaysia. Acara ini telah usai secara ”jayanya”. Persoalannya, bagaimana ini boleh berlaku? Apakah pihak berkuasa tidak punya instrumen serta kepakaran untuk menyedarinya? Ataukah kerana rakyat tidak sedar dan tidak bising? Dan lebih malang, ataukah kerana ianya tidak memberi kepentingan politik kepada pihak-pihak tertentu? Lantas tiada tindakan diambil?

Sama seperti Festival Fashion Islam yang pernah dirasmikan oleh Datin Seri Rosmah Mansor, yang turut memperagakan pelbagai fesyen busana wanita Islam kononnya, yang sebenarnya sangat menghina Islam dan menyinggung perasaan ummat Islam dalam negara ini. Malangnya ia didiamkan dan sehingga kini tidak langsung diambil tindakan!

Berbalik kepada isu pokok tadi, DMPP mencadangkan agar pihak-pihak berwajib misalnya seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) , Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Badan-Badan Agama yang lain dan seumpamanya serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat agar segera merangka program khas untuk menangani, membimbing serta mengkonsultasi kelompok minoriti ini secara hikmah, fatanah (bijaksana), amanah dan keprihatinan yang cukup tinggi. Memahami mereka dan seterusnya membantu mereka dalam membina kehidupan dengan nilai-nilai yang murni, kehidupan beragama dan berTuhan.

Kumpulan minoriti ini tidak wajar hanya ditangani secara undang-undang, kecaman, penghinaan apatah lagi kekerasan kerana ianya tidak akan memberi manfaat kepada sesiapapun. Bahkan, kemungkinan ia akan mencetuskan masalah yang lain pula.

Hakikatnya, banyak masalah akhlaq ummat yang sedang Ranum Bernanah dalam negara ini. Dari masalah melibatkan rakyat biasa sehinggalah kepada Pemimpin tertinggi pemerintah. Semuanya perlukan satu rawatan mujarab – kembali kepada fitrah! Usaha ini perlu kepada kesungguhan dan keyakinan. Kesungguhan daripada setiap individu kita untuk memperbaikinya secara ikhlas, amanah dan sabar sebagai ibadah kepada Allah. Keyakinan bahawa Allah akan bersama dan memberikan pertolonganNya. Bukannya tindakan berpilih dan ambil kesempatan untuk mempolitikkan segalanya serta menjadikannya Bahan Politik Murahan untuk kepentingan mana-mana pihak pun.

Hormat Daripada,

AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat Pas Pusat

4 November 2011, Kuala Lumpur .

No comments:

Post a Comment