Tuesday, 15 May 2012

Penghargaan buat Unit Amal PAS : Wong Hantar Bunga untuk Unit Amal

KUALA LUMPUR, 15 Mei: Unit Amal PAS menerima dua jambangan bunga hiasan daripada peserta Bersih 3.0 berbangsa Cina sebagai penghargaan terhadap perkhidmatan cemerlang mereka pada perhimpunan tersebut.

Wong Kow Kong, 58, menghantar sendiri bunga tersebut ke Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, semalam dan diterima seorang Unit Amal yang bertugas di pejabat.

Bunga tersebut dikepilkan dengan sekeping kad bertulis " Kepada semua ahli Unit Amal yang bertugas pada hari 428 Bersih 3.0 2012", "Terima kasih banyak-banyak",  Salute to all of you,  When injustice become law, membantah adalah tanggungjawab kita", dan "hidup hidup hidup rakyat".

Wong ketika dihubungi hari ini berkata, beliau dan keluarga sangat berterima kasih terhadap anggota Unit Amal yang bertugas menjaga keamanan pada perhimpunan tersebut.

Beliau berharap pemberian bunga tersebut dapat menggembirakan hati anggota-anggota Unit Amal atau turut digelar 'Tentera Merah'.

"Saya nak ucap terima kasih kepada Unit Amal sebab banyak tolong peserta-peserta pada Bersih 3.0.

"Bunga itu satunya daripada saya dan keluarga dan satu lagi daripada kawan saya. Saya harap mereka suka bila terima bunga itu," katanya yang merupakan seorang tukang jahit dan mempunyai kedai jahit di Damansara.

Menurut Wong, sewaktu perhimpunan tersebut, beliau berada di Jalan Tun Perak dan melihat sendiri bagaimana Unit Amal bertugas menjaga peserta-peserta. 

Malah katanya, beliau yang turut menyertai perhimpunan Anti ISA dan Bersih 2.0 sangat senang dengan kewujudan Unit Amal di lokasi perhimpunan. 

"Saya memang sudah biasa dengan Unit Amal. Setiap kali perhimpunan, saya tengok dengan mata kepala sendiri mereka bersusah payah bertugas," katanya.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa Unit Amal bertindak ganas sewaktu perhimpunan.

"Kalau saya tengok Unit Amal ganas, saya tak akan bagi mereka bunga," katanya sambil ketawa. 

Seramai 4,000 anggota Unit Amal dari Semenanjung Malaysia bertugas pada perhimpunan 28 April lalu. -Hrkh
http://muslimeen-united.blogspot.com/2012/05/bersih-30-wong-hantar-bunga-untuk-unit.html

Saturday, 12 May 2012

Bersih haram: Keputusan fatwa ‘sebelah mata’ dari Majlis Fatwa

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang mengharamkan perhimpunan yang menurut majlis itu bertujuan tidak baik sepertimana yang berlaku dalam perhimpunan 28 April lalu, dibuat hanya menggunakan "sebelah mata".

Mengulas kenyataan pengerusi Majlis Fatwa Kebangsan, Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Hussin mengenai perkara itu, Nik Aziz berkata, beliau setuju bahawa perhimpunan yang bertujuan untuk mencetuskan huru hara dan merosakkan harta benda adalah haram.

"Bagaimanapun, apabila dikaitkan dengan himpunan BERSIH 3.0 yang dikatakan menimbulkan huru-hara, saya berpandangan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan dengan hanya menggunakan sebelah mata.

"Mata yang digunakan pula adalah kabur dengan cermin mata yang telahpun rosak," katanya sambil menambah beliau menghormati anggota Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Namun dalam hal ini saya amat berbeza dengan pendirian yang dikemukakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini," kata Nik Aziz dalam satu kenyataan.

Dr Abdul Shukor dilaporkan berkata Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang dan kekacauan di dalam negara.

Menurut laporan akhbar, pengerusi Majlis Fatwa itu berkata Islam membenarkan mencari keadilan tetapi melaui tindakan beradab.

Mengulas lanjut, menteri besar Kelantan itu berkata perhimpunan BERSIH 3.0 bukannya bertujuan untuk mencetuskan huru-hara

Perhimpunan itu, tambahnya, menggariskan lapan tuntutan untuk membersihkan pilihan raya dan jauh sekali untuk mencetuskan huru-hara bagi menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya.

"Jika dikatakan menggunakan cara beradab dibenarkan, maka suka saya bertanya, apakah jalan beradab yang lebih aman melainkan pergi dan duduk?

"Pernahkah Majlis Fatwa memandang dan memahami di sebalik lapan tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH untuk mengatasi isu pengundi hantu dan penipuan di dalam pilihan raya yang implikasinya lebih besar kepada negara?" soal Nik Aziz.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa fatwa tersebut hanya "laporan akhbar pro-kerajaan sahaja tanpa mendapat penjelasan dari penganjur BERSIH 3.0 sebelum membuat pertimbangan dibuat.

"Justeru, soalan saya ialah fatwa-kah namanya sekiranya tanpa penjelasan dari kedua-dua belah pihak, terus sahaja dijatuhkan hukuman?" kata Nik Aziz lagi.

Sebaliknya, kata menteri besar Kelantan itu, huru-hara tercetus jika ia dihalang.

"Andaikan himpunan di Gua Musang dan RTC, Kota Bharu ketika kedatangan Perdana Menteri baru-baru ini ke Kelantan dihalang dan disembur dengan air, tidak mustahil ia turut menjadi huru-hara.

"Jika BERSIH berhimpun dianggap haram, apa pula hukum perhimpunan Presiden Umno di Gua Musang dan RTC baru-baru ini yang tujuannya jelas mengajak rakyat menukar kerajaan Kelantan?

"Justeru cukuplah saya mengatakan, jangan berjalan sebelah kaki, nanti pincang mengatur langkah. Salam hormat saya buat Majlis Fatwa Kebangsaan," tambahnya.

Sumber: Malaysiakini.com

Friday, 11 May 2012

Isu Bapa kafir: Replika NST dibakar

(Speaker DUN Kelantan, Datuk Nasuruddin membakar replika NST di Kota Bharu -Gambar Yusri)
KOTA BHARU: Marah dengan tuduhan akhbar Umno, New Strait Times yang mendakwa Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai 'Bapak Kafir', replika akhbar berkenaan dibakar hari ini.

Pembakaran itu diketuai Speaker DUN Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud di Medan Ilmu, tempat umat Islam berkumpul  mendengar kuliah pagi Jumaat yang kebiasaannya disampaikan Tok Guru Nik Aziz.

Pembakaran itu sebagai membantah kenyataan Tan Sri Rahim Noor yang mendakwa 'Nik Aziz is father of kafir' yang disiarkan di muka 6 NST 8 Mei lepas. (gambar)

Semalam, Rahim dilaporkan menafikan beliau membuat kenyataan sedemikian.

Pemberita yang namanya tersiar sebagai salah seorang penulis berita itu, Rahmah Ghazali juga menafikan beliau  menulis berita itu.

Seorang lagi pemberita yang dinamakan sebagai penulis berita itu adalah Lim Poh Lean.

Sebelum itu Nasuruddin meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenai penyelewengan yang berlaku dalam pilihan raya, apakah hukumnya.

“Soal Rahim mengaku atau tidak mengeluarkan kenyataan tersebut adalah perkara lain. Majlis Fatwa kena keluar fatwa adakah berhimpun secara duduk juga haram.

“Sedangkan apa yang dilakukan ratusan ribu rakyat yang hadir pada 28 April lalu menuntut pilihan raya bersih dan adil. Tak kan hadir membawa sebotol air mineral disebut mahu gulingkan kerajaan,” katanya pada kuliahnya.

Begitu juga katanya apa fatwa Rahim menumbuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada dalam tahanan polis pada 1998.

Apa pula hukum katanya, kerajaan pusat menafikan hak Kelantan ke atas royalti minyak sedangkan dalam perjanjian yang ditandatangani pada 1975 secara jelas memberi hak kepada negeri ini.

“Orang yang membuat draf perjanjian tersebut dan pihak yang menandatangani perjanjian mewakili Petronas pun masih ada lagi. Saya minta Majlis Fatwa keluarkan hukum halal atau haram di atas tindakan tersebut,” katanya.

Beliau juga meluahkan rasa kecewa kerana mufti dianggap tidak memainkan peranan mereka menasihatkan pemerintah melaksanakan Islam, sedangkan jawatan itu sudah lama wujud.

“Biar pun jawatan itu wujud sejak merdeka lagi, namun tidak nampak peranan mereka mendesak kerajaan melaksanakan Islam. Sebaliknya ketika pihak lain mahu memperjuangkan Islam mereka pula memain peranan menghalang,” ujarnya.

Bukan Islam pun marah

Bekas Setiausaha Gerakan Kelantan, Lau Chin Chua berkata, rakyat Kelantan dan seluruh pendokong Islam tidak boleh menerima dakwaan dibuat Rahim terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Katanya, beliau amat sedih dan dukacita sekali penghinan dibuat bekas ketua polis negara terhadap seorang pemimpin yang disegani di negara ini.

Naib Ketua AMK Pusat, Mohd Nazree Yunus melihat ada pihak yang berada di belakang Rahim sehingga sanggup melemparkan tuduhan tanpa asas kepada Mursyidul Am.

Kata beliau sekarang kelihatan satu kecederungan baru Umno memperalatkan pegawai kerajaan yang pencen sebagai benteng pertahanan mereka.

Exco Pemuda PAS Pusat, Firdaus Jaafar pula mahu Rahim bertanggungjawab di atas kenyataannya kerana telah mengundangkan rasa resah di kalangan rakyat.

Ribuan yang hadir menyaksikan replika NST dibakar seusia kuliah disampaikan Nasuruddin menggantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.(harakahdaily)

artikel berkaitan : harakahdaily

Wednesday, 9 May 2012

PAS Kecam Kenyataan Rahim Noor Tuduh Nik Aziz 'Bapa Kafir'!

Sebagaimana yang dilaporkan semalam, bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor sebenarnya sudah bankrap idea menuduh Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat sebagai bapa kafir.


Padahal dia lupa sebenarnya siapa yang memukul dan memaksa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengaku mempunyai hubungan dengan adik angkat serta bekas penulis ucapannya, Dr Munawar Anees pada 1998.


Rahim sudah tidak ada kredibiliti mengulas apa-apa juga isu kerana sikap dan perangainya sama seperti ketua polis negara yang mengaku tidak menjumpai ayat judi dalam Al-Quran, Hanif Omar.


Lebih teruk lagi, kedua-duanya masih tidak mahu insaf di atas perbuatan menzalimi rakyat walaupun sesudah bersara dari perkhidmatan polis lebih daripada 10 tahun.


Naib Presiden Pas, Husam Musa menyifatkan tindakan bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor yang menggambarkan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘bapa kafir’ mempunyai unsur dendam.


Malahan kata Husam, Rahim tidak layak mengeluarkan pendapat tentang Islam kerana tidak mempunyai pengetahuan mengenai hal ehwal agama.


“Kita dalam Pakatan Rakyat lebih berpegang kepada konsep kesopanan dan akhlak. Cara kita bertindak balas adalah dengan cara yang boleh diterima masyarakat,” kata beliau pada sidang media di JKR 10 di sini, semalam.


Rahim dalam sebuah akhbar semalam menuduh Nik Abdul Aziz sebagai ‘bapa kafir’ apabila dilihat cuba mengelirukan umat Islam dengan menyatakan bahawa wajib untuk menyokong perhimpunan Bersih 3.0.


Husam turut kesal terhadap fenomena politik negara yang dilihat berkembang di luar batas-batas agama dan moral.


“Hampir setiap hari ada sahaja caci maki dan kata nista yang tidak bertanggungjawab serta tuduhan liar berunsur seks keterlaluan selain gambar tidak munasabah disiarkan sejak Mac 2008 oleh media utama negara,” katanya.


Menurutnya, sebagai rakyat negara ini, beliau merasakan sudah tiba masanya amalan kotor seperti ini ditamatkan, namun perkara itu tidak akan terlaksana selagi tidak mempunyai moral yang tinggi.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Datuk Hasan berkata, Pas Kelantan mengutuk tindakan Rahim dan menyifatkan ia tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang bekas ketua polis.


“Beliau tidak layak untuk bercakap mengenai Islam dan kafir, siapa dia nak melabelkan orang Islam atau kafir, siapa dia Islam atau kafir sedangkan umum sudah mengetahui latar belakang dia sejak menjadi Ketua Polis Negara,” katanya.
http://jalanpulang1978.blogspot.com/2012/05/pas-kecam-kenyataan-rahim-noor-tuduh.html