Tuesday, 23 October 2012

MCA hina hudud: UMNO membisu, DAP bela 'Tok Guru'

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar perdana menteri supaya menyatakan pendirian terhadap dakwaan MCA bahawa hukum hudud yang dianjurkan PAS akan menggalakkan orang Islam untuk merogol wanita bukan Islam.

Menurut Anwar, Datuk Seri Najib Razak tergamak menghadiri pembukaan mesyuarat agung tahunan MCA hujung minggu lalu tetapi hanya membungkam apabila kenyataan timbalan pengerusi sayap wanita parti itu disokong presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek.

"Presiden MCA boleh berucap menyerang Islam begitu biadap sekali dan dia boleh duduk senyum.

"Kemudian bila berucap tak tegur pun.

"Mana dia maruah (Najib) sebagai umat (Islam)?" tanya Anwar dalam ucapannya di program ceramah di Taman Melati, Kuala Lumpur semalam.

Anwar berkata, tindakan Chua Soi Lek itu keterlaluan dan turut membangkitan isu rakaman hubungan seks luar nikah presiden MCA itu dengan seorang wanita lain.

"Siapa dia (yang bercakap)? Chua Soi Lek.

"Bercakap soal moral, saksi dia Datuk Najib. Saya ingat ini sudah keterlaluan," kata Anwar sinis.

Sabtu lalu, Chua memperakui kenyataan Heng Seai Kie yang mendakwa mursyidul am PAS Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat menggalakkan orang Islam merogol wanita bukan Islam kerana mendedahkan aurat.

Heng dilaporkan menyatakan demikian berdasarkan satu video ceramah Nik Aziz yang dipercayai dirakam sekitar tahun 2008.

"Daripada ucapan Nik Aziz, kami simpulkan bahawa Nik Aziz secara terbuka meminta orang Islam merogol bukan Islam, adakah saya benar?" tanya Heng di hadapan 1,032 perwakilan.

Nik Aziz bagaimanapun dilaporkan tidak langsung menyebut tentang wanita bukan Islam dalam video itu dan Heng menyesuaikan sendiri konteks ceramah Nik Aziz untuk meliputi wanita bukan Islam.

Minggu lalu, Chua turut mengundang kontroversi apabila membuat kenyataan mendakwa 1.2 juta pekerjaan akan hilang apabila hukum hudud dilaksanakan.

Turut sama membidas kenyataan MCA pada majlis ceramah semalam adalah MP Petaling jaya Utara, Tony Pua yang berkata Umno sebagai rakan MCA dalam BN hanya mendiamkan diri dalam perkara itu.

Tetapi pada masa sama DAP bertindak membela Nik Aziz walaupun mereka menolak pelaksanaan hudud, katanya.

"YB Lobak, Anthony Loke dia masuk Dewan (Rakyat) tepuk sama meja minta supaya MCA meminta maaf sama tok guru dan minta MCA dikenakan tindakan kerana mereka menghina Islam," katanya.

Beliau turut mengulangi pendirian DAP bahawa parti itu menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan walaupun menolak hudud.

"DAP tak bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang hudud dalam perlembagaan kita tetapi kita hormat kepada penganut agama Islam.

"Kita hormat agama Islam adalah agama rasmi negara kita. Kita tak hina agama Islam seperti MCA dan BN," katanya. -mk

Dalam satu laporan yang lain pula,

DAP berkobar-kobar mempertahankan PAS ekoran tuduhan pemimpin MCA bahawa mursyidul am parti itu Datuk Nik Aziz Nik Mat membenarkan orang Islam merogol bukan Islam.

Bangkit mempertahankan Nik Aziz yang dirujuknya sebagai "Tok Guru", Anthony Loke (DAP-Rasah) menyifatkan kenyataan Naib Pengerusi Wanita MCA Heng Seah Kie yang disokong Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek itu sebagai "paling biadap".
"Chua Soi Lek ialah presiden MCA yang paling biadap," katanya sambil menepuk meja.

Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia kemudiannya mematikan mikrofon Loke (atas) dan meminta anggota parlimen Rasah tidak membawa hujah politik luaran ke dalam dewan.

Kota Belud: Pandangan hanya tentang dasar negara Dr Chua dalam sidang media selepas itu mempertahankan kenyataan Heng itu kerana mendakwa ia benar.

Di Parlimen juga, sebelum itu, Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) berkata, ucapan Dr Chua di AGM MCA semalam menghina Islam dan melukakan hati umat Islam.

Justeru, kata Dzulkefly, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang hadir dalam AGM itu patu patut bertanggungjawab terhadap kenyataan Dr Chua manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) patut memberikan respons.

Beliau mempersoalkan sama ada Umno terlalu lemah sehingga MCA berani mengeluarkan kenyataan sebegitu.

Bagaimanapun, pemimpin Umno Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) kemudiannya tampil berkata, Dr Chua hanya memberikan pandangan berhubung dasar negara dan bukan menghina Islam.

No comments:

Post a Comment