1. Blog menepati risalah untuk menyampaikan ilmu atau maklumat kepada ummah. Mana - mana blog yang berkeupayaan memberi ilmu atau maklumat yang benar dan tepat berasaskan nas dan fakta maka ia adalah blog yang berwibawa dan mulia. Itulah blog yang wajar dibaca dan dilink kan ke laman - laman lain untuk diakses oleh orang ramai justeru ia membekalkan maklumat yang betul dan membina minda yang soleh.
2. Tujuan asal risalah ialah mendidik minda berasaskan maklumat. Benar maklumat maka betullah tindakan sementara salah maklumat maka pincanglah tindakan.
3. Asas risalah untuk mendidik ummat manusia agar benar tindakan dan amalan mereka ialah al Quranul Karim. Al Quran ialah risalah yang memuatkan wahyu Allah swt sebagai pedoman dan petunjuk buat manusia menjalani kehidupan mereka di dunia ini . Al Quran adalah "blog\website" Allah swt yang wajib dibaca oleh seluruh ummat manusia kemudian amal dan hayati seluruh isi kandungannya justeru ia adalah hidayah yang tiada siapa boleh mempertikaikan kesohihannya.
4. Rasulullah saw pula diutus untuk menafsirkan kandungan "blog\website" Allah swt yang diberi nama Al Quranul Karim agar manusia mudah memahami apa yang telah diwahyukan oleh Allah swt. Malah Nabi saw menyampaikan risalah as samawi itu dengan sabdanya melalui "blog\website" baginda saw yang dinamakan As Sunnah atau Al Hadis.
5. Para sahabat rhm. menulis di pelepah - pelepah tamar, kulit - kulit kambing sebagai "blog\website" mereka untuk disebarkan kepada seluruh ummat manusia, menyambung risalah an nabawiyah. Para ulama' Islam meneruskan kerja - kerja murni mendidik ummah melalui kitab - kitab yang dikarang oleh mereka sebagai "blog" yang memuatkan ilmu untuk rujukan dan panduan ummah. Sebagai contoh "Blog\website" Imam Malik rhm bernama al Muwatta', "blog\website" Imam Syafie rhm bernama Al Uum dan "blog\website" Imam Nawawi bernama Riadhus Solehin.
6. Zaman mutaakhir menyaksikan Islam ditegak dan diperjuangkan melalui kekuatan tradisi ar risalah yang digerakkan untuk membangkitkan kesedaran, keinsafan dan kesatuan ummah. Menetang penjajah atau kuasa toghut di Turki, Asy Syeikh Said Badiuzzaman an Nursi menggerakkan Risaalatun Nur sebagai "blog\website" rasmi Gerakan Islam Turki menyemarakkan kesedaran ummah.
7. Risalah Al Manar di Mesir dan Risalah Al Imam di Nusantara antara dua "blog\website" yang masyhur membangkitkan kebangkitan ummah menentang penjajah dan memperjuangkan Islam sehingga tertubuhnya Gerakan Islam yang sistematik memperjuangkan Agama Allah swt terutama setelah kejatuhan khilafah Islamiah Turki pada tahun 1924 .
8. Teknologi moden adalah anugerah Allah swt dan sebahagian dari hikmah yang mesti diambil dan wajar dimanafaatkan oleh orang - orang yang beriman untuk menyambung risalah dan lidah perjuangan Rasulullah saw serta generasi terdahulu. Kini teknologi seperti blog, website, facebook, my space, twitter dan lainnya mestilah digerakkan untuk membina minda ummah, mendidik aqidah, fikrah dan akhlak mereka .
9. Justeru itu, blog\website yang hanya memuatkan berita sensasi tanpa peduli 'betul benar" sumber berita atau maklumat yang dipost kan adalah blog\website yang perlu diperbaiki dan perbetulkan agar ia benar - benar berfungsi menepati prinsip ar Risalah as samawi . Saya menyeru semua bloggers, facebookers dan websiters agar kita mencontohi kredebiliti Risalah terdahulu yang sangat mengutamakan ketulenan dan keabsahan ilmu berlandaskan sumber yang benar dan tepat seperti Al Quran dan As Sunnah. Prinsip Risalah kita tetap sama seperti Risalah di zaman silam. Hanya yang membezakan kita ialah teknologi. Selayaknya lebih maju dan lebih moden teknologi kita, maka lebih benar dan lebih tepat maklumat kita.
10. Jauhilah fitnah dan jangan biarkan ia bersawang di dalam blog\]website kita. Pastikan blog\website kita memimpin diri dan ummah ke arah syurga Allah swt dengan ilmu dan maklumat yang benar. Janganlah blog\website kita mengundang kemurkaan Allah swt. Awas ! blog\website kita akan senantiasa diaudit oleh Raqib dan Atid .
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Sumber : eperjuangan.com
No comments:
Post a Comment