Thursday, 6 January 2011

Nasrudin : Kos Persekolahan Membebankan Rakyat

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

1) Isu persekolahan di Malaysia banyak membebankan ibu bapa sedangkan sebagai sebuah negara membangun perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku. Bagaimana dengan tanggung jawab sebenar kerajaan dalam mmeberi kemudahan persekolahan. Adakah hanya sekadar menyediakan sekolah?

Ia bukan isu persekolahan tetapi ia adalah mengenai kos. Kos yang perlu dibayar oleh ibubapa atau penjaga untuk mendapatkan pendidikan yang sewajarnya diberikan secara percuma dan dipermudahkan. Bulan lepas, isu yang hangat berlaku di Britain apabila ribuan mahasiswa membantah tindakan kerajaan menaikkan kos yuran pengajian. Mengapa ia berlaku? Sebab, pendidikan adalah keperluan setiap rakyat, tetapi pihak kerajaan telah menyekat peluang dan hak rakyat untuk mendapatkan pendidikan.

Kos ini ditentukan oleh pihak kerajaan. Secara mudahnya, kenapa kos untuk mendapatkan pendidikan ini tidak diminimakan sebaik mungkin, tapi dalam masa yang sama kerajaan berbelanja berjuta-juta ringgit untuk membuat pelbagai projek yang tidak perlu. Ini adalah masalah dalam menentukan prioriti perbelanjaan. Saya berpendapat, pihak kerajaan hari ini tidak dapat melihat kesan gandaan sebenar terhadap peruntukan atau pelaburan yang diberikan untuk sektor pendidikan kerana mereka lebih berminat untuk memikirkan soal keuntungan daripada projek-projek fizikal yang dijalankan.

Walaupun begitu, lebih menyedihkan walaupun lebih 50 tahun kita merdeka masih lagi terdapat sekolah-sekolah khususnya di pinggir bandar, Sabah dan Sarawak berhadapan dengan masalah kekurangan kemudahan asas, bahan bacaan di perpustakaan tidak mencukupi, dan alat bantu mengajar masih jauh ketinggalan. Tambahan lagi, Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2008 dan 2009 pula telah mendedahkan bagaimana pembelian aset pendidikan jauh lebih tinggi daripada harga pasaran, penggunaan bahan-bahan yang tidak mengikut spesifikasi sehingga berlakunya kerosakan dan keretakan bangunan dan sebagainya.

Akhirnya, peruntukan tersebut tidak memberikan maslahah kepada rakyat sebaliknya hanya menguntungkan para kontraktor, ahli perniagaan dan sebagainya. Maka, kita melihat terdapat unsur-unsur cuba untuk memperdagangkan sektor pendidikan di negara kita.


2) Nampaknya slogan 'rakyat didahulukan' hanya sekadar slogan kerana dalam isu pendidikan anak-anak, ibubapa makin terbeban dengan masalah perbelanjaan persekolahan dan pendidikan anak-anak.Respons ustaz?

Ya. Ia hanya slogan. Bukan hanya dalam isu pendidikan malah dalam isu-isu sosio-ekonomi yang lain pun begitu juga. Apabila kerajaan mengambil sikap mengurangkan subsidi dan menaikkan harga barang, jumlah pendapatan boleh guna isi rumah semakin berkurangan. Saya sedih apabila ramai ibubapa terpaksa berhutang dengan pihak bank dan koperasi untuk membeli barangan keperluan pendidikan anak-anak setiap hujung tahun.

Kerajaan masih lagi belum membuat perubahan yang drastik untuk mengurangkan kos pendidikan rakyat di negara ini samada di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan tertiari. Oleh sebab itu, dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dilancarkan pada minggu yang lalu, kita komited untuk mengurangkan kos pendidikan pada tahap yang paling maksima dan tidak mustahil kita boleh memberikan pendidikan percuma kepada seluruh rakyat Malaysia daripada peringkat pra sekolah sehinggalah ke peringkat sarjana muda.

Kerajaan hanya sibuk untuk mengklasifikasikan lebih banyak jenis sekolah dan membuat polisi yang tidak betul sehinggakan mereka sendiri pun terkeliru. Lihat sahaja dasar PPSMI, dasar Bahasa Melayu dan yang terbaru mengenai pendidikan seksulaiti. Semuanya telah dan akan menemui kegagalan.


3) Kerajaan memperuntukkan lebih 100 juta untuk Permata yang kononnya untuk memantapkan pendidikan awal kanak-kanak. Apakah sebenarnya dengan jumlah tersebut kerajaan dpt memanfaatkan untuk tujuan persekolahan dan pembelajaran yang dapat meringankan beban pelajar?

Saya tidak mahu menyebut ia adalah amalan kronisme dan nepotisme. Tapi, saya ingin tegaskan disini ia adalah amalan tidak bijak dan menunjukkan kebodohan sendiri. Rakyat hari ini sudah celik untuk menilai dan menghukum. Tindakan sebegini akan lebih menjarakkan tahap pencapaian akademik anak-anak terutamanya di kawasan bandar dan luar bandar.

Saya ulanginya sekali lagi bahawa ia adalah kesilapan dalam menentukan prioriti dalam perbelanjaan. Kerajaan tidak menyelesaikan masalah asas sebaliknya mencipta masalah baru. Ia sama seperti isu pendidikan seksual untuk pelajar. Kerajaan fikir untuk mengurangkan masalah penzinaan dan buang anak dikalangan pelajar adalah dengan cara memberikan pendedahan kepada mereka mengenai perkara seks.

Mari kita buat perbandingan antara pelajar yang belajar di sekolah kawasan bandar dan kawasan luar bandar. Begitu juga pelajar yang belajar di sekolah kerajaan dan pelajar yang belajar di sekolah rakyat hasil daripada usaha-usaha waqaf orang ramai. Adakah kerajaan mengamalkan sikap diskriminatif? Tidakkan ia menunjukkan perbezaan yang ketara? Saya cabar pihak kerajaan supaya selalulah meninggalkan kerusi empuk dan turunlah bertemu dengan rakyat diseluruh pelusuk negara kita supaya mereka dapat memahami penderitaan dan kesusahan rakyat. Jangan hanya berbincang di bilik berhawa dingin, sebaliknya keraplah menyantuni rakyat barulah kita akan merasai denyut nadi mereka.

4) Bagaimana dengan nasib ibubapa yang bekerja sendiri serta berpendapatan rendah seperti petani, nelayan dan bekerja kampung untuk menyara persekolahan anak-anak sedangkan kedudukan ekonomi hari ini menyebabkan harga barangan keperluan naik dan bagi yang bekerja gaji masih ditakuk lama. pandangan ustaz?

Subsidi sebenarnya telah pun diberikan kepada golongan miskin dan mudah terjejas di negara kita. Tetapi, persoalannya sampai bila kerajaan boleh memberikan jaminan bahawa subsidi akan sentiasa berterusan? Sama juga seperti kenaikan harga petrol. Pertengahan tahun lalu, kerajaan ikrar tidak akan menaikkan harga petrol pada tahun 2010 tetapi hakikatnya tetap dinaikkan juga. Dimana kepercayaan rakyat kepada kerajaan?

Oleh sebab itu, PAS dan Pakatan Rakyat tidak akan berkompromi terhadap kos pendidikan. Janji kami adalah kos pendidikan akan dikurangkan semaksima mungkin dan jauh lebih rendah daripada kadar hari ini. Pada masa yang sama, masalah kritikalnya adalah kerajaan gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik. Ini kerana asas ekonomi itu adalah bagaimana kita menguruskan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah rakyat.

5) Saranan ustaz kepada pihak kerajaan agar pihak ibubapa tidak terbeban dengan permasalahan yuran persekolah serta kos pendidikan anak-anak yang sering meningkat saban tahun?

Pertama, kita perlu jelas bahawa akses pendidikan adalah wajib kepada seluruh rakyat dan kita sentiasa galakkan supaya rakyat mendapat pendidikan yang berterusan. Bukan hanya sekadar wajib, malah kerajaan mesti menyediakan sistem pendidikan yang berkualiti pada kadar yang paling minima.

Kedua, peruntukan yang besar kepada sektor pendidikan mestilah diagihkan dengan adil dan telus. Aspek pembinaan infrastruktur mestilah tepat kepada sasaran supaya ia lebih banyak dapat disalurkan bagi meringankan beban ibubapa yang menanggung beban persekolahan. Saya juga meminta supaya kerajaan mengkaji semula cadangan untuk membuka skim insurans pendidikan kepada ibubapa. Ia bukan kaedah solusi jangka panjang yang bijak kerana seolah-olah kerajaan hanya ingin lepas tangan mengenai perkara ini.

Ketiga, pihak kerajaan dan pihak-pihak yang berkuasa mestilah menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan beretika tinggi. Dikesempatan ini, saya juga mendesak agar pihak-pihak tertentu yang menyelewengkan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera. Ini satu penyelewengan yang besar dan zalim.

Keempat, menggalakkan lebih ramai golongan-golongan dermawan (philantrophists) untuk memberikan sumbangan waqaf bagi tujuan pendidikan. Kaedah Corporate Social Responsibility (CSR) yang telah diamalkan oleh sektor korporat mestilah lebih diperluaskan agar mereka dapat membantu mengurangkan kos pendidikan.

Sekian, terima kasih.

Nasrudin.

No comments:

Post a Comment