Minda Naib Presiden PAS ke 20 bersama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.
Jika anda mempunyai soalan khas untuk ditujukan untuk ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila emailkan kepada sembangnaibpresidenpas@gmail.com
Soalan 1:
Nyatakan 3 hasrat Naib Presiden untuk tahun 2011.
Tuan Ibrahim:
1. Hasrat besar saya untuk melihat PAS lebih berjaya seandainya PRU ke 13 berlangsung pada tahun hadapan.
Selama tiga tahun kita gerakkan keyakinan rakyat samada melalui PAS atau PR, walaupun kita berjaya dalam beberapa piliharanraya kecil (PRK) dan gagal dalam beberapa PRK, namun pencapaian cemerlang kita dan pencapaian semua negeri PR seharusnya menjadi ukuran bagi pangundi untuk membuat pilihan kali ini.
Hasrat kita besar agar negara dapat ditadbir oleh mereka yang lebih beramanah dalam menjaga hak rakyat dan hak Islam dapat didaulatkan.
2. Tahun hadapan adalah tahun pemilihan parti, dan hasrat saya agar pemilihan kali ini akan memperkukuhkan hubungan antara sesama ahli, dan dapat menjadikan mesyuarat agung di semua peringkat sebagai medan menjana kekuatan parti, meningkatkan semangat jihad dan membelakangkan persoalan remeh-temeh dalaman parti.
Bahkan kita mengharapkan agar muktamar kali ini menjadi medan muhasabah, bagi memperkasakan parti.
3. PAS Pahang lebih berjaya berbanding tahun-tahun lalu, samada dalam pencapaian politik, peningkatan ahli dan cawangan serta berjaya memperkukuhkan hubungan dalam PR.
Salahuddin Ayub:
Pertama beriltizam untuk terus menjadi ahli parti dan menunaikan amanah yang saya pegang hari ini sebaik mungkin demi untuk membawa parti ke era yang lebih cemerlang pada masa akan datang.
Yang kedua, berikrar untuk terus muqadamah dalam menunaikan tanggungjawab dan apa yang penting diharapkan kehadiran saya ini akan membantu parti untuk meraih kemenangan besar dalam pilihanraya akan datang.
Yang ketiga, saya berjanji untuk meningkatkan keupayaan diri dengan segala keperluan seperti ilmu pengetahuan dan meninggikan lagi nilai-nilai yang baik dan terus bermuhasabah untuk membaiki diri sendiri.
Mahfuz Omar:
Hasrat pertama saya ialah dapat meningkatkan tugas dan tanggungjawab saya sebagai ahli parlimen di kawasan saya (Pokok Sena) dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan rakyat.
Yang keduanya, sebagai seorang Naib Presiden, saya ingin melihat kepimpinan dan ahli-ahli parti di semua peringkat dan rakan-rakan di setiap peringkat Pakatan Rakyat menjadikan tahun ini sebagai tahun perubahan.
Tahun perubahan itu bukan hanya dilihat dalam konteks bagaimana kita ingin mendapatkan kuasa, akan tetapi bagaimana kita nak menterjemahkan kuasa yang diberikan rakyat pada negeri-negeri yang kita perintah iaitu dengan meninggalkan amalan-amalan dan budaya-budaya politik lama yang telah merosakan perabadan masyarakat kita ini yang dilakukan oleh UMNO.
Harapan saya ialah ingin melihat satu usaha dipertingkatkan oleh semua kepimpinan parti di semua peringkat untuk membudayakan integriti yang tinggi, ketanggungjawaban, soal amanah, keikhlasan perjuangan mesti dilihat oleh rakyat.
Rakyat bukan mengharapkan kebendaan tapi kelainan daripada UMNO dan Barisan Nasional yang perlu dibawa oleh semua pimpinan di semua peringkat parti.
Impian ketiga saya tahun ini ialah melihat keluarga saya menjadi keluarga terbaik untuk kehidupan di dunia dan juga akhirat.
Soalan 2:
Adakah terdapat halangan kepada PAS untuk menyeragamkan kaedah berceramah di kalangan pemimpin PAS seperti menggalakkan atau mewajibkan mereka menggunakan kaedah persembahan slide atau powerpoint ketika berceramah agar input yang diberi kepada rakyat lebih berkesan, mudah diingati dan berfakta.
Pada pendapat saya ianya penting kepada ahli PAS,pengundi atas pagar dan ahli UMNO untuk mengetahui data-data yang tepat untuk dijadikan hujah kepada mereka yang cintakan kebenaran. Ianya juga penting untuk dijadikan panduan ketika berceramah kepada penceramah PAS agar tidak bercakap meleret-leret dan beremosi yang berlebihan?
Salahuddin Ayub:
Saya rasa dari segi prinsipnya kita ada etika dan akhlak yang menjadi garis panduan asas dalam kita menyampaikan ceramah dan penerangan di mana-mana tempat sekalipun.
Akan tetapi, dalam kaedah-kaedah seperti menggunakan slide dan alat-alat bantuan audio visual yang lain, itu terpulang kepada keupayaan individu dan bakat yang ada pada penceramah masing-masing. Dan tidak sama impaknya apabila kita menggunakan alat-alat bantuan tersebut, namun yang penting adalah keupayaan dan bakat seseorang itu harus dipertingkatkan dan alat-alat bantuan yang disebutkan tadi hanya sekadar membantu sahaja.
Mahfuz Omar:
Isunya bukan soal penyeragaman, tapi bagi saya, setiap penceramah ada style dan gaya tersendiri yang tidak boleh nak diseragamkan.
Showmanship seseorang itu sudah tentu berbeza. Akan tetapi, yang pentingnya ialah maklumat yang ingin diseragamkan dan kemudian terpulanglah kepada setiap individu untuk membuat persembahan kepada masyarakat dan rakyat dengan kaedah yang mereka rasa sesuai dengan kemampuan dan keupayaan mereka.
Namun begitu, saya mengharapkan bahawa setiap orang itu dapat melihat kepada keperluan penggunaan teknologi baru yang ada yang mudah untuk capture pemikiran masyarakat dan rakyat dengan penyampaian yang kita sampaikan.
Yang lebih pentingnya ialah sistem dan proses penyampaian maklumat ke bawah – caranya perlu bergantung kepada keupayaan dan kesesuaian diri orang yang menyampai dan kemampuan orang-orang yang nak menerimanya.
Tuan Ibrahim:
Adalah sesuatu yang amat sukar bagi menyelaraskan semua penceramah parti kerana kemampuan manusia yang tidak sama dan bakat yang berbeza. Kita meyedari ada kalangan penceramah yang meleret-leret, ada yang kasar, ada yang merapu dan ada yang terlalu ilmiah; semua ini adalah perkara biasa dalam kaedah penyampaian.
Dalam dakwah. Al-Quran menjelaskan tiga kaedah yang pertama ialah hikmah, mauizzah hasanah dan mujadalah.
Hikmah ialah kebijaksanaan dalam menyampaikan dakwah sesuai dengan kemampuan penyampai dan pendengar. Memang sebaiknya melalui kaedah power point adalah memudahkan pendengar memahami dan menghayati penyampaian.
Namun ada di kalangan penceramah yang tidak berkemahiran dalam menyediakan bahan serta kemudahan [peralatan bagi menyampaikan ceramah; kita berharap perkara ini dapat diatasi-insyaAllah.
Soalan 3:
Bolehkah diiklankan hutang negara, negeri-negeri dan juga sejarah hutang piutang, serta penyelewengan oleh parti yang berkuasa pada banner dan billboard di tempat yang menjadi tumpuan di seluruh negara mulai dari sekarang?
Mahfuz Omar:
Bagi saya, itu satu cadangan yang baik untuk memastikan supaya proses penyampaian maklumat kita tentang masalah hutang itu dapat sampai kepada masyarakat dan rakyat secara lebih mudah. Kadang-kadang masyarakat terutama sekali di luar bandar tidak dapat akses maklumat melalui teknologi moden.
Bagi masyarakat bandar pula, banner tersebut akan menimbulkan satu kejutan untuk membicarakan persoalan masa depan negara.
Tuan Ibrahim:
Membentang hutang negara untuk pengetahuan umum adalah baiik, agar rakyat mengetahuinya. Namun pendedahan tersebut sekiranya tidak diolah dengan baik, ia akan menimbulkan pelbagai polemik.
Mungkin rakyat akan menyatakan tiada negara yang tidak ada hutang; namun apa yang lebih penting ialah kesedaran betapa besarnya penyelewengan, rasuah dalam negara.
Ada satu lagi yang elok juga untuk ditinjau ialah pendedahan terhadap berapa kos sesuatu projek yang dijalankan oleh kerajaan. Biasanya apabila ada sesuatu projek rakyat hanya mengetahui siapa kontraktor, agensi yang menyelia, bila mula, bila jangka siap; tapi rakyat tidak tahu berapa kos sebenarnya.
Salahuddin Ayub:
Saya rasa itu amalan yang telah dibuat di negara-negara maju supaya mereka lebih telus dan kerajaan yang memerintah akan mengumumkan setiap hari dalam skrin besar perbelanjaan negara.
Jadi aspek yang baik dan bagus ini harus kita contohi walaupun tidak kesemuanya, tetapi dalam konsep ketelusan dan falsafah untuk urus tadbir yang baik, saya rasa apa yang dicadangkan itu adalah suatu yang amat baik kerana ianya memberikan maklumat secara langsung kepada rakyat supaya mereka berfikir dan daripada situ mereka boleh menentukan sikap dan pendirian politik mereka.
Sumber : Harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment