1. Tahun 2011 adalah tahun milik anak muda . Tahun kebangkitan anak muda mencetus perubahan . Tahun suara anak muda mula didengari . Tahun luahan rasa anak muda mohon dikota . Tahun rintihan hati anak muda pinta diteliti. Tahun desakan anak muda mesti diwarta bahkan tahun undi anak muda menjadi penentu kemenangan parti - parti politik .
2. Saya melihat fenomena ini dengan tekun . Kini generasi muda melengkap gelombang transformasi seraya membuat hayunan besar melonjak perhatian dunia kepada peranan anak muda mengisi planner 2011 dan akan datang . Sebenarnya kebangkitan anak – anak muda adalah fenomena sepanjang zaman meredah pertumbuhan tamadun manusia di atas muka bumi ini. Sebagai contoh :
· Tokoh politik Indonesia, Sukarno pernah berkata: “Berilah aku seratus orang pemuda, nescaya aku akan mampu menggoncangkan dunia. Tetapi sekiranya aku diberi seribu orang tua nescaya tewaslah aku”
Imam Ghazali rahimahullah : “ Jika kamu ingin melihat kemajuan di dalam sesebuah negara, maka lihatlah pemuda dan pemudinya”
· Generasi awal yang beriman kepada Rasulullah saw juga adalah terdiri dari pemuda yang komited memperjuangkan Islam seperti Saidina Ali karramallahuwajhah, Abdullah Bin Umar Rha dan lain – lain.
· Pemuda Ashabul Kahfi merupakan sekolompok pemuda yang mempertahankan iman dan menentang pemimpin yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah dalam Al Kahfi ayat 12-13: “kemudian kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar, Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan petunjuk”.
· Menurut As-Syahid Imam Hasan al-Banna pula : “Pemudalah yang selamanya menjadi tulang belakang pembangunan sesuatu umat, menjadi rahsia kekuatan sesuatu gerakan dan pemegang panji-panji sesuatu fahaman.“
3. Contoh - contoh di atas adalah inspirasi Dewan Pemuda PAS dalam membawa arus perubahan kearah melahirkan:
· Pemuda yang memahami nilai positif dan meletakkan sensitiviti agama sebagai keutamaannya.
· Pemuda yang bijaksana dalam berdakwah dan berhujjah serta berkata-kata dengan menggunakan aqalnya yang dipandu dengan al-Quran, al-Sunnah, Ijma’ dan Qias.
· Pemuda yang memberikan perhatian mengenai amar ma’ruf dan nahi mungkar.
· Pemuda yang berilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.
· Pemuda yang mempunyai kemahiran hidup dan berupaya komunikasi dengan
masyarakat.
· Pemuda yang mampu mentadbir organisasi dan memimpin dengan baik.
· Pemuda yang berakhlak mulia dan mempunyai nilai integrity yang tinggi.
· Pemuda yang berfikiran jauh ke hadapan.
· Pemuda yang bersemangat dan bertenaga.
· Pemuda yang kreatif dan inovatif dalam gerak kerja.
· Pemuda yang bertanggungjawab terhadap urusannya
4. Mengapa perlu kita berubah sekarang ? Menjawab persoalan ini, ringkasnya saya gariskan keperluan mendesak untuk anak – anak muda bangkit membuat perubahan di atas nokhtah – nokhtah berikut:
· Keruntuhan sosial yang melanda umat Islam khususnya generasi muda.
· Kepincangan politik dan ekonomi yang berlaku di dalam Negara.
· Ketandusan generasi pelapis untuk memimpin Negara masa depan.
· Bersedia untuk mengganti kerajaan UMNO dan BN
· Penerimaan dan kepercayaan bukan Islam terhadap Islam yang semakin meningkat.
5. Perubahan pasti akan berlaku dan anak muda menjadi agen kepada perubahan tersebut. Sejarah kebangkitan anak muda boleh saya paparkan disini melalui jendela sejarah, antaranya:
6. Perubahan yang dicetuskan oleh anak muda untuk mengubah keadaan dunia yang dibawa oleh Sheikh Muhamad Abduh mengembangkan idea-idea Pan Islamisme dengan dilatari oleh Universiti Al Azhar sehingga beliau dipecat daripada universiti Islam paling berprestij itu akibat kekuatan idea pan Islamisme yang mengancam hegemoni Barat yang sedang menguasai Mesir Barat.
7. Di negara China pula, tokoh tokoh kampus seperti Mao Tze Tung, Li Ta Chao, Chen Tu Shiu adalah penggerak kepada Peristiwa 4 Mei 1919 yang akhirnya telah berjaya meledakkan kebangkitan Komunisme sehingga tertegaknya Republik Rakyat Komunis pada tahun 1949 di China.
8. Sejarah juga telah mencatatkan Revolusi Bolshevik 1917 di Russia telah digerakkan oleh anak-anak muda kampus yang telah diindoktrinkan dengan fahaman komunisme, Tzar Nicholas akhirnya jatuh.
9. Di Burma, kampus telah menjadi medan utama sebagai markas menentang penjajahan British, beberapa orang anak muda intelegensia yang mempunyai kesedaran politik telah menubuhkan Persatuan Pemuda Buddha (YMBA) pada tahun 1906. Gerakan pemuda ini sangat ditakuti oleh penjajah British lantas mengharamkan keanggotaannya kepada orang awam namun idealisme dan daya juang anak-anak muda kampus ini sangat tinggi dan mencabar British dengan mengadakan mogok dan boikot yang akhirnya turut disertai oleh orang awam.
10. Arus kesedaran untuk membaiki bangsa dan membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan pada awal abad ke 20 telah digerakkan oleh anak-anak muda kampus Al Azhar seperti Syed Sheikh Al Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Abbas Kalali sehingga kelompok mereka sangat dicurigai penjajah dan bonekanya. Melalui pembinaan madrasah-madrasah moden ala Mesir dan penulisan, kelompok ini telah menebarkan kepedulian sosial politik masyarakat Melayu untuk merdeka.
11. Justeru itu saya melihat perubahan dalam aspek politik adalah menjadi tumpuan segenap pejuang anak muda di serata dunia. Namun begitu keadaan ‘mood’ politik anak muda melayu perlu diberi tumpuan khusus.
12. Jika direnung perangkaan yang menunjukkan kira-kira 4.5 juta orang yang layak berdaftar sebagai pengundi tetapi masih belum berbuat demikian, tercetus kerisauan tentang kesedaran berpolitik anak-anak muda zaman sekarang. Lebih malang apabila dikatakan senario menunjukkan orang Melayu mencatat nisbah terlalu rendah berbanding bukan Melayu dalam pendaftaran sebagai pengundi baru selepas pilihan raya umum 2008.
13. Manakala di kalangan parti politik, menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar, lebih ramai bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi selepas tsunami politik, Mac 2008, dengan DAP paling agresif menjalankan program pendaftaran pemilih baru, terutama di kalangan belia Cina.
14. Perkembangan pesat teknologi maklumat, arus globalisasi dan kemunculan kuasa siber memang mendorong pembentukan masyarakat yang lebih terbuka dan berpemikiran kritis. Zaman penguasa menakrifkan segalanya buat rakyat sudah berakhir. Media "arus perdana" hilang sengat dan bisanya. Anak muda tidak perlu lagi turun bersesak-sesak mendengar pidato politik, sekadar menonton YouTube dari bilik tidur atau membaca berita analisis terbaru yang segar daripada laman web dan blog. Pelbagai maklumat yang tidak ditapis boleh dilayari dengan mudah dan cepat.
15. Selain itu, perkembangan teknologi maklumat dan media baru menyebabkan golongan itu tidak lagi mengakses maklumat daripada media konvensional tetapi “mencipta” maklumat dan membentuk pandangan tersendiri.
16. Abu Hassan Hasbullah Pensyarah kanan pengajian media dari Universiti Malaya (UM) berkata Mereka tiada lagi kepercayaan klasik kepada politik. Mereka boleh ubah sokongan dan bertindak-balas bila-bila masa dan ini memerlukan suatu kerja besar memahamkan anak muda peri pentingnya memilih jalan negara yang lebih baik serta menampilkan alternatif yang jelas berkesan kepada masyarakat.
17. Abu Hassan berpandangan bahawa generasi muda tidak lagi memegang pada kata-kata atau janji ahli politik, sebaliknya menilai bagaimana sesuatu isu dibangkitkan dan ditangani pihak terbabit. Kenyataan Abu Hassan itu selari dengan kajian dilakukan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) iaitu 70 peratus daripada mahasiswa atau generasi muda tidak meminati politik dengan 10 peratus pro-kerajaan dan 20 peratus bersifat terbuka.
18. Bagi pemerhati politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Sivamurugan Pandian (kanan), perkembangan politik di negara ini mengalami “defisit perwakilan politik” sejak dua tahun lepas. Dianggarkan tujuh juta pengundi muda akan mengundi pada PRU13 dan sokongan golongan ini akan menentukan output pilihan raya sama ada memihak kepada BN atau Pakatan Rakyat yang kini memerintah di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
19. Menyifatkan pengundi muda sebagai golongan idealis dan “anti-establishment”, penganalisis politik Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latiff, pula berkata sokongan pengundi muda bergantung kepada faktor demografi dan taraf pendidikan individu terbabit.
20. Menurut Wan Abdul Rahman, bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), politik “warisan”, seperti ayah BN maka anak undi BN atau ayah PAS maka anak juga sokong PAS, semakin berkurangan.
21. Jika anak muda melayu kian ‘bosan’ dengan warna warni politik malaysia, adalah suatu kewajipan bagi PAS, khususnya pemuda PAS untuk melibatkan mereka dalam perjuangan menyelamatkan Malaysia yang kian rosak dalam segala aspek. Jadikan tema perjuangan 2011 sebagai tema menyelamatkan Malaysia. Seharusnyalah segala kemelesetan ekonomi, kebejatan moral, ketirisan dan penyelewengan wang negara perlu ditampilkan dan difahamkan kepada anak muda.
22. Di sinilah letaknya peranan gerakan Islam seperti PAS dan sayap pemudanya untuk meraih perhatian anak muda agar mereka bersetuju dengan sosio budaya dan politik negara ini dipacu oleh Pakatan Rakyat yang menjurus ke arah keadilan, peningkatan pengamalan Islam dan perjalanan sistem negara yang lebih telus dan berkesan.
Sumber : Episode Sebuah Perjuangan
No comments:
Post a Comment