Saturday, 21 July 2012

Aisyah : Saya Pilih PAS kerana Islam


 


Aishah bersama barisan panel dan Azua (kiri) 
di Dataran Al-Ikhwan, Air Mawang, kelmarin. 


JOHOL- “Saya memilih Pas kerana Islam. Saya ingin berdakwah melalui Pas kerana parti ini mempertahankan agama Islam dan saya selesa bersama barisan kepimpinan Pas.”


Itu pengakuan penyanyi Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Arifin yang diundang menjayakan ceramah ‘Bilo Selebriti Dah Join Pas’ di Dataran Al- Ikhwan di Air Mawang, petang kelmarin.


Aishah berkata, walaupun baru dua bulan menyertai Pas, dia yakin dan bersemangat untuk terus berjihad di jalan ALLAH SWT.


“Ini bukan bermakna semasa saya menjadi penyanyi, saya tidak mendekati ALLAH SWT tetapi selepas memilih Pas, saya lebih bersemangat ingin berjuang dan berdakwah ke jalan yang diredhai. Lagipun kita sudah sedia maklum, perjuangan Pas salah satunya adalah Islam.


“Bukan hanya seorang ulama sahaja yang boleh berdakwah, seorang penyanyi juga mampu melakukannya,” katanya.


Menurutnya, asas pertama dia memilih Pas kerana Islam itu sendiri dan kerana kesucian agama Islam.


“Saya hanya nampak Pas sahaja yang mampu pertahankan agama Islam.


“Walaupun saya tidak belajar tinggi hingga ke Universiti Al-Azhar tetapi saya tidak jahil agama Islam, malah selepas masuk Pas, mereka banyak membantu dan memberi sokongan kepada saya untuk terus berdakwah kepada masyarakat terutama peminat saya,” katanya.


Dalam pada itu, Aishah turut memuji keterbukaan Pas menerima golongan artis sebagai ahli.


Sementara itu, bekas kumpulan XPDC, Azua Md Tasi berkata, dia memilih Pas kerana mahu berhijrah.


“Dulu saya lalai dengan duniawi semata-mata tetapi sejak awal 90-an, saya sudah mula berjinak-jinak dengan aktiviti keagamaan.


“Saya sering bertemu imam dan pendakwah. Dari situlah, hati saya mula terbuka untuk memilih Pas. Kita mestilah berhijrah daripada tidak baik kepada baik, daripada kurang baik kepada lebih baik,” katanya.


Menurutnya, jika mahu berubah, ia bermula dari diri sendiri.


“Jangan salahkan bidang nyanyian jika kita lalai, sebaliknya diri sendiri perlu berpendirian teguh.


“Bila waktu solat, kita solat. Jadi tiada masalah untuk kita meneruskan profesion dalam dunia nyanyian,” katanya.

No comments:

Post a Comment