Muqaddimah
Pas sebagai sebuah gerakan Islam dan parti politik. Dasarnya Islam, rujukannya Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias. Penyertaan kita di dalam Pas bukan kerana hanya mengisi masa lepang tetapi ia adalah wajib untuk penerusan kepada perjuangan Islam di negara ini. Apabila kita mengisi borang sebagai ahli Pas maka di sana bererti ia sudah berbaiah untuk mematuhi peraturan dan tatacara sebagai seorang ahli Pas. Ertinya segala tindakan kita sudah berada di dalam kawalan jamaah, ini adalah lumrah mana-mana organisasi. Contonya kita bekerja di kilang Samsung berbeza kerja dengan kilang Proton. Peraturan setempat mesti diikuti, jika kita tidak boleh ikut, kita kena buka kilang sendiri.
Jati Diri Ahli Pas
Dari Segi Aqidah
1. Saya mestilah beriman bahawa Allah yang maha esa menciptakan manusia bukan sia-sia sahaja. Dan mesti beriman bahawa manusia akan di kembali dan disoal oleh Allah SWT setiap amalan yang dilakukan di atas dunia. Justeru itu saya tidak boleh leka dengan dunia sehingga lupa tanggungjawab untuk menegakkan agama Allah SWT kerana ini merupakan perkara yang berkaitan dengan akidah.
Firman Allah SWT
“Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia” (Al-Mukminun 23:115-116)
2. Mesti beriman bahawasanya Allah SWT telah mengutuskan Rasul-Rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka. Kita mestilah mempertahankan Sunnah dan ajaran baginda daripada dinodai. Di antara Sunnah yang wajib saya pertahankan ialah menegakkan syariat Allah dan hukumnya seperti yang baginda tegakkan di Madinah.
Firman Allah SWT
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu”, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula diantaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul)” (Surah al-Nahl 16:36)
3. Wajib beriman bahawa ganjaran bagi orang yang beriman yang taat kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang yang tidak beriman dan durhaka ialah api neraka. Janji syurga inilah yang menjadi perangsang dan semangat untuk kita membanyakkan amal dan berusaha untuk mempertahan agama Allah daripada dinoda. Kita mesti berusaha untuk menjauhkan diri dari kelompok yang membawa kebinasaan dan dihumban ke dalam api neraka jahanam. Firman Allah SWT
“…Satu golongan memasuki syurga manakala satu golongan lagi memasuki neraka sa’ir” (Surah al-Syura 42:7)
4. Wajib beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah SWT. Tidak harus sama sekali manusia mendahului atau membelakanginya. Apa yang boleh dilakukan oleh ulama’ ialah berijtihad mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas syarak yang dibenarkan. Kita mesti beriman bahawa haram menukarkan hukum yang telah dinaskan secara qat’i oleh Al-Quran dengan hukum manusia. Menukarkan kesalahan zina dengan denda wang berlawanan dengan Allah perintahkan dengan disebat 100 kali bagi yang belum berkahwin dan direjam sampai mati bagi yang sudah berkahwin. Firman Allah SWT
“Tentang sesuatu apapun kamu berselisih, maka keputusannya (terserah)kepada Allah (yang mempunyai sifat-sifat demikian) itulah Allah Tuhanku, KepadaNyalah aku bertawakkal dan kepadaNya aku kembali” (Surah Al-Syura 42:10)
5. Mestilah takut hanyalah kepada Allah dan tidak takut kepada yang lain. Perasaan takut menyebabkan kita menjauhi kemurkaan Allah dan larangan-laranganNya. Kita mesti yakin bahawa semua tindakan, diperhati oleh Allah SWT samaada sewaktu sunyi atau terang. Seperti mana yang Allah menjelaskan
“Sesiapa yang mentaati Allah dan RasulNya serta takut dan bertaqwa kepadaNya maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan” (Surah Al-Nur 24:52)
6. Wajib mencintai Allah dengan sebenar cinta. Cinta yang menjadikan hati kita sentiasa merasa rindu dan terikat dengannya. Kecintaan ini mendorong menambahkan amalan-amalan kebaikan, bekorban dan berjihad di jalannya sepanjang masa. Sekalipun hidup dalam kemewahan dan kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya tidak sepatut menghalang kita daripada mencintai Allah. Apabila kecintaan kepada Allah mengatasi semuanya maka tidak ada apa yang boleh diganti dengan dunia dan pangkat. Ini adalah sejajar dengan seruan Allah yang mengingatkan:
“Katakanlah; jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasiq” (Surah al-Taubah 9:24)
7. Sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah SWT. Istighfar ini akan membersihkan hati dan melimpahkan ketenangan hati dan jiwa. Kita tidak akan memohon ampun selain daripada Allah SWT.
“Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan atau menzalimi diri sendiri kemudian beristighfar memohon keampunan nescaya ia dapati Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Surah al-Nisa’ 4:110)
Dari Sudut Ibadah
1. Kita mestilah memastikan ibadah kita menepati dengan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Wajib menjadikan ibadah sebagai penghubung dengan Allah SWT kerana Allah sebagai tempat untuk mengadu hal kepadanya dan merasai kehadiran Allah SWT dengan melupakan kesibukan dunia.
Sabda Rasulullah SAW
“Allah SWT tidak memandang kepada sembahyang seorang lelaki yang mengerjakan tanpa kehadiran hati berserta gerak badannya”
2. Mesti mengambil berat terhadap ibadah qiamullail (sembahyang malam) serta melatih diri melakukannya sehingga menjadi satu kebiasaan. Kerana qiamullail adalah sumber kekuatan yang memantapkan Iman. Sebagai anggota Pas yang memperjuangkan Islam sudah tentu akan menerima berbagai ujian maka kekuatan rohani amat penting untuk merempuh halangan ini. Kekuatan ini yang tidak dipunyai oleh musuh walaupun mereka memiliki kekekuatan fizikal dan kewangan yang lain.
Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan (al-Quran) pada waktu itu lebih berkesan” Al-Muzammil 73:6)
3. Mesti meluangkan waktu tertentu untuk membaca al-Quran dengan cara merenungi maksud dan pengajarannya. Banyak kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Quran dapat diambil pengajaran dan menjadi rangsangan kepada kita untuk berjuang dengan lebih gigih. Kita mesti membacanya dengan penuh tadabbur, merenunginya dengan khusyuk dan sedih kerana sabda Rasulullah SAW
Bermaksud,
“Sesungguhnya al-Quran diturunkan dalam keadaan duka cita, maka apabila kamu membacanya hendaklah kamu merasakan kedukacitaan tersebut”
4. Menjadikan doa sebagai perantaraan dengan Allah di dalam setiap urusan hidup kerana doa adalah otak segala ibadah. Kerana itu saya akan memilih doa-doa yang ma’thur dari Rasulullah SAW. Doa adalah senjata bagi orang mukmin ketika berhadapan dengan musuh.
Firman Allah SWT
“Mintalah doa kepadaku, nescaya aku akan memperkenankan permintaanmu” (Ghafir, 40: 60)
Sudut Akhlak
1. Bersifat warak dengan menjauhkan diri dari melakukan perkara-perkara syubhat (perkara yang samar) diantara halal dan haram. Kita mesti menjaga makanan, minuman yang samar dari segi halal dan haram supaya terpelihara dari jatuh kepada perkara yang haram. Sabda Rasulullah SAW
“Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangn siapa yang memelihara (dirinya dari) segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara dari agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh pada perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan , hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkannya. Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati” (Bukhari Muslim)
2.Mesti memelihara penglihatan dari melihat pada perkara yang haram, kerana dengan pandangan ini akan merangsang syahwat yang membawanya ke kancah pelanggaran dan maksiat. Firman Allah SWT
“Katakanlah kepada orang-orang mukmin lelaki supaya memelihara pandangan mereka” (Surah al-Nur 24:30)
3.Mesti memelihara lidah dari menutur kata-kata yang tidak berfaedah, perbualan-perbualan yang buruk dan kotor, percakapan kosong, mengumpat dan mengadu domba. Perbuatan ynag tidak menggambarkan akhlak muslim yang tidak layak ada pada anggota jamaah. Sabda Rasulullah SAW
“Bukanlah ia seorang mukmin (jika) ia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan bercakap keji”
4.Mesti bersifat malu dalam setiap keadaan. Namun begitu sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya memperkatakan kebenaran. Di antara sifat malu ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika becakap, dan perkara yang dianggap menjatuhkan maruah peribadi seorang. Sabda Rasulullah SAW
“Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illah (tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan. Dan sifat malu ialah satu cabang dari Iman” (Baihaqi)
5.Mesti tekun dan sabar, kerana kerja-kerja Islam akan berhadapan dengan macam-macam perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah penuh dengan liku-liku kepayahan penyiksaan, penindasan, tuduhan, ejekan, persendaan yang memalukan. Kita terpaksa berhadapan dengan orang jahil, orang alim, orang yang berfikiran terbuka dan orang yang emosional, orang yang mudah bertolak ansur dan orang yang keras kepala, orang yang tenang dan orang yang mudah tersingung. Firman Allah SWT
“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu” (Surah al-Nur 24:22)
6.Mestilah bersifat tawaduk atau merendahkan diri khususnya terhadap saudara seIslam dengan cara tidak membezakan (dalam memberi layanan) samaada yang miskin mahupun yang kaya. Rasulullah SAW sendiri memohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan dari sifat takbur.
Baginda bersabda
“Tidak akan memasuki syurga yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah sifat takbur” (Riwayat Muslim)
7.Mesti menjauhi sangka buruk, mengumpat dan mengintai-intai keburukan orang lain. Sebaliknya lebih banyak menyuluh dan menuding diri sendiri daripada dihadapkan kepada orang lain. Sangka buruk, sifat yang tidak baik dan boleh mendatangkan keburukan kepada orang lain. Maka ini perlu dijauhi oleh oleh ahli Pas. Jangan lah ia memburuk sangka kepada sahabat yang lain ini akan menyebabkan ruang untuk berpecah akan bertambah luas. Firma Allah SWT
“Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari perasangka, sesungguhnya sebahagian dari perasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima Taubat lagi Penyayang.” (al-Hujurat 49:12)
8.Mestilah bersifat benar dalam semua hal dan keadaan. Mesti benar pada diri dan tidak takut pada celaan orang lain. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk syaitan dan iblis, membawa kehinaan pada peribadi insan. Kita mesti benar dalam kata-kata, benar ketika menyampaikan prinsip perjuangan parti dan benar ketika meyatakan sesuatu kepada orang lain. Tidak layak seorang anggota Pas yang berdusta ketika berbual dengan orang lain dan bertindak secara dusta. Sabda Rasulullah SAW
“Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seseorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta” (Mutafaqun ‘Alaih).
9.Mesti menunjukkan contoh teladan yang baik agar sama dengan Islam yang menjadi dasar Pas. Akhlak kita mesti selari dengan al-Quran dan Al-Sunnah kerana ia akan memberi kesan kepada perjuangan Pas. Kita percaya bahawa contoh teladan yang baik amat kuat mempengaruhi orang lain untuk mendekati perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas. Maka kita pastikan diri, keluarga dengan menunjukkan contoh teladan yang baik di mana sahaja kita berada,kerana kita akan menjadi duta kepada Pas untuk melebarkan pengaruh Pas kepada masyarakat. Seperti kata hukama’
“Lisanul Hal (tindakan) lebih baik dari lisanul Maqal (berkata-kata)”
Sudut Rumahtangga
2.Mesti memastikan perkahwinan kita adalah kerana Allah untuk membina rumahtangga Muslim bagi melahirkan keturunan yang salih, menjadi keluarga yang mampu menunaikan amanah dan melaksanakan tanggungjawab kepada Allah.
Sabda Rasulullah SAW
“Ada tiga golongan yang Allah berhak menolong mereka, orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba mukatib (yang berjanji untuk menebus diri untuk menunaikan bayarannya dan orang yang berkahwin kerana ingin memelihara dirinya” (Tirmizi).
2.Kita mesti memilih wanita yang baik akhlaknya dan pegangan agamanya sekalipun tidak punya harta kekayaan dan kecantikan kerana sabda Rasulullah SAW
“Janganlah kamu mengahwini wanita kerana kecantikannya, kerana boleh jadi kecantikan itu akan membinasakannya, janganlah kamu mengahwini mereka kerana kekayaanya, kerana mungkin kekayaan itu merosakkannya tetapi kahwinilah mereka atas dasar pegangan agamanya. Hamba perempuan yang rabik dan bodoh tetapi baik agamanya adalah lebih utama” (Ibn. Majah).
3.Perhubungan suami isteri tidaklah terbatas kepada hubungan untuk melepaskan nafsu syahwat sahaja, malah hubungan antara kita mestilah hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman dalam pemikiran, kejiwaan dan kasih sayang. Kita sama-sama membaca, menunaikan sebahagian dari ibadah bersama-sama turut mengatur urusan rumah tangga dan meluangkan waktu untuk bergurau senda. Kita mestilah sama-sama memikirkan bagaimana untuk memajukan perjuangan yang di bawa oleh Parti Pas. Sekiranya persefahaman tidak wujud antara suami dan isteri ia akan menjejaskan gerak kerja jamaah.
4.Suami isteri mesti mendidik anak-anak serasi dengan acuan Islam. Orang ramai sentiasa memerhati rumahtangga ahli Pas supaya selari dengan prinsip perjuangan yang di bawa. Kita bimbang orang tidak berminat dengan Pas apabila melihat rumahtangga ahli Pas yang tidak tepat dengan kehendak Islam. Pastikan anak isteri menutup aurat mengikut syariat. Kita tidak mahu anak isteri menjadi fitnah pada perjuangan Pas. Biar orang berminat dengan Pas apabila mereka melihat rumahtangga Islam yang dibina dalam rumah ahli Pas. Firman Allah SWT
“Wahai orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan” (Al-Tahrim 66:6)
5.Berazam untuk memastikan anak-anak kita dapat meneruskan perjuangan Pas apbila kita sudah menemui Allah. Tidak ada makna jika kita seorang sahaja yang berjuang. Pastikan perjuangan kita akan diwarisi oleh anak cucu kita. Jangan biarkan kaum keluarga kita beristirehat di rumah biar mereka sama-sama bergelumang dengan perjuangan.
6.Bawa balik perjuangan Pas ke rumah. Berkongsi pengalaman dan memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan perjuangan ini. Jangan ada di kalangan kita tidak mahu membincang mengenai perjuangan dengan keluarga, ini satu kesilapan. Ia mungkin akan membawa kesan mudarat pada masa akan datang kepada anak-anak kita sehingga mereka menjauhkan diri dengan Pas ketika mereka besar nanti. Lebih malang lagi mereka akan mendekatkan diri dengan perjuangan Umno, berpunca daripada kecuaian kita mendidik.
8.Beri semangat kepada anak-anak bahawa Pas memerlukan kita untuk menjayakan matlamat perjuangan Pas. Jika kita tidak berkorban untuk Pas, siapa lagi yang boleh diharapkan.
9.Kita mesti merasa bangga jika kita berjaya meninggalkan zuriat sebagai pejuang Islam. Biarlah zuriat kita berputar bersama dengan roda perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.
10.Tidak sepatutnya kita sebagai ahli Pas menakut-nakutkan anak kita supaya jangan berjuang dengan Pas, nanti dibimbangi tidak ada rezki dan gelap masa depan.
Kewajipan Khusus Sebagai Ahli PAS
1. Mematuhi arahan pimpinan parti selagi tidak bertentangan dengan Islam.
2. Mesti mengikut semua manhaj perjuangan Pas tanpa berbelah bagi.
3. Menghadiri program ilmu untuk menambahkan pengetahuan Islam.
4. Menghadiri program tarbiyyah supaya dapat membina fikrah dan keperibadian Muslim sejati.
5. Menjaga akhlak sebagai seorang anggota parti.
6. Mesti pastikan keluarga kita menutup aurat seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW kerana ini adalah penilaian pertama orang kepada ahli Pas.
7. Menghadiri program yang diarahkan oleh pimpinan parti di semua peringkat.
8. Membayar yuran tahunan ahli.
9. Menghadiri mesyuarat agung parti setiap tahun
10. Memastikan isteri/suami menjadi ahli Pas supaya sama-sama memahami konsep perjuangan Islam
11. Memastikan anak-anak yang sudah aqil baligh menyertai Pas supaya tidak ada unsur-unsur perosak dalam rumah kita. Dengan ini anak kita akan merasakan Pas adalah jamaahnya maka sukar pihak musuh hendak menariknya.
12. Menyeru kaum keluarga, sahabat handai dan orang awam untuk menyertai PAS.
13. Menjawab segala fitnah yang dilemparkan oleh musuh terhadap PAS
14. Menerangkan dasar Pas dan perbezaan dasar Umno kepada orang ramai.
15. Boleh menegur pimpinan dan memberi pandangan dengan cara yang beradab.
Perkara Yang Perlu Dijauhi Sebagai Ahli PAS
1. Melakukan perkara yang haram di sisi agama
2. Melakukan perkara yang bersalahan dengan dasar parti.
3. Tidak mahu mengikut arahan pimpinan
4. Melahirkan perasaan marah di tempat awam seperti di kedai kopi kerana di sana banyak ejen musuh yang sedang memerhati dan mendengar.
5. Tidak mahu membayar yuran tahunan
6. Tidak mahu datang mesyuarat agung tahunan.
7. Tidak melaksanakan amanah yang diberikan
8. Malas untuk menghadiri program dan kursus anjuran parti.
Penutup
Sedarlah bahawa penyertaan kita sebagai anggota Pas bukan satu perkara yang sia-sia. Penglibatan dalam Pas bukan kerana marah kepada mana-mana individu musuh, tetapi sebagai tanggungjawab untuk melanjutkan kerja-kerja yang mulia setelah para Rasul tidak ada lagi sedangkan kemungkaran dan kemaksiatan masih berluasa. Siapa lagi yang akan mempertahankan agama yang suci ini jika kita sebagai hamba Allah tidak sanggup untuk memperjuangkan agama Allah. Perlu sedar bahawa hidup dan mati kita hanya diserah kepada Allah SWT dan yakin bahawa masa depan dunia berada di tangan Islam. InsyaALlah.
sumber JATI DIRI AHLI PAS
No comments:
Post a Comment