Sejarah kelahiran Pas
ialah untuk menyahut seruan kewajipan untuk berdakwah dan mengajak manusia ke
jalan Allah dan memperkenalkan Islam dalam bentuk “Din Wa al-Daulah” seperti
yang diarahkan oleh Allah dan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT
” Hendaklah ada di
kalangan kamu segolongan orang yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan
Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada
segala yang salah (buruk dan keji)” (al-Imran 3:104)
Untuk mencapai cita-cita
bagi menegakkan Amar Makruf dan Nahyu ‘Anil Munkar ia tidak boleh dilaksanakan
kecuali mempunyai kuasa politik (kerajaan), kerana kerajaan sahaja yang boleh
melaksanakan perintah dan larangan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW
ketika berada di Madinah. Baginda tidak boleh melaksanakan Amar makruf Dan
Nahyu Anil Munkar dengan sempurna ketika berada di Makkah kerana baginda tidak
mempunyai kuasa. Pas sebagai sebuah Harakah Islamiah tidak hanya bergantung
kepada ceramah dan kuliah sebaliknya ia memerlukan kuasa bagi memastikan bahawa
tuntutan Islam dapat dilaksanakan dengan sempurna. Justeru itu kita bekerja
untuk mencapai cita-cita tersebut. Penyertaan Pas di dalam pilihanraya adalah
salah satu wasilah untuk ke arah itu. Inilah uniknya Pas, ia juga sebagai
sebuah parti politik dan juga sebagai gerakan Islam di negara ini.
Seperti yang termaktub di
dalam Perlembagaan Pas fasal 3. Dasar Pas ialah Islam.
Islam yang diperjuangkan
oleh Pas ialah Islam yang lengkap, merangkumi semua perkara samaada ibadah, politik,
ekonomi, akhlak. Dalam erti kata yang lain yang merangkumi urusan hidup dan
mati. Pas mahu memperjuangkan Din wa daulah (agama dan Negara)
Di Dalam fasa 5. Tujuan
Pas ialah:
(1) Memperjuangkan
wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana
di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.
. (2)Mempertahan kesucian
Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Di dalam fasal ini jelas
bahawa Pas berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang mengamalkan Islam. Ertinya
Pas tidak pernah tergelincir, sebaliknya orang yang menuduh Pas tergelincir
sekarang sudah masuk ke dalam gaung, sedang menjerit-jerit untuk mendapat
pertolongan daripada kawannya (Umno) untuk mendapat bantuan pernafasan. Walaupun
rakannya sekarang mengalami penyakit semput kerana tidak cukup oksigen di dalam
badan. Akhirnya kedua-dua lemas dan tenggelam dan tidak timbul-timbul lagi.
Fasal 7, Sumber rujukan
tertinggi yang menjadi hukum dan kekuasaan Pas ialah Al-Quran, Sunnah, Ijmak
dan Qias.
Di dalam Fasal 8
Perlembagaan Pas telah menetapkan bahawa Majlis Syura Ulamak adalah berfungsi
untuk menjamin kekuasaan Pas [Fasal 7 (2)] tidak tergelincir daripada sumber
hukum Pas [Fasal 7 (1)]. Atas asas ini, Majlis Syura Ulamak diberi tiga bidang
kuasa iaitu:
i.Menghurai, menjelas dan
mentafsirkan Dasar Pas dalam Perlembagaan Pas.
ii.Mengeluarkan arahan
supaya dasar dan ketetapan dipatuhi oleh semua pihak dalam Pas serta mengawal
supaya semua dasar dan ketetapan dipatuhi dalam melaksanakan aktiviti Pas.
iii.Rayuan disiplin
Melihat kepada apa yang
tercatat di dalam Perlembagaan Pas sudah membayangkan inilah perjuangan Pas
yang tidak pernah menggadaikan prinsip samaada ketika menang atau kalah, samaada
terbilang atau terbuang. Perjuangan yang suci ini telah mendapat kepercayaan
daripada berbagai peringkat. Semakin ditekan dan difitnah semakin mendapat
sokongan dan dokongan, bukan sahaja daripada orang Islam, malah dari kalangan
bukan Islam. Apa yang dilalui oleh Pas seperti yang disebut pepatah cina “Emas
yang berkualiti tidak akan hancur walaupun dibakar dengan api yang kuat”
Pas hendak mendapatkan
kuasa bukan cara yang tidak bermoral dan berakhlak. Pas tidak mengiktiraf
pendekatan “Matlamat menghalalkan cara”. Pas perlukan kuasa untuk menghayati
Islam yang syumul seperti yang diajar oleh nabi kita Muhammad SAW. Baginda
tidak akan berhijrah ke Madinah dengan meninggalkan bumi Makkah kalau hanya
hendak bersolat dan tawaf di Ka’bah sedangkan sistem yang berjalan di dalam
masyarakat penuh dengan kezaliman dan penindasan.
Kuasa yang Pas miliki
berbeza dengan Umno miliki. Walaupun serupa tetapi tidak sama. Pas mendapat
kuasa untuk mengangkat Islam, sedangkan Umno mendapat kuasa dengan meminggirkan
Islam dan dijadikan sebagai alat untuk mencari sokongan bagi mengekalkan kuasa.
Umno buat seminar dakwah tetapi Umnolah juga menyekat usaha pengembangan dakwah.
Dakwah acuan Umno hanya Amar Makruf, tidak boleh Nahi Munkar. Siapa yang berani
bicara berkenaan dengan Amar Makruf Nahi Munkar akan digam dan diburu. Rancangan
agama di Televisyen hanya sekadar lepas batuk ditangga, bukan menerangkan Islam
yang syumul. Begitu juga masjid di bawah jagaan Umno, mati dahulu sebelum ahli
kariah mati. Memang usaha mereka untuk mendapat kuasa supaya fungsi masjid
tidak hidup dengan majlis ilmu. Pemimpin Umno faham orang yang berilmu dan
faham agama yang syumul tidak akan menyokong perjuangan Umno.
Kalau tuduhan orang
mengatakan Pas utamakan kuasa sehingga mengenepikan Islam suatu tuduhan yang
tidak betul. Jikalau Pas gilakan kuasa lebih baik Pas bersetongkol dengan Umno
yang memang sudah disediakan karpet merah, sebaliknya Pas tidak menerima
pelawaan ini. Sebaliknya Pas terus mengemudi bahtera perjuangan dan merentas
ombak dan badai bersama dengan Islam. Segala keputusan yang Pas laksanakan
seperti Tahaluf Siasi semuanya berdasarkan apa yang diputus dan dikaji oleh
Majlis Syura yang mampu menekuni segala permasalahan hukum berdasarkan sumber
Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias Ertinya segala keputusan yang dibuat
berdasarkan kepada dosa dan pahala, syurga dan neraka. Semua di kalangan ahli
Syura sedar apa makna ada kuasa jika dengan kuasa membawa diri masuk ke dalam
neraka Waliyazubillah.
No comments:
Post a Comment