MENURUT satu pendapat lain
daripada Ikrimah, Allah SWT jadikan bagi manusia dan jin itu syaitansyaitan
untuk diri masing-masing. Di mana syaitan-syaitan berkenaan akan bertemu antara
satu sama lain menceritakan bagaimana cara mereka menyesatkan pengikut-pengikut
mereka.
Tidak ada dinamakan
syaitan di kalangan jin dan manusia tetapi Allah telah lahirkan bagi mereka
syaitan-syaitan yang menggoda dan menyesatkan manusia dan jin.
Mereka saling bantu
membantu antara satu sama lain untuk menyesatkan manusia dan jin sebagaimana
firman Allah yang bermaksud, “Sebahagian daripada mereka membisikkan kepada
sebahagian yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk
memperdaya pendengarnya.” (Surah al-An’am: 112)
Ikrimah juga dalam
menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa syaitan manusia dimaksudkan dengan
syaitan yang menyesatkan manusia, sementara syaitan jin dimaksudkan syaitan yang
menyesatkan jin. Syaitan- syaitan berkenaan bertemu antara satu sama lain. Berkatalah
salah seorang dari mereka kepada rakan-rakannya: “Sesungguh aku telah
menyesatkan pengikut-pengikut ku dengan cara demikian, demikian. Manakala
engkau pula menyesatkan pengikut engkau dengan cara begini, begini.” Mereka
belajar cara menyesatkan pengikut-pengikut mereka antara satu sama lain.
Sementara Ibnu Jarir
mengambil kefahaman daripada penjelasan ini dengan menyatakan bahawa, yang
dimaksudkan dengan syaitan-syaitan manusia itu sebagaimana dijelaskan oleh
Ikrimah dan as-Suddi ialah syaitansyaitan daripada kalangan jin yang
menyesatkan manusia bukan yang dimaksudkan syaitan-syaitan manusia yang
menyesatkan sesama manusia.
Tidak syak lagi inilah
zahir percakapan Ikrimah. Manakala pendapatan As-Suddi pula (pada pandangan
Ibnu Jarir) tidak seperti makna yang dimaksudkan itu.
Ertinya manusia dan jin
ada syaitan masing-masing. Manusia ada syaitannya yang menyesatkan mereka dan
jin pula ada syaitannya yang menyesatkan mereka.
Sesungguhnya telah
diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim seumpama itu daripada Ibnu Abbas daripada
riwayat ad-Dhohhaq. Berkata Ibnu Abbas, sesungguhnya bagi jin ada syaitan yang
menyesatkan mereka daripada kalangan jin, manakala manusia ada syaitan yang
menyesatkan mereka daripada kalangan manusia.
Bertemu kedua-dua mereka (syaitan
daripada kalangan jin dan manusia) sambil menceritakan cara mereka menyesatkan
pengikut-pengikut mereka masing-masing sebagaimana dijelaskan dalam ayat ini
yang bermaksud, “Sebahagian daripada mereka membisikkan kepada sebahagian yang
lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdayakan
pendengarnya.” (Surah al-An’am: 112)
Apa yang sahihnya ialah
apa yang terdahulu disebut daripada hadis Abi Zar bahawa sesungguhnya bagi
manusia terdapat syaitan-syaitan terdiri dari kalangan mereka dan begitu juga
jin terdapat syaitan-syaitan di kalangan mereka. Sesungguhnya apa yang
dimaksudkan dengan syaitan itu ialah setiap sesuatu yang mendurhakai Allah SWT.
Yang demikian itulah telah
dinyatakan dalam hadis sohih Muslim yang diriwayatkan dari Abi Zar bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Anjing hitam itu adalah syaitan.”
Allah sahaja yang
mengetahui maksud sebenar hadis ini. Ertinya ada terdapat syaitan di kalangan
anjing. Untuk menjelaskan perkara ini banyak riwayat lain menjelaskan bahawa
syaitan akan merupakan dirinya seperti binatang termasuk anjing, ular dan
seumpamanya dengan merupakan tubuhnya berwarna hitam terutama di waktu senja.
Oleh sebab itu jika
ditemui binatang yang dalam keadaan mencurigakan di waktu senja dan badannya
berwarna hitam maka halaulah mereka dan ada ulama menasihatkan supaya jangan
membunuh mereka.
Jika ditemui binatang
dalam keadaan situasi berkenaan maka berkatalah kepadanya: “Wahai binatang, jika
engkau syaitan, pergilah kamu dari kami sejauh-jauhnya dan janganlah kamu
mengganggu kami lagi.”
Jika didapati ia masih
tidak bergerak, masih berada di situ dan ia boleh mengancam keselamatan nyawa
kamu, maka bolehlah ia dibunuh kerana ia bukan syaitan tetapi binatang biasa. Allah
sahajalah yang Maha mengetahui segala-galanya.
Sementara itu berkata
Mujahid dalam menafsirkan ayat ini, sesungguhnya orang-orang kafir di kalangan
jin itu adalah syaitan, mereka membisikkan sesuatu kepada syaitan daripada
kalangan manusia yakni orang-orang kafir dari kalangan mereka dengan kata-kata
dusta yang indah susunannya untuk memperdayakan pendengarnya.
Sumber : http://presiden.pas.org.my
No comments:
Post a Comment