Saturday, 3 November 2012

Sokongan Terhadap Ketegasan Presiden PAS Dalam Memperjuangkan Hudud

Kenyataan tegas, jelas dan berterus terang dari Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dalam harakahdaily berkaitan perbezaan antara UMNO dan PAS, BN dan PR serta kedudukan enakmen jenayah Syariah khasnya Hudud dalam realiti tahaluf siyasi Pakatan Rakyat sewajarnya diberi perhatian oleh semua pihak.

Kenyataan beliau tersebut yang boleh dibaca di : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/14163-mca-bantu-dedahkan-umno-yang-sebenar sewajibnya menjadi pegangan, pendekatan dan rujukan pimpinan, ahli dan penyokong PAS di semua peringkat. Ia juga wajar dijadikan rujukan kepada seluruh pimpinan PR dalam memahami kedudukan dan prinsip PAS dalam kerjasama politik atau tahaluf siyasi yang diadakan.

Ketegasan Tuan Guru Presiden berkaitan prinsip perjuangan PAS untuk melaksanakan Hudud dapat dilihat dalam kenyataannya :

"PAS berijtihad memilih Demokrasi bagi mencapai kuasa pemerintahan dan melaksanakan Islam termasuk hukum Hudud,  kerana pendekatan demokrasi secara damai adalah bersesuaian bagi menyelamat manusia bersama Islam tanpa paksaan, walaupun memakan masa yang panjang sehingga beberapa generasi serta pemimpin pergi dan datang."

"Maka proses perlaksanaan undang-undang termasuk Hudud dibawa ke dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu setelah mendapat mandat kemenangan besar dalam pilihanraya lalu. Undang-undang  jenayah Islam termasuk Hudud dipamerkan lebih dahulu kepada masyarakat umum berbagai agama, di bentang dan dibuka kepada proses soal-jawab terlebih dahulu sebagai satu proses pendidikannya."

"Ingin saya pertegaskan sekali lagi bahawa perlaksanaan enakmen Islam adalah hanya untuk orang Islam sahaja, sama sekali tidak untuk bukan Islam. PAS tidak membawa perkara ini di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang kerana tidak mencukupi syarat secara demokrasi?"

Kenyataan jelas dan tegas ini sepatutnya menyedarkan mana-mana pihak yang keliru dalam konsep bertahaluf sehingga cenderung menyembunyikan Hudud dari diperkatakan atau diperbincangkan atas alasan maslahah dan sebagainya. Kita sewajibnya yakin bahawa pada suruhan Allah itulah terletaknya maslahah sebagaimana kita yakin adanya mafsadah (kerosakan) pada perkara yang ditegah.

Adapun dalam konteks hubungan di antara PAS dan DAP atas isu ini Tuan Guru Presiden menyatakan :
"PAS tetap tegas dengan perjuangan Islamnya  dan DAP pula tegas dengan perjuangannya. Dalam hal ini kerjasama berlaku dalam titik persamaan dan hak berbeza pendapat tetap dihormati dan hak penganut bukan Islam wajib diberi dengan adil."

 "Titik persamaan secara umum sudah disepakati, apabila DAP menerima konsep yang sudah ada dalam perlembagaan negara, termasuk kedudukan agama Islam. Bagi PAS sudah cukup menarik untuk memberi ruang perbincangan sekiranya memerintah negara. Cara ini tidak boleh dilakukan oleh UMNO dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional."

"Malangnya perbincangan yang masih awal diganggu oleh media arus perdana khususnya berbahasa Melayu mengaku Islam, yang sengaja berniat jahat untuk menghalang cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS."

Apa yang perlu kepada kita (pimpinan, ahli dan penyokong PAS) ialah berusaha dengan segala cara untuk memperjelaskan kebaikan hukum Hudud kepada semua pihak samada melalui seminar, dialog, medium penerangan kreatif dan sebagainya di samping kebaikan nilai Islam yang lain seperti keadilan, ketelusan pentadbiran, kesamarataan dan lain-lainnya. Jangan pula kita - waliyazubillah - merasa malu, rendah diri atau kurang yakin dengan kesempurnaan syariat Allah s.w.t.

...Teruskan Perjuangan...

Bekerja Untuk ISLAM

No comments:

Post a Comment