Tiba-tiba
sahaja isu PAS kafirkan UMNO melalui 'Amanat Haji Hadi' timbul. Sekian lama ia
tidak pernah dibicarakan, tiba-tiba menjadi perbualan hangat di media
seolah-olah ada perancangan rapi dan tujuan tertentu ia dibangkitkan.
Tidak dapat
dinafikan bahawa UMNO sedang mencari isu untuk menyediakan suasana kondusif
untuk mengadakan pilihanraya. Untuk menang, UMNO perlu mencari isu-isu yang
menyerang PAS dan Pakatan Rakyat iaitu isu-isu yang boleh menjadi 'kambing
hitam' untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap penyelewengan UMNO dan
Barisan Nasional.
Pengakuan
Deepak melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu pembunuhan Altantuya dan
pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap campurtangan
Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam urusan polis sangat merimaskan UMNO untuk
menghadapi pilihanraya. Amat sukar untuk UMNO dan Barisan Nasional menang dalam
pilihanraya jika mereka dalam keadaan bertahan, tidak menyerang.
Justeru,
peluru 'zaman Jepun' perlu digunakan untuk menyerang balas Pakatan Rakyat.
'Amanat Haji Hadi' dilihat isu yang terbaik untuk menyerang walaupun ia adalah
isu lapuk. UMNO silap jika menyangka bahawa peluru tersebut boleh mematikan
sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Rakyat telah pun memahami bahawa
isu ini ditimbulkan hanyalah kerana pilihanraya makin hampir.
'Amanat Haji
Hadi' bukan ucapan menghukum orang UMNO sebagai kafir. Ia adalah ucapan untuk
menerangkan kepada seluruh umat Islam tentang batas iman dan kufur. Tugas
menerang adalah tugas yang menjadi tanggungjawab semua para pendakwah agar umat
Islam tidak tergelincir daripada aqidah yang sebenar.
Perhatikan
kata-kata 'amanat' tersebut: "Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak
perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir
dengan mengamalkan politik suku, agama suku." Jelas, ia adalah amaran agar
umat Islam perlu berhati-hati agar tidak mengamalkan politik suku, agama suku
kerana ia boleh merosakkan aqidah.
Begitu juga
perkataan: "Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma
kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi)
puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah
syahid. Mati kita adalah Islam." Perkataan ini bukan bermaksud orang UMNO
itu kafir, jika mati berlawan dengan mereka maka ia mati syahid. Tetapi maksud
mati syahid di sini ialah mati dalam keadaan memperjuangkan Islam dan
menegakkannya. Perjuangan PAS adalah jihad yang mendapat balasan pahala
daripada Allah s.w.t. Jihad itu sendiri mempunyai makna yang luas yang tidak
terhad pada peperangan dan pembunuhan. Ia melingkupi semua usaha dan
pengorbanan sama ada masa dan harta untuk menegakkan agama Allah.
Kenyataan
bahawa "Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO, kita menentang dia
ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah" menguatkan lagi bahawa
'amanat' tersebut ditujukan kepada semua orang Islam. Ia bermaksud sesiapa
sahaja sama ada UMNO atau pun tidak yang mengekalkan perlembagaan sekular
penjajah akan ditentang.
UMNO perlu
membezakan di antara 'menerang' dan 'menghukum'. 'Menerang' adalah menyebut
secara umum tanpa disebut nama individu yang terlibat sebagaimana yang terdapat
dalam 'amanat' tersebut. Ada pun menghukum, ia adalah dakwaan terhadap individu
tertentu. Ia bukan kerja para pendakwah tetapi ialah adalah tugas para hakim.
Hakim perlu mendapatkan bukti bahawa fulan bin fulan telah mengatakan sesuatu
yang menjejaskan aqidah tanpa dipaksa dan dalam keadaan jahil. Jika cukup
keterangan maka hakim boleh menjatuhkan hukuman kafir terhadap individu
tersebut.
UMNO umpama
orang yang memakan cili dan merasai pedasnya. Adakah orang UMNO merasai bahawa
mereka telah memisahkan antara politik dengan agama? Oleh kerana itu mereka
merasakan bahawa 'amanat' tersebut hanya ditujukan kepada mereka sedangkan ia
ditujukan kepada semua orang Islam hatta kepada orang PAS sendiri. Hakikatnya,
UMNO tidak dapat membezakan di antara 'menerang' dan menghukum'. Mereka tidak
perlu terasa jika mereka tidak pernah menganggap politik tiada kena mengena
dengan agama. Mereka sepatutnya menyedari pentingnya agama dalam memandu
politik.
No comments:
Post a Comment