Tuesday 15 January 2013

Kenyataan Rasmi Majlis Syura Ulamak Berkenaan Isu Kalimah ALLAH




Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Rabiul Awal 1434H bersamaan 13/1/2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara berikut :

1) Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

2) Kalimah Allah adalah 'alami (universal) kerana Allah tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang arab jahiliyyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.

3) Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Kenyataan media ini adalah memperjelaskan maksud kenyataan Al-Mursyidul Am, Presiden dan kepimpinan PAS.

Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS ini juga telah membincangkan isu sedutan ucapan Tuan Guru Presiden yang diangkat martabatnya menjadi amanat dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Tuan Guru Presiden memperjelaskan isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia
Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Tuan Guru Datuk Dr Haron Din
Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Sumber : Dewan Ulama PAS Pusat

1 comment:

  1. Penyokong Pakatan Rakyat mula tembak PAS.
    Pakatan sedia tendang PAS kalau dah dapat kuasa.

    MalaysiaKini dengan Malaysia Insider ni memang KURANG AJAR.

    Baca di sini :

    http://suarajagat.wordpress.com/2013/01/15/kalimah-allah-media-pakatan-rakyat-menyerang-pas/

    ReplyDelete