KUALA LUMPUR: Kenyataan para pemimpin
PAS mengenai kalimah “Allah” tidak bercanggah antara satu sama lain, malah ia
selari dengan pendirian dan ketetapan Majlis Syura PAS yang diputuskan dalam
mesyuaratnya pada 13 Januari lalu.
Dalam ketetapan menerusi mesyuarat
itu, Majlis Syura memutuskan, sesiapapun boleh menggunakan kalimah “Allah”,
namun ia tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia dan demikian
juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.
Setiausaha Majlis Syura PAS, Dato’
Nik Muhamad Zawawi Salleh menegaskan, menterjemah kalimah “God” atau “Lord”
dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan “Allah” tidak
dibolehkan kerana ia salah daripada segi makna dan salah guna, tidak menepati
kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.
Menurut beliau, ia hendaklah dicegah
dan perkara itulah selama ini yang ditegaskan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’
Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
“Ketetapan Majlis Syura dan kenyataan
Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sememangnya selari.
“Tiada sebarang percanggahan pun.
Jadi tiada sebab untuk pihak tertentu menuduh di sebaliknya pula,” katanya
ketika dihubungi Harakah 15 Januari lalu.
Ustaz Nik Zawawi yang juga Ketua
Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat menegaskan, ketetapan begitu diambil kerana
kebenaran mengenai Allah mesti ditegakkan.
“Majlis Syura berharap isu kalimah
Allah ini ditangani dengan baik oleh kerajaan kerana urusan penterjemahan
buku-buku dan kitab Injil ini adalah urusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Seharusnya KDN mengambil penegasan
dalam perkara ini dan jangan sesekali menuding jari kepada orang lain kerana ia
berada dalam bidang kuasa kementerian berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, ketetapan itu telah
dijelaskan sendiri oleh Tuan Guru Abdul Hadi kepada Setiausaha Agung DAP yang
juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam mesyuarat Pakatan Rakyat
minggu lalu dan Guan Eng ternyata menerimanya dengan baik.
“Penjelasan itu telah diberikan
kepada Lim Guan Eng dan dia mendengar dengan baik. Dia hanya mendiamkan diri
ketika mendengar penjelasan tentang pendirian PAS itu kerana sebelum ini dialah
yang minta penggunaan kalimah “Allah” untuk Bible versi bahasa Melayu,”
jelasnya.
Selepas penjelasan itu dibuat kepada
Guan Eng, jelas Ustaz Nik Zawawi, Tuan Guru Abdul Hadi telah mengeluarkan satu
kenyataan mengenai kalimah Allah dan kenyataan beliau itu sama sekali tidak
bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura.
“Cuma orang silap faham. Saya pun tak
tahu nak cakap macam mana. Bila kita dah buat ketetapan ini, kita minta kepada
semua umat Islam untuk terima ketetapan ini.
“Ketetapan ini adalah terbaik untuk
agama Islam dan semua agama lain yang ada di Malaysia. Kita juga meraikan
hak-hak mereka (orang bukan Islam) tidak ada masalah, cuma mereka tidak boleh
cemarkan kalimah Allah kerana kalimah ini adalah dikhususkan oleh orang Islam
sahaja,” jelasnya lagi.
Majlis Syura, jelas Ustaz Nik Zawawi
lagi, tidak mengizinkan orang bukan Islam menterjemah kalimah “Allah” kepada
kitab orang Kristian iaitu Bible.
Katanya, Allah mengikut kebenarannya
menunjukkan Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan Yang Maha Satu yang tidak
beranak dan tidak diperanakkan ataupun tidak mempunyai isteri.
“Apabila perkataan Allah hendak
digunakan oleh masyarakat Kristian, maknanya lari, kerana orang Kristian
mengatakan Allah ini ada tiga, ada anak, ada isteri. Ini tidak sebagaimana yang
disebut dalam alQuran. Kita tegaskan disini, itu bukan Allah SWT.
“Jadi bagi masyarakat Kristian,
mereka hanya dibenarkan menggunakan perkataan ‘God’ atau ‘Lord’. Itu ikut
pandai dialah. Kita tidak terima perkara ini,” tegas beliau.
Sumber : http://ulamak.pas.org.my
No comments:
Post a Comment