[1]. Tahniah buat negeri Johor Darul Takzim yang telah merealisasikan hari Jumaat sebagai hari cuti umum bagi negeri tersebut. Tentu sahaja terlalu banyak kebaikannya kepada ummat Islam. Tanpa menafikan hari-hari lain juga mampu memberi kebaikan kepada ummat Islam, namun tentu sahaja istimewa apabila ummat Islam dibenarkan bercuti pada hari Jumaat.
[2]. Pasti sahaja ummat Islam dapat fokus kepada usaha menuntut ilmu dan memperbanyak ibadah. Sudahlah hari-hari lain sibuk dan padat dengan pelbagai komitmen terhadap kerjaya dan lainnya. Maka hari Jumaat adalah hari yang sangat sesuai dan terbaik bagi ummat Islam rehat dari segala kesibukan dan menumpukan kepada kebajikan diri dengan mendalami ilmu Islam dan menekuni aktiviti ibadah yang sememangnya digalakkan oleh Nabi s.a.w agar ianya dilakukan terutama pada hari Jumaat.
[3]. Sebagai contoh, Nabi s.a.w pernah menyaran aktiviti ibadah berikut pada hari Jumaat. Antaranya :
- Dari Ibnu Umar r.ha bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ فِى يَوْمِ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ
“Barang siapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (An-Nasa’ie dan Baihaqi; Al-Albani mengatakan bahwa hadis ini adalah sahih)
- Daripada Abu Hurairah r.ha bahawa Rasulullah s.a.w pernah bercerita mengenai hari Jumaat, kemudian beliau bersabda;
فيه ساعة لا يوافقها عبد مسلم وهو قائم يصلي يسأل الله تعالى شيئا إلا أعطاه إياه
“Di hari Jumaat, ada satu waktu, apabila ada seorang muslim melakukan solat dan dia memohon sesuatu kepada Allah, pasti Allah tunaikan.” Nabi s.a.w mengisyaratkan dengan tangannya untuk menunjukkan bahwa waktu itu hanya sebentar. (Bukhari dan Muslim)
[4]. Hari Jumaat disifatkan sebagai hari raya bagi ummat Islam. Jika hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha kita bercuti pada setiap tahun maka hari Jumaat adalah hari raya yang wajar diberi cuti pada setiap minggu. Abu Hurairah r.ha meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda;
إِنَّ يَوْمَ الْجُمْعَة يَوْمُ عِيدٍ ، فَلَا تَجْعَلُوا يَوْم عِيدكُمْ يَوْم صِيَامكُمْ , إِلَّا أَنْ تَصُومُوا قَبْله أَوْ بَعْده
“Sesungguhnya, hari Jumaat adalah hari raya. Justeru itu, janganlah kalian jadikan hari raya kalian ini sebagai hari untuk berpuasa, kecuali jika kalian berpuasa sebelum atau sesudah hari Jumaat.” (Ahmad dan Hakim; dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)
[5]. Tidak selayaknya ada pihak yang merendahkan kemuliaan dan kelebihan hari Jumaat di sisi ummat Islam. Sementelah dengan niat menghina dan memperlekeh Islam dan ummatnya. Sikap sedemikian sangatlah tidak wajar apatah lagi datang dari seorang yang mengaku Islam. Kelebihan hari Jumaat bukan suatu yang karut. Memberi cuti kepada ummat Islam pada hari tersebut memberi peluang kepada mereka merebut segala kelebihan yang ada. Bayangkan betapa indahnya hidup sebagai hamba Allah ini. Setelah sibuk sepanjang minggu memburu kelebihan dunia untuk hidup selesa, maka diperuntukkan sehari dalam seminggu paling tidak, untuk mengejar kelebihan dan memperbanyakkan ibadah.
[6]. Bermula pagi jumaat, solat subuh berjamaah membaca surah as Sajdah, kemudian disudahi dengan kuliah subuh selepas solat. Tanpa perlu tergesa-gesa kerana hari Jumaat adalah hari cuti. Waktu Dhuha, setelah rukuk dan sujud kepada Allah, bersila pula mendengar tazkirah dan kuliah sebelum rehat diwaktu qailulah sementara menjelang detik yang afdhal untuk datang awal ke masjid menunggu solat jumaat. Bila petang bertandang, surah al Kahfi dibaca berulang kali serta memperbanyakkan selawat dan munajat, suatu yang sudah tentu luput peluangnya pada hari-hari lain yang padat dengan schedule masing-masing.
Inilah yang telah diisytiharkan oleh Negeri Kelantan sejak lama dulu oleh Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz bahawa Jumaat adalah hari ilmu dan ibadah sementara Sabtu pula adalah hari untuk keluarga. Maka hari-hari lain adalah untuk kerja dan mencari rezeki. Hakikatnya, jika semua dilakukan kerana Allah, segalanya adalah ibadah dan amal yang soleh.
Sumber : http://www.eperjuangan.com
No comments:
Post a Comment