KUALA LUMPUR, 22 Dis: Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase) akan menyerahkan satu memorandum kepada Yang Dipertuan Agong di Istana Negara jam 10 pagi esok. Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata memorandum itu bagi memohon campurtangan tuanku terhadap kelulusan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 oleh kerajaan.
Kelulusan itu juga menurutnya dibuat secara tergesa-gesa dan melalui undi berbelah bahagi pada persidangan Dewan Rakyat minggu lalu.
"Pihak istana sudah pun menyatakan persetujuan untuk menerima memorandum kita.
"Kase, ahli parlimen Pakatan Rakyat dan beberapa senator kita, akan turut serta pada penyerahan esok," katanya yang juga Naib Presiden PAS.
Pada 15 Disember lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan rang undang-undang itu yang antara lain akan membolehkan pendaftaran kereta elektrik, pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik (AES) bagi membanteras pemanduan berbahaya, dan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Darat (Span).
Bagaimanapun, kelulusan rang undang-undang itu terpaksa melalui proses undi belah bahagi pada bacaan kedua yang menyaksikan 70 menyokong, manakala 40 lagi menentang.
Rang undang-undang itu menurut Mahfuz mengandungi beberapa perkara yang tidak adil untuk rakyat khususnya pelaksanaan sistem AES yang disifatkanya sebagai saman ekor cara baru.
Menurut Mahfuz, apabila undang-undang itu dilaksanakan, ianya hanya akan menguntungkan syarikat kroni dan pada masa sama membebankan rakyat.
Selain itu juga pindaan undang-undang baru itu juga masih mengekalkan saman ekor dan senarai hitam yang sememangnya dibantah rakyat.
Malah turut dibantah, hukuman penjara kepada mereka yang gagal memberi mahlumat pertukaran alamat.
"Kita ingin memperjelas kepada pihak tuanku dan meminta tuanku menitahkan agar rang undang-undang tidak dijadikan undang-undang dan dibentang semula di Dewan Rakyat untuk dibahaskan sekali lagi," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Mahfuz, sebelum ini juga telah menghantar surat kepada Dewan Negara meminta untuk tidak meluluskan rang undang-Undang tersebut.
Difahamkan, bacaan rang undang-undang itu akan dibentang dan diputuskan oleh Dewan Rakyat hari ini.
Sumber : pas.org
No comments:
Post a Comment