Thursday, 9 December 2010

Lagi Usul Potong Gaji Menteri Ditolak


KUALA LUMPUR, 8 Dis: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof hari ini mengemukakan usul memotong gaji Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di atas kegagalan menguruskan program-program berhubung kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Siti Zailah sewaktu mengemukakan usul di bawah perkara 66 (9) petang tadi mendakwa demikian berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2010 yang menunjukkan berlakunya kepincangan dalam pengurusan bantuan kepada rakyat miskin. "Menyentuh mengenai pengurusan program bantuan am, laporan audit negara menunjukkan ia sangat tidak memuaskan apabila bantuan yang diterima mengalami kelambatan pada setiap bulan termasuk pemberian bantuan kepada penerima yang telah meninggal dunia," kata beliau.

Beliau berkata, daripada laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang diterimanya juga, tidak terdapat pantauan yang serius mengenai wang yang diagihkan itu sehingga berlakunya baki wang yang diagihkan dikembalikan semula kepada akaun kerajaan.

Menurutnya juga, sebanyak RM8,825 dibayar kepada penerima yang telah meninggal dunia dan sebanyak RM12,673 berlaku kelewatan pemberian lebih dari dua bulan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan gaji menteri dipotong sebagai membuktikan Pakatan Rakyat memandang serius isu yang membabitkan kebajikan rakyat.

"Saya buat usul ini bukan saja suka-suka tapi sebagai bukti kita amat menitik beratkan kebajikan rakyat yang tidak sepenuhnya terbela akibat sikap angkuh Menteri," katanya yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat.

Tambahnya lagi,Menteri, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil sengaja mengalihkan isu sebenar apabila mengaitkan bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri Kelantan kepada rakyat negeri itu terlalu sedikit jika dibandingkan peruntukan yang diberikan Kerajaan Persekutuan.

"Menteri memang pandai memutar belit dan mengalihkan isu sebenar. Kita bincang pasal kegagalan pengurusan bantuan kepada rakyat miskin, dia pula cuba memburuk-burukkan Kelantan," katanya.

Shahrizat ketika menjawab dakwaan Siti Zailah juga membuat tuduhan bahawa Siti Zailah tidak turun membantu rakyat di kawasannya.

No comments:

Post a Comment