Monday, 27 June 2011

Ikhwan Muslimin pimpin Pakatan Rakyat Mesir terajui negara



Mohd Rashidi Hassan rashidi@harakah.net.my

(Yang berada di Kaherah, Mesir)

MURSYIDUL AM Ikhwan Muslimin Mesir, Ustaz Dr Mohamad Badi’e Abdul Majid menyambut rombongan kami dengan penuh kemesraan.

Wajahnya penuh ceria, sambil bersalam dan memeluk kami semua, beliau mendoakan kesejahteraan kami serta kesejahteraan perjuangan Islam di Malaysia.

"Sampaikan salam hormat saya kepada pemimpin anda yang saya kasihi, Ustaz Abdul Hadi (Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang)," kata beliau kepada saya.

Pertemuan kami dengan beliau tidak lama, hanya sekitar 10 minit sahaja. Ianya pertemuan yang tidak dirancang, tiada temujanji dibuat dengan beliau.

Dr Mohamad Badi'e adalah Mursyidul Am ke sembilan Ikhwan Muslimin atau dikenali dengan nama Muslim Brotherhood. Ia diasaskan oleh al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna pada tahun 1949. Imam Hassan al-Banna dibunuh tentera Mesir di bawah pemerintahan Raja Farouk pada tahun 1949.

Dalam kunjungan kami, rombongan saya bersama Yayasan Amal hanyalah untuk courtesy visit, sekadar membuat temujanji dengan Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin Mesir, Profesor Dr Mahmoud Hussein setelah mendapat amanah daripada Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad yang berkesempatan menemui Dr Mohamad Badi'e dan Dr Mahmoud sebelum ini.

Tetapi pertemuan dengan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin begitu menyentuh perasaan dan terlalu amat bermakna. Di sebalik ketenangan wajahnya, tidak ramai yang mengetahui beliau adalah antara tahanan politik yang bertahun-tahun terpaksa merengkok di sebalik tirai besi semata-mata kerana mahu menegakkan Islam.

Di sebalik kesibukan beliau menerima kunjungan ramai tetamu dalam dan luar negara, Dr Mohamad Badi'e sudi menerima kami selepas dimaklumkan kepada beliau, ada wakil dari Malaysia yang berkunjung ke Mesir, selain menghulurkan bantuan ke Libya dan Palestin.

Dalam pertemuan ringkas tersebut, Dr Mohamad Badi'e menyatakan cukup berbangga dengan PAS yang begitu istiqamah dalam menegakkan keadilan Islam di Malaysia.

"Insya Allah kami akan memacu negara(Mesir) bersama-sama dengan kamu (menawan Putrajaya)," kata beliau, menunjukkan beliau turut mengikuti perkembangan politik Malaysia, sebelum kami bersalaman untuk menemui Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin di bilik bersebelahan.

Pertemuan dengan Dr Mohamad Badi'e begitu bermakna kerana Ikhwan Muslimin baru sahaja membuka Ibu Pejabat baru mereka di Jabal Muqattam. Pejabat lama Ikhwan di Manyal, Kaherah dijadikan Ibu Pejabat Parti Al-Hurriyah wal-'Adalah (Kebebasan dan Keadilan) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Mesir,September ini. Bangunan Ibu Pejabat Ikhwan Muslimin yang menelan belanja puluhan juta ringgit dibina di kawasan yang paling strategik di Kaherah, iaitu di atas bukit yang menghadap seluruh bandar Kaherah. Jabal Muqattam terletak bersebelahan dengan Kota Kubu Salahuddin al-Ayubi yang dibina pada kurun kesebelas masehi semasa beliau memerintah Mesir.

Mengapa bangunan tersebut dibina di lokasi yang strategik? Ia adalah suatu simbolik yang cukup bermakna, menunjukkan kesediaan Ikhwan Muslimin untuk menerajui negara, kerana dari segi sejarahnya mana-mana pemerintah yang hendak menguasai Mesir, mereka akan membina pusat pemerintahan atau kubu di atas bukit yang boleh melihat keseluruhan kawasan dan lembah.

Mesir adalah sebuah negara, merupakan antara bumi anbiya yang kaya dengan sejarah. Tidak ramai yang tahu bahawa ia dibuka oleh sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Saidina 'Amru bin al-'Ass. 'Amru bin al-'Ass adalah Gabenor pertama Mesir pada pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab sekitar tahun 640 masihi.

Pusat pertama pemerintahan 'Amru bin al-'Ass adalah di bandar Fustat dan masjid yang diasaskan beliau sebagai pusat pentadbirannya yang berusia lebih 1400 tahun, masih tersergam indah sehingga kini.

Justeru Ikhwan Muslimin mengambil inspirasi daripada Gabenor 'Amru bin al-'Ass dan panglima Salahuddin al-Ayubi, untuk persediaannya menerajui pemerintahan Mesir kini.

Ikhwan menerusi parti baru yang diasaskannya, Parti AL-Hurriyah wal-'Adalah sudah mengisytiharkan bahawa mereka akan bertanding 50 peratus daripada 450 kerusi Parlimen di Mesir.

Uniknya Parti Al-Hurriyah wal-'Adalah dibentuk dengan kombinasi ahli daripada kumpulan Islam yang diterajui Ikhwan, juga mendapat dokongan golongan Kristian. Daripada 85 juta rakyat Mesir, kira-kira 10 juta adalah dari golongan penganut Kristian Qibti.

Parti A-Hurriyah wal-'Adalah ditubuhkan Ikhwan muslimin dan mengamanahkan Dr Mohd Mursi, bekas Ahli Parlimen Mesir yang juga seorang pimpinan pusat Ikhwan Muslimin sebagai presiden parti. Dr Essam Aryan (Ikhwan) dilantik sebagai Timbalan Presiden I, manakala Dr Rafiq al-Habib (Kristian) sebagai Timbalan Presiden II dan Dr Sa'du Katatni sebagai Setiausaha Agung.

Serentak dengan penubuhan Al-Parti Hurriyah wal-'Adalah, Ikhwan menawarkan kerjasama kepada lebih 20 parti politik dari pelbagai latar belakang, fahaman dan sebagainya untuk bergabung dengan mereka.

Untuk rekod, dalam sejarah Mesir, sejak Ikhwan Muslimin ditubuhkan 83 tahun yang lalu, ia menerima tekanan yang amat dahsyat dari pemerintah Mesir sehingga zaman Presiden Hosni Mubarak.

Sesiapa sahaja yang dikaitkan dengan Ikhwan akan menerima hukuman yang amat dahsyat. Mereka akan terus disumbat dalam penjara, diseksa dan ramai kalangan mereka yang gugur syahid.

Di atas kezaliman dan tekanan pemerintah Mesir, nama Ikhwan tidak boleh disebut sama sekali. Semua media cetak dan elektronik diarahkan menghapuskan kalimah Ikhwan Muslimin. Mereka dengan jahat dan zalim menggelar Ikhwan sebagai al-jamaatul al-mahzurah atau pertubuhan haram.

Oleh kerana ia dianggap pertubuhan haram, Ikhwan Muslimin tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya. Bagaimanapun golongan yang dikaitkan dengan Ikhwan, bertanding atas tiket bebas dalam pilihan raya.

Di sebalik tekanan yang maha dahsyat, pada Pilihan Raya Umum 2005, Ikhwan menerusi calon bebas, yang bertanding hanya 120 kerusi Parlimen sahaja, hasilnya amat memberangsangkan. Mereka menang lebih daripada 80 kerusi.

Namun pada PRU Mesir yang terakhir pada 2010, tiada parti pembangkang, mahu pun calon bebas yang menang, kerana mereka disekat dan ditipu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya yang menjadi alat Hosni Mubarak. Rakyat enggan keluar mengundi kerana pilihan raya dijalankan dengan penuh penipuan. Hasilnya hanya 3 juta pengundi sahaja yang keluar daripada 40 juta yang layak mengundi.

Al-Hizbul al-Watani (Parti Kebangsaan Demokrat atau National Demokrat Party) menang 100 peratus kerusi Parlimen Mesir. Al-Hizbul al-Watani ini adalah Umno versi Mesir.

Hosni Mubarak amat gembira dengan kemenangan partinya, tetapi beliau tidak sedar itulah saat-saat permulaaan kejatuhannya dari tampuk kuasa Presiden dengan cara yang amat memalukan.

Selepas demonstrasi rakyat yang dikenali (tsaurah) bermula 25 Januari 2011 berakhir dengan pengumuman Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada 13 Februari, parti Umno Mesir yang berkuasa penuh dengan mandat besar turut tumbang, dengan penuh kehinaan. 25 Januari diisytihar sebagai tarikh keramat bagi seluruh rakyat Mesir sebagai lambang pembebasan dari cengkaman diktator Hosni Mubarak.

Malah, al-Hizbul Watani yang dipimpin Hosni Mubarak, anak beranak dan kroninya diharamkan oleh Mahkamah Mesir. Seluruh hartanya disita. Paling malang setelah berkuasa lebih 30 tahun, ibu pejabat Parti Kebangsaan yang menjadi lambang keangkuhan pemerintahan diktator Hosni Mubarak dibakar akibat amarah rakyat.

Ikhwan Muslimin mendapat pengiktirafan besar dari kalangan rakyat kerana ia terbabit sama dalam tsaurah dan memainkan peranan yang cukup penting pada saat-saat genting. Kini, ia diiktiraf sebagai pertubuhan yang sah dan menubuhkan parti politik yang sah. Semua tahanan politik, khususnya dari Ikhwan dibebaskan dari penjara.

Ini adalah keadilan Allah kepada pejuang Islam di Mesir. Jika dahulunya penjara menjadi pusat tahanan kepada tahanan politik Islam khususnya dari Ikhwan Muslimin, tetapi kini ia dipenuhi oleh anak beranak, kroni dan menteri-menteri kerajaan bekas Presiden Hosni Mubarak.

Penjara Thurah di Kaherah yang pada salah sebuah biliknya, menjadi pusat tahanan Timbalan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Ir Khairat Shatir selama 12 tahun, kini menjadi bilik tahanan dua anak bekas Presiden iaitu Alad Mubarak dan Jamal Mubarak. Menteri-menteri dalam kabinet Hosni Mubarak ditempatkan di bilik bersebelahan. Hosni Mubarak ditahan di Hospital Tentera kerana sudah semakin uzur, maknakala First Lady Suzanne Mubarak diikat jamin di atas tuduhan penyelewengan, rasuah dan pemilikan kekayaan luar biasa.

Bayangkan, seorang Presiden, diktator besar dan anak beranaknya hidup penuh dengan kemewahan dan kekayaan, membina penjara untuk musuh-musuh politiknya, kini disumbat dalam penjara yang sama. Mana-mana pemimpin yang zalim harus menjadikan peristiwa ini sebagai pengajaran, ingatlah Allah Maha Berkuasa menghukum sesiapa sahaja yang zalim.

Allah tidak pernah lupa untuk menghukum penzalim, cuma Ia kadang kadang memberi tempoh kepada mereka agar sedar dan insaf. Namun, jika kesempatan itu tidak dimanfaatkan, akan tibalah saat kehancuran mereka di dunia sebelum akhirat. Inilah terjadi kepada Hosni Mubarak dan Zein el-Abidin bin Ali di Tunisia.

Janji Allah kepada pejuang Islam Ikhwan Muslimin semakin hampir. Setelah menunggu lebih 80 tahun, ia dilihat sebagai bakal peneraju negara Mesir. Jika di zaman penuh tekanan Ikhwan Muslimin boleh menang 80 kerusi, maka pada saat yang penuh dengan kebebasan ini, penganalisis menjangkakan Ikhwan Muslimin dengan parti-parti gabungannya akan memerintah Mesir.

“Kami yakin janji Allah pasti akan datang, insya-Allah Ikhwanul Muslimun akan memimpin perubahan,” itulah kata azimat yang penuh bermakna, terpacul dari mulut Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin, Dr Mahmoud kepada delegasi kami.

Inilah yang ditakuti Amerika Syarikat dan sekutunya Israel. Untuk tahap ini dari kejatuhan Hosni Mubarak sehingga September, mereka berusaha sedaya upaya menyekat kebangkitan Ikhwan Muslimin.

Bukan sahaja AS dan Israel, malah pemimpin negara-negara Arab yang diktator juga bimbang dengan perkembangan di Mesir, kerana jika Ikhwan memerintah, ia akan menjadi model pentadbiran negara Islam, yang bakal dikuti 22 negara Arab di Teluk.

Sumber : Harakah daily

No comments:

Post a Comment