NEGARA
BERKEBAJIKAN TERAS PERPADUAN
الحمد لله حمدا الحامدين , وحمدا الشاكرين ,وحمدا
يوافي نعمه ويكافي مزيده , يا ربنا لك الحمد كما ينبغي
لجلال وجهك وعظيم سلطانك . أشهد أن لا إله إلا الله
وحده لا شريك له , له الملك وله الحمد وهو على كل شيء
قدير . وأشهد أن محمدا عبده ورسوله , البدر الدجى
والسراج المنير . اللهم وصل وسلم وبارك على محمد
أشرف الأنبياء والمرسلين , وعلى آله وصحبه أجمعين
, ومن سار على نهجه إلى يوم الدين
1. Yang
Dihormati Pengerusi Tetap, YAB Tuan Guru Dato‟ Mursyidul „Am, Sohibul Fadhilah Dato‟ Timbalan Mursyidul
„Am, Ashab al-Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulamak, Timbalan Presiden, Naib-Naib
Presiden, Ketua-Ketua Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat, Dato‟ Setiausaha
Agung dan seluruh Ahli Jawatankuasa Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS
Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Ahli
Jawatankuasa Kerja Dewan-Dewan, Ketua dan Ahli Jawatakuasa Dewan Himpunan
Penyokong PAS, pimpinan dan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat, NGO, pengamal
media cetak dan elektronik, seluruh para perwakilan dan pemerhati, muslimin dan
muslimat yang dikasihi sekalian.
2. Saya
ucapkan selamat datang ( )أهلا وسهلا ومرحبا بكم kepada semua para perwakilan dan tetamu
yang datang dari seluruh pelusuk tanahair tercinta dan luar negeri. Saya juga
mengalu-alukan kehadiran kali pertama ahli-ahli baru PAS ke muktamar ini, dari
kalangan rakyat, artis dan karyawan, ahli sukan, tokoh akademik, mantan pegawai
kanan kerajaan, tokoh korporat dan masyarakat, dan semua kalangan yang ingin
bersama PAS membawa mesej Islam ke dalam negara kita ini. Sesungguhnya
kehadiran tuan-puan sekelian, akan memeriahkan muktamar kita, menyuntik
semangat dan merapatkan saf angkatan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi
rahmat Allah kepada seluruh alam, ketika seluruh dunia merayu kepada penyelamat,
kerana dilambung gelombang krisis kemanusiaan dalam segala lapangan.
3. Negara
kita juga tidak terkecuali dalam keadaan yang sama. Cukuplah rakyat menjadi
saksinya, apabila UMNO yang menjadi tunjang Barisan Nasional, culas dalam
melaksanakan amanah, tidak menepati janji – dengan jelasnya tidak menghormati
perjanjian hasil petroleum di negeri-negeri sehingga tergamak menindas majoriti
rakyat beragama Islam di negeri Kelantan dan Terengganu khususnya, dengan
menafikan hasil minyak yang dikurniakan oleh Allah SWT.
4.
Pertumbuhan ekonomi negara pula dijana dengan bebanan hutang RM502 billion,
iaitu menghampiri siling 55 peratus nisbahnya kepada Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) negara manakala defisit fiskal telah melepasi 15 tahun
berturut-turut. Ini memberi makna, bahawa kerajaan UMNO-BN telah berbelanja
besar dari pendapatan sejak sekian lama. Sedangkan, Bank Dunia telah
mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara antara yang paling kaya dari segi
jumlah sumber per kapitanya. Inikah contoh perbelanjaan cemerlang kerajaan
Barisan Nasional ? Inilah hakikat yang kita saksikan di depan mata kita sendiri
pada hari ini. Semuanya ini dilakukan tanpa memikirkan kesannya kepada
kesejahteraan hidup generasi yang akan datang.
5. Kita juga
saban ketika dihidangkan dengan skandal yang sarat dengan berbagai
penyelewangan. Terkini, Laporan Audit Negara 2011 membuat pendedahan Projek
Rumah keluarga Angkatan Tentera, di mana bajet yang digunakan adalah hampir
RM1.3 billion kerana menyimpang dari kos asal hasil dari perlbagai kelemahan,
selain dari kelemahan sistem runding-terus yang juga mendapat kritikan dari
Ketua Audit Negara.
6.
Keseluruhan kuasa politik lebih 50 tahun ini telah disyaitani menusia yang
menganggap dirinya maha suci daripada segala kesalahan dan kelemahan, jauh
sekali dari keinsafan, walau pun terdedah dengan nyata kezaliman di sana-sini,
pentadbiran yang bercelaru, sistem ekonomi tidak mensyukuri nikmat dan
mengula-gulakan rakyat tanpa penyelesaian masalah sebenar. Merebaknya
penyelewengan, maksiat dan jenayah besar dan kecil tanpa undang-undang yang
mendidik rakyat dan menakutkan penjenayah yang degil.
7. Ketika
ini kita berada dalam lingkungan alam yang tetap berubah, walaupun di bawah
kerajaan yang berselindung di sebalik tembok besi paling kebal dalam sejarah
manusia, namun tetap akan menemui ajalnya mengikut pusingan alam dunia. Allah
menjadikan kerajaan ini silih berganti untuk menguji kita, kita diajar bahawa
tidak ada kerajaan yang kekal dan mutlak melainkan kerajaan Allah SWT.
8. Kita
perlu meyedari bahawa politik adalah ujian terhadap manusia, sama ada
menegakkan kerajaan yang diredhai Allah apabila menegakkan Islam yang adil
terhadap semua atau mendapat kemurkaannnya kerana memilih yang lain
daripadanya. Dalam hal ini, PAS sangat komited untuk memacu perubahan ke arah
mendapat keredhaan Allah SWT, menjadikan Islam sebagai asas perjuangannya, dengan
keanjalan sistem Islam yang sesuai di sepanjang zaman dan tempat dengan merujuk
kepada al-Quran, Sunnah, Ijma‟ dan Qiyas berdasarkan aqidah ahlus-Sunnah wal-jamaah; serta
berpandukan kepada fiqhus-siyasah dalam tindakannya.
9. Inilah
yang menjadi teras perjuangan PAS, setelah kita melihat UMNO yang menjadi parti
teras Barisan Nasional gagal untuk mendaulatkan Islam dan telah menunjukkan
contoh yang tidak baik kepada rakyat keseluruhannya sehingga berulat dengan
rasuah ribuan juta ringgit, dan terkini rasuah politik RM40 juta di Sabah,
salah guna kuasa, ketidakadilan dalam masyarakat dan sebagainya. UMNO juga
gagal memperkasakan orang Melayu dengan Islam, selain dari gagal menunjukkan
contoh Islam yang sebenar kepada rakyat, dengan membiarkan orang Islam dalam
negara ini dicabar dan diperkotak-katikkan dengan hujah yang biadap oleh
pimpinan MCA yang menjadi sekutu rapat UMNO dalam Barisan Nasional.
10. Dalam
masa yang sama, UMNO juga mempergunakan kalangan tertentu ulama sebagai
terompah yang dipakai ke sana-sini, jauh sekali berbeza dengan PAS yang membawa
konsep kepimpinan ulama dalam menentukan halal-haram tindakan dan dasar
perjuangannya. Ahli-ahli PAS juga berbeza dengan UMNO-BN, dengan kita
menjadikan maqasid-siyasi ini sebagai amanah untuk mendaulatkan syariat Islam,
bukannya menjadikan peluang pemerintahan untuk berebut pangkat dan harta
negara.
Hadirin dan
hadirat sekelian,
TEMA
MUKTAMAR
11. Pada
hari ini, PAS menyambung kerja dakwah – tarbiyah – siyasah, mengajak rakyat
dengan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat. Muktamar yang lalu kita
kemukakan tema: MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN. Ramai kalangan lawan dan
pemerhati tersalah anggap, sehingga membuat kenyataan terbuka, bahawa PAS sudah
menyeleweng daripada matlamat perjuangan menegakkan Islam. Anggapan ini adalah
kerana mereka tidak memahami bahasa al-Quran dan terpengaruh dengan bahasa
asing “welfare state” yang menafsirkan kebajikan dengan makna yang sempit.
12. Maka
bagi muktamar kali ke-58 ini, dikemukakan tema: NEGARA BERKEBAJIKAN TERAS
PERPADUAN. Tema ini dikemukakan kerana perpaduan umat menjadi cabaran terkini
diseluruh dunia, di negara masing-masing atau diperingkat antara negara dan
bangsa. Perpaduan dalam negara kita pula tidak akan wujud dengan laungan
1Malaysia yang diselang-selikan dengan tiupan angin perkauman sempit dan
tindakan yang menekan rakyat berbilang agama dan bangsa yang wujud dalam negara
kita. Perpaduan dan rahmat inilah yang menjadi tujuan kepada Islam, sebagai
risalah akhir zaman oleh Rasulullah SAW yang berbeza dengan para rasul
sebelumnya. Allah berfirman :
Maksudnya :
Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi
rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya’ : 107)
13.
Kebajikan adalah tajuk kepada ajaran Islam yang menyeluruh. Baca dan fahamilah
firman Allah :
Maksudnya :
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada الخير (kebajikan), dan menyuruh berbuat segala perkara yang makruf
(baik), serta melarang daripada segala yang munkar (buruk dan keji) dan mereka
yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya.(al-Imran :104)
14. Para
ulama tafsir al-Quran menegaskan bahawa الخير (kebajikan)
itu ialah seluruh ajaran Islam yang dibawa dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW
dengan maksud Islam yang sempurna dan ajarannya yang menyeluruh. Ini dihuraikan
secara terperinci oleh al-Quran dan Sunnah, di antaranya firman Allah :
Maksudnya :
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah (paling halus), nescaya akan
dilihatnya (dalam surat amalnya)!. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah
(paling halus), nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) [az-Zalzalah
:7-8]
15. Ini
jelas menunjukkan bahawa setiap amalan manusia dikira dan dihisab, sama ada
urusan ibadat atau urusan kehidupan dunia semata-mata, semuanya tetap berkait
dengan hukum Islam. Seterusnya Rasulullah SAW menyenaraikan dengan sabdanya :
سبعةٌ يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله: إمامٌ
عادلٌ، وشابٌ نشأ في عبادة الله عز وجل،
ورجلٌ قلبه معلقٌ بالمساجد. ورجلان تحابا في الله
اجتمعا عليه، وتفرقا عليه، ورجلٌ دعته امرأةٌ
ذات حسنٍ وجمالٍ ، فقال: إني أخاف الله، ورجلٌ تصدق
بصدقةٍ، فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما
تنفق يمينه، ورجلٌ ذكر الله خالياً ففاضت عيناه
. )متفقٌ عليه(.
(Ada tujuh
jenis manusia, di mana Allah memayunginya pada hari Kiamat nanti, pada yang
tidak ada perlindungan melainkan perlindungannya : Pemimpin yang adil, pemuda
yang sentiasa beribadat kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa bergantung
ke masjid, dua sahabat yang berkasih sayang kerana Allah, seorang yang bermoral
sehingga diajak oleh wanita yang rupawan dan bangsawan melakukan maksiat, lalu
dia menolak kerana takutkan Allah, seorang yang terlalu pemurah memberi
sumbangan dan seorang yang berzikir ingatkan Allah di tempat sunyi sehingga
berlinang matanya)
Hadirin dan
hadirat sekelian,
16.
Kebajikan pertama ialah pemimpin yang adil yang disebut siyasah (politik)
mentadbir urusan negara dengan Islam yang adil untuk semua. Maha Adil adalah
sifat wajib bagi Allah dan termasuk di kalangan nama-nama Tuhan (al-Asma al
Husna). Allah mewajibkan berlaku adil kepada hamba Nya dan mengharamkan
kezaliman. Adil dalam pemerintahan negara tanpa mengira kawan dan lawan adalah
kebajikan pertama, kerana besar cabarannya dan hebat perjuangannya, serta
banyak kebajikannya. Seorang penyair Arab menegaskan :
أحسن إلى الناس تستعبد قلوبهم ... فطالما استعبد
الإنسان إحسان
وإن أساء مسيء فليكن لك في ... عروض زلته صفح وغفران
)أبي الفتح البستي(.
(Berbuat
kebajikanlah terhadap manusia, nescaya engkau menundukkan hati-hati mereka.
Maka seringkali manusia itu tunduk kepada kebajikan terhadapnya. Jika orang
yang jahat melakukan sesuatu kejahatan terhadapmu, maka jadikan sifat yang baik
menghilangkan kejahatannya ialah kemaafan dan keampunan)
17. Konsep
adil dalam Islam adalah tawaran PAS kepada rakyat, kerana dengan keadilan
Islamlah maka Islam bangkit mencapai kejayaan di zaman Islam berdaulat,
mentadbir negara awal yang mengandungi masyarakat majmuk dan masyarakat madani.
Risalah ini dinyatakan oleh Firman Allah :
Maksudnya :
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara
manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan
(suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.
Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat. (an-Nisa’ : 58)
18. Hanya
berkebajikan yang berkonsepkan adil untuk semua dapat menyatukan hati manusia
majmuk, mewujudkan perpaduan tulen, kerana manusia itu adalah makhluk yang
bernyawa, berperasaan dan berakal. Setiap manusia yang saksama akal dan
perasaannya tetap menerima kebajikan yang berteraskan keadilan. Ketepikan
manusia yang tamak haloba yang buruk sifat-sifatnya dan tidak berperi
kemanusiaan. Kita ingin memerintah dengan adil berdasarkan konsep kebajikan
yang diterima secara sejagat tanpa paksaan menganut Islam. Saksikanlah bahawa
perjuangan Rasulullah SAW pada awalnya didukung oleh penganut Islam dan juga
turut disertai oleh kalangan bukan Islam yang menentang kezaliman.
19. Inilah
dia seruan dan perjuangan kita dengan pujian Allah SWT kepada orang-orang yang
beriman :
Maksudnya :
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada
(mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal
yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang
Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah) !". Dan tidaklah sama
(kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah
(kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau
berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan
serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang
terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang
bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh
orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.
Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah
engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha
Mendengar, lagi Maha mengetahui. (al-Fusshilat : 33-36)
Hadirin dan
hadirat sekelian,
20. Maka parti
syaitan dan yang dikuasai syaitan di dalamnya, tidak mampu menegakkan kebajikan
yang bernama adil terhadap semua. Marilah kita menyahut seruan Allah dan
melaksanakannya :
Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi
orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran;
dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu
kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa
jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada
Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu
lakukan. (al-Maidah : 8)
21. Dalam
Negara Berkebajikan ini, semua pihak akan berlumba-lumba melakukan kebajikan,
iaitu kebajikan kerajaan terhadap rakyatnya, manakala rakyat pula membantu
kerajaan, maka mewujudkan hubungan saling mengerjakan kebajikan antara
miskin-kaya, majikan-pekerja, dan sebagainya. Sifat adil yang dilaksanakan
dalam Negara Berkebajikan ini adalah amal kebajikan yang membuahkan kasih
sayang di kalangan manusia, sehingga merapatkan hubungan di antara pemimpin dan
rakyat, serta menjalinkan hubungan baik di kalangan sesama rakyat, seterusnya
menarik musuh kepada insaf sehingga menjadi kawan dan sahabat yang setia.
22. Dalam
masa yang sama, seluruh pendukung dan ahli PAS mestilah menghayati dengan
bersungguh-sungguh dasar yang dibawa dalam muktamar kali ini, dengan menjadikan
syarat kebajikan dan amalan ikhlas kerana Allah sebagai paksinya, tidak hanyut
dari berpegang kepada Islam yang menjadi matlamat perjuangan kita, menyusun
strategi dan gerakerja secara tersusun, dan bersedia untuk berdepan dengan
rakyat secara terbuka dalam membawa mesej kita ini.
Hadirin dan
hadirat sekelian,
PERUBAHAN
GEO-POLITIK ANTARABANGSA
23.
Negara-negara umat Islam di pentas antarabangsa kini sedang berdepan dengan
arus perubahan yang sedang merobah peta politik dunia. Perkembangan ‟kebangkitan
rakyat kuasa rakyat‟ yang sedang melanda dunia umat Islam telah bermula di Tunisia,
Maghribi, Mesir, Libya, Yaman, Syria hingga hampir seluruh benua Arab. 24.
Tidak siapa dapat menjangkakan rakyat Tunisia berjaya menggulingkan rejim Zine
El Abidine Ben Ali yang sejak berpuluh tahun menafikan hak serta suara
kebebasan rakyatnya sendiri. Dan tidak siapa yang dapat menjangkakan rakyat
Mesir berjaya menggulingkan rejim ‟kuku besi‟ Hosni Mubarak dengan hanya bersenjatakan ‟Kuasa
Rakyat‟ yang turun secara sukarela berdemonstrasi di jalan-jalanraya
di seluruh negara.
25.
Perubahan politik ini semua adalah merupakan ketentuan dan pertolongan dari
Allah SWT serta menjadi peringatan kepada mana-mana pemerintah yang sombong dan
angkuh serta mahu terus menafikan hak dan kebebasan rakyat. Rakyat hanya
mahukan kebebasan dan hak bersuara mereka dihormati dan bukannya mahukan
kekayaan sepertimana dimiliki oleh pemerintah yang zalim ini.
26. Umat
Islam juga sedang memasuki alaf baru dengan penuh ujian dan cabaran. Di era
globalisasi ini, kedudukan umat Islam terus dihimpit dengan pelbagai tekanan
dan ujian yang begitu mencabar. Di mata dunia antarabangsa, maruah serta nyawa
umat Islam bagaikan tiada apa-apa harga dan nilai. Lihat sahajalah apa yang
terus berlaku di bumi Palestin, di Afghanistan, Iraq dan terkini di Syria,
seolah-olah harga nyawa umat Islam lebih murah dari haiwan yang hina.
27. Konflik
yang sedang berlaku di Syria amat menyentuh hati dan perasaan kita. Pertumpahan
darah dan penderitaan penduduk awam Syria sehingga kini tidak menampakkan jalan
penyelesaian. PAS ingin menegaskan sikapnya bahawa konflik di Syria tidak boleh
sekali-kali diselesaikan dengan campurtangan kuasa luar terutamanya Amerika
Syarikat dan sekutunya. Biarlah rakyat Syria sendiri yang menentukannya melalui
suara rakyat tanpa sebarang campurtangan asing yang mempunyai kepentingan
strategik. Semua pihak perlulah memberikan tekanan secara berterusan dan
berkesan, supaya perubahan kepada demokrasi sebenar boleh berlaku dengan dicorakkan
oleh rakyat mereka sendiri.
28. Saya
menyeru seluruh masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum serta seluruh
masyarakat antarabangsa, agar menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada ratusan
ribu penduduk awam Syria yang menjadi mangsa tragedi berdarah ini.
29. Di bumi
Palestin, serangan serta pencerobohan tentera Zionis ke atas bumi suci ini
terus berlaku tanpa batasan. Mereka mencabul segala batasan undang-undang
antarabangsa, melanggar hak asasi kemanusiaan serta melakukan satu jenayah
perang yang amat besar. Mereka juga secara terancang dan terangan melakukan
pencerobohan terhadap Masjid al-Aqsa dan terus mendirikan kawasan penempatan di
tanah yang dicerobohi oleh kerajaan Zionis ini.
30. Apa yang
lebih memalukan lagi adalah sebahagian besar dari pemimpin dunia Islam masih di
kongkong dengan tekanan hegemoni Zionis. Badan-badan antarabangsa seperti
Kesatuan Eropah (EU), dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kesemuanya
membisu seribu bahasa terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh tentera
Zionis ini. Sekali lagi saya ingin merakamkan sokongan padu PAS terhadap
intifadah yang di terajui oleh Harakah Muqawammah (Hamas) di bumi suci
Palestin. Bagi PAS, isu bumi Palestin serta pembebasan Masjid Al-Aqsa yang
merupakan Kiblat pertama umat Islam kekal menjadi agenda terpenting di
peringkat antarabangsa.
Hadirin dan
hadirat sekelian,
PERKEMBANGAN
DI RANTAU ASEAN
31. PAS juga
amat tersentuh dengan apa yang berlaku ke atas saudara-saudara kita di Wilayah
Rakhine, Myanmar. Kita ingin mengajak semua pihak agar menunjukkan rasa
simpatinya terhadap bencana yang dialami oleh penduduk Islam Rohingya. Tindakan
zalim yang dilakukan oleh rejim Myanmar terhadap umat islam Rohingya adalah di
luar batas peri kemanusiaan dengan membunuh, membakar kediaman serta meroboh
masjid yang merupakan suatu tindakan tidak bertamadun.
32. Dalam
hal ini, PAS merasa sangat kesal dengan sikap berdiam diri yang ditunjukkan
oleh kerajaan Malaysia pimpinan UMNO-BN yang gagal mengecam dan mengambil
langkah drastik dalam membantu menyelesaikan isu ini. PAS juga merasa kecewa di
atas sikap membisu pejuang demokrasi rakyat Myanmar, Aung Sang Su Kyi yang
enggan menyatakan pendirian yang jelas untuk mengutuk kezaliman dan sikap tidak
perikemanusiaan yang dihadapi oleh komuniti Rohingya.
33.
Berikutan dengan perkembangan damai di Selatan Filipina, PAS mengucapkan
tahniah di atas persetujuan damai awal di antara kumpulan pemisah Front
Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan kerajaan Filipina yang dicapai baru-baru
ini. Ianya merupakan langkah awal ke arah mewujudkan keamanan wilayah autonomi
dan boleh memberi manfaat kepada rakyat terbanyak di Mindanao. PAS berharap,
perdamaian ini benar-benar terlaksana dan diambil kesempatan untuk mengisi
perdamaian dengan membangunkan kembali wilayah yang telah lama bergolak itu.
34. Dalam masa yang sama, PAS juga mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang
terlibat dalam menjayakan persetujuan damai tersebut, termasuk juga dari
kalangan pimpinan PAS sendiri yang tidak putus-putus terus memberi bantuan dan
tunjuk ajar kepada kepimpinan Islam Moro sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu
melalui pengasas MILF al-Marhum Ustaz Slamat Hashim.
35. PAS
juga, menyeru kepada kerajaan-kerajaan di rantau ini mengambil pedoman di atas
kejayaan tersebut bagi mewujudkan perdamaian yang adil kepada rakyat di
wilayah-wilayah yang bergolak seperti di Selatan Thailand dan Wilayah Rakhine,
Myanmar. PAS ingin membuat seruan terbuka kepada kedua-dua negara jiran kita
agar konflik ini di hentikan segera. Tiada penyelesaian kecuali kembali ke meja
rundingan dan mencari jalan damai.
36. Sekali
lagi saya ingin tegaskan bahawa PAS sentiasa bersedia untuk menjadi „jambatan‟ bagi
mencari jalan penyelesaian kepada konflik yang tidak berkesudahan ini
sepertimana sumbangan dan penglibatan penting PAS dalam membantu menyelesaikan
konflik antara Gerakan Acheh Merdeka (GAM) dengan pemerintah Indonesia
dan juga dalam proses damai antara MILF dan kerajaan Filipina.
Hadirin dan
hadirat sekelian,
PAS :
GERAKAN ISLAM PENYAMBUNG PERJUANGAN
37. Kita
juga ingin mempertegaskan bahawa PAS adalah merupakan mata-rantai gerakan Islam
yang wujud sejak sekian lama, untuk membawa mesej Islam dengan mempunyai
komponen tarbiyah, dakwah dan politik. Kita wujud sebagai satu kesinambungan
dari perjuangan menentang penjajah yang dipimpin oleh para ulama terdahulu
seperti Sheikh Wan Ahmad Mohd Zain Fathani yang menubuhkan Jami’atul Fathaniyah
pada tahun 1873 di Makkah, telah disambung oleh murid beliau seperti Raja Ali
Kelana dan Syed Sheikh al-Hadi yang menubuhkan Jami’atul Rusyidiyah di Riau
pada tahun 1880. Pengaruh Riau inilah mendorong penubuhan Jami’atul Khairiyah
di Betawi pada 1904, sebelum ditubuhkan Sarekat Dagang Islam pada 1905 yang
kemudiannya dikenali sebagai Sarekat Islam ketika dipimpin oleh Tjoakro aminoto
pada 1912. Pengaruh Sarekat Islam sebagai sebuah pertubuhan politik Islam
berkembang di Tanah Melayu semenjak tahun 1919 apabila cawangannya wujud di
Singapura, Johor, Baserah - Pahang, Terengganu, Kelantan, Patani dan Pulau
Pinang. Antara tokoh penting Sarekat Islam di Tanah Melayu ialah Tuan Guru Haji
Abd Rahman Limbong yang memimpin pemberontakan ke atas British antara tahun
1924 hingga 1928; iaitu lebih awal dari pergerakan Ikhwan Muslimin yang
diasaskan oleh As-Syahid Imam Hassan al-Banna pada tahun 1928 di Mesir.
38.
Sepanjang tempoh itu, sehinggalah kewujudan PAS secara rasmi pada tahun 1951,
kita telah mengalami pasang-surut pengalaman terlibat dalam sistem demokrasi
pilihanraya. PAS menjadi gerakan Islam terawal yang berpeluang memerintah
melalui sistem demokrasi seawal 1959, kerajaan campuran 1970-an, kerajaan
Angkatan Perpaduan Ummah 1990 dan 1999, Pakatan Rakyat 2008, di mana sikap
keterbukaan para ulama PAS lah yang membuka ruang PAS melaksanakan ijtihad
Tahaluf Siyasi dalam arus politik tanahair kita sehingga membolehkan PAS
berhubung dan bekerjasama dengan kalangan bukan Islam yang terdiri dari 40%
rakyat di negara kita ini.
39. Hasilnya
kita menjadi parti yang turut sama memerintah negara, menjadi pembangkang, ahli
dan pimpinan diburu dan dipenjarakan, digulingkan kerajaan negeri Terengganu
pada tahun 1961 dan Perak tahun 2010, membentuk kerajaan h dan turut menggubal
undang-undang Islam di peringkat negeri, dan sebagainya yang mewarnai
perjuangan PAS dalam suasana serta waqi‟ yang tentunya mempunyai fiqh-aulawiyat yang sangat berbeza dengan
rakan-rakan di Asia Barat dan Turki.
Hadirin dan
hadirat sekelian,
40. Sifat
anjal yang dimiliki oleh PAS membolehkan kita mengambil pengajaran yang baik
dari kemenangan rakan-rakan kita di Asia Barat dalam tempuh setahun-dua ini,
tetapi kita juga tidak boleh sekali-kali berundur dalam dasar dan tindakan kita
yang telah berjaya melunakkan fikrah masyarakat di negara kita ini berbanding
tahun-tahun yang lalu. Natijahnya ialah, tidak salah untuk kita mengambil
mana-mana pengajaran yang baik, tetapi hendaklah dilakukan dengan ilmu dan
bukannya mengkagumi atau menjadi pengikut secara semberono tanpa melihat
suasana masyarakat dan waqi‟ di tempat kita yang sudahpun jauh berubah berbanding dengan suasana
di Asia Barat.
41. PAS
tetap memilih demokrasi menyertai pilihanraya sebagai wasilah, dari dahulu
hingga kini, walau pun berdepan dengan demokrasi tanpa moral yang menjadi
senjata UMNO-BN yang memegang tampuk pemerintahan sekian lama di negara kita
ini. Merekalah yang menafikan hak rakyat untuk menjadi hakim secara adil dan
melakukan muhasabah kepada pimpinan kerajaan. Walau bagaimanapun, kita yakin
bahawa rakyat boleh dibangkitkan dengan kesedaran membawa perubahan.
42. Dalam
urusan politik, pintu ijtihad tidak boleh ditutup walau pun tidak ada lagi
pemimpin setaraf para sahabat terdahulu dan tokoh ulama mujtahidin di zaman
awal. Namun Ijtihad secara jama‟ei tetap berlangsung, maka PAS mewujudkan Majlis Syura Ulama yang
menjamin keteguhan kita di atas Dasar Islam, Aqidah, Syariat, Akhlak dan Nizam
(Sistem), beristiqamah dengan undang-undang tubuh PAS. Sehingga kini
alhamdulillah, PAS tidak pernah rugi dalam semua langkah politiknya. Maka
ahli-ahli PAS jangan sekali-kali terasing daripada Jamaah Islam ini. Dengarlah
amaran Rasulullah S.A.W. :
إِنَّ الشَّيْطَانَ ذِئْبُ الْإِنْسَانِ كَذِئْبِ
الْغَنَمِ يَأْخُذُ الشَّاةَ الْقَاصِيَةَ
- مسند أحمد )ج 54 / ص 31 )
(Sesungguh
syaitan itu laksana serigala terhadap manusia, seperti serigala yang menangkap
kambing yang terpencil daripada kawanannya)
Hadirin dan
hadirat sekelian,
ILTIZAM
POLITIK
43. Islam
menentang kezaliman politik, kerana daripadanya dilahirkan segala kezaliman
yang lain. Islam menentang semua kerajaan bersifat diktator secara individu,
kumpulan (al-Mala‟), bahkan Islam menolak kalangan pemimpin agama yang berselindung
disebalik suruhan Tuhan atau pimpinan agama yang melaksanakan pemerintahan
Teokrasi mengikut fahaman Barat sehingga bertindak zalim terhadap rakyat dan
negaranya sendiri.
44. Kesemua
para Anbiya‟ A.S. adalah membawa Islam beraqidah tauhid menentang syirik
dengan makna yang luas, melawan syirik yang berkonsep pemujaan kepada mana-mana
atau sesiapa dikalangan makhluk dalam urusan ibadat dan cara hidup, dengan
konsep ad-Din yang tidak ada pemisahan politik daripada urusan beribadat kepada
Allah. Maka Islam juga menentang pemujaan makhluk manusia yang memerintah
dengan zalim dan membodohkan rakyat.
45.
Perjuangan Rasulullah SAW menjadi sunnah Fiqh politik yang diamal oleh kerajaan
Islam dan kumpulan Islam yang melangsungkannya disepanjang zaman, berasaskan
hukum Islam yang adil terhadap semua. Ada kalangan yang masuk Islam dan ada
kalangan yang hanya menerima kerajaannya yang berkonsepkan adil terhadap semua
rakyat, sehingga kelahiran tamadun Islam yang unggul melibatkan masyarakat
majmuk.
46. Politik Islam
mewujudkan perpaduan masyarakat majmuk yang tidak mampu dilaksanakan oleh
ajaran lain. Allah berfirman :
Maksudnya :
Mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang
alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata:
"Tuhan kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah
manusia menentang pencerobohan setengah yang lain, nescaya runtuhlah
tempat-tempat pertapaan, serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat
sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa
disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong
sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat,
lagi Maha Kuasa. (al-Haj : 40)
Hadirin dan
hadirat sekelian,
47.
Pendedahan sejarah sebelum tegaknya masyarakat dan negara sebelum Islam yang
dibawa oleh Rasulullah S.A.W. menunjukkan mana-mana kaum dan penganut agama
yang menang mesti menindas pihak yang lain dengan zalim dan ganas.
48. Islam
yang memerintah di Madinah dan selepasnya memberi hak yang adil kepada
masyarakat majmuk mewajibkan perpaduan di kalangan masyarakat penganut Islam
dan masyarakat manusia seluruhnya. Piagam Madinah adalah satu perjanjian di
antara kerajaan dan rakyat masyarakat majmuk yang bersejarah dan menjadi
panduan kepada kerajaan Islam yang adil selepasnya.
49. PAS juga
sudah bersedia untuk bersama memerintah negara Malaysia ini, bersama rakan
Pakatan Rakyat, bagi memikul dan melaksanakan amanah. Maka PAS mengadakan
Tahaluf Siyasi, dalam persefahaman Pakatan Rakyat yang menegakkan konsep dalam
persamaan dan tidak memaksa dalam perbezaan. Secara bersama, permuafakatan
Pakatan Rakyat telah mengisytiharkan resolusi :
1. Islam
Agama Persekutuan dan memberikan hak yang adil kepada agama-agama lain untuk
diamalkan di Malaysia.
2. Hak
Istimewa Bumiputra dan melaksanakan hak yang adil kepada semua kaum.
3. Bahasa
Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan menerima hak bahasa ibunda berbagai kaum.
4. Kedudukan
Raja berperlembagaan.
50. Iltizam
politik menerusi Tahaluf Siyasi ini menuntut kita terus bekerjasama dengan
rakan-rakan Pakatan Rakyat, secara kolektif dalam mengurus pentadbiran negeri
dan negara. Dalam masa yang sama, setiap ahli PAS yang berada dalam lingkungan
pentadbiran dan pemerintahan kerajaan ini juga perlulah memahami
fiqh-aulawiyat, maqasid syariah, serta bertegas dalam perkara dasar selari
dengan Perlembagaan PAS itu sendiri. Tahaluf Siyasi ini juga tidak seharusnya
mengaburkan kefahaman ahli PAS terhadap konsep Fiqh at-Taat terhadap parti kita
sendiri.
Hadirin dan
hadirat sekelian,
PENDEKATAN
EKONOMI
51. Dunia
menyaksikan kejatuhan komunisme yang menolak agama semuanya, manakala ekonomi
berdasarkan kebendaan semata-mata menjadi tuhan yang disembah. Manusia laksana
alat jentera, jasad yang tidak ada roh, akal yang tidak berpanduan. Kini pula
dunia sedang menyaksikan keruntuhan ideologi Liberal Kapitalisme yang juga
bertuhankan kebendaan dan agama menjadi sampingan yang tidak bermaya, sehingga
kebebasan ekonomi tanpa kawalan roh dan hati nurani tanpa perhitungan dosa dan
pahala.
52. Suasana
ini membarahkan politik menipu dan ekonomi berpusing kekayaan di kalangan
kelompok tertentu, di kalangan ahli politik dan ahli ekonomi yang bersekongkol
dengannya. Seterusnya ini melahirkan Firaun dan Haman yang menerima rasuah,
serta kumpulan Qarun yang mengumpul kekayaan melalui konsep monopoli tamak
haloba secara riba, rasuah dan berbagai salah laku.
53. Hakikat
inilah yang kita lihat sedang berlangsung dalam negara kita ini. Negara kita
yang kaya dengan hasil bumi ini, akan muflis sekiranya terus berada di tangan kerajaan
Barisan Nasional. Melaksanakan transformasi ekonomi ala Kerajaan BN untuk
setanding dengan negara yang kaya di dunia Barat juga, bukanlah ukuran yang
rakyat inginkan. Nilai ringgit yang ada pula makin menyusut, sehingga duit
bertimbun yang dimiliki tidak memberi apa-apa makna lagi.
54. Perdana
Menteri pernah berbangga dengan Malaysia memilikki 30 bilionaire yang berkongsi
kekayaan sejumlah RM200 bilion. Namun PAS mahu mengingatkan, bahawa ada
billionaire ini yang menanggung hutang korporat ke paras RM 22 bilion seorang
semasa Krisis Kewangan 1997 dulu. Kini sudah pun di ketahui pasaran kewangan,
bahawa antara 30 bilionaire ini, ada yang berhutang ke paras RM55 bilion dan RM
34 bilion setiap tokoh korporat, sekaligus mengulangi kesilapan lama.
Hadirin dan
hadirat sekelian,
55. Inilah
yang cuba ingin kita perbetulkan, dengan mengambil langkah-langkah penting ini
sekiranya kita diberikan amanah nanti. Pertama - membetulkan falsafah ekonomi
sedia ada kepada yang lebih adil dan memakmurkan. Dalam hal ini, dasar fiskal
mahupun monetari yang adil sifatnya, mesti digunakan sebaiknya untuk memacu
pertumbuhan; Kedua – membetulkan pelaksanaannya dengan bersendikan akhlak dan
perkiraan dosa-pahala, akauntabiliti yang holistik, undang-undang yang mampu
mencegah, dan seterusnya mencegah pembaziran, ketirisan, penyelewangan serta
rasuah; Ketiga – membuat penilaian menyeluruh terhadap hasil negara, supaya
pengurusan warisan khazanah negara ini dimanafaatkan dengan lebih telus dan
adil untuk semua rakyat. Keempat – menolak diskriminasi, di mana dasar ekonomi
dan sifat kebajikannnya dilaksanakan tanpa mengira kaum, agama ataupun fahaman
politik – negeri - wilayah; dengan merujuk kepada keadilan Islam yang sebenar.
Ini sekaligus menolak amalan kronisme dan monopoli pasaran tempatan, dengan
memperkenalkan akta-akta bagi mengikat kewujudan „kartel‟ yang bertindak
menekan rakyat.
56. PAS
menegaskan bahawa tanggungjawab pemerintahan dan memakmurkan bumi ini adalah
satu amanah yang mesti ditunaikan, bukan hanya untuk memenuhi tuntutan rakyat
yang mengangkat sesebuah kerajaan, bahkan pada kekemuncaknya supaya kepimpinan
negara bertanggungjawab kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, mentadbir
khazanah kekayaan negara dan mengurus kewangan secara bijak serta menjadikan
pengurusan ekonomi dan membangunkan harta atau „Hifzul Mal‟, adalah
termasuk dalam perkara-perkara penting yang mesti dipelihara dan dimajukan oleh
sebuah Negara Berkebajikan.
57.
Kedatangan Islam pula menyaksikan sejak awalnya pelaksanaan Islam memerintah
negara, dilaksanakan dalam kegiatan ekonomi yang penting bagi seluruh manusia
sejagat, bukan sahaja kepada penganut Islam. Dalam perkara ibadat wajib
berbeza, dalam perkara muamalat wujudnya pergaulan yang adil di kalangan
masyarakat majmuk.
58. Apabila
konsep Ihya al-Mawat memiliki tanah pertanian dan kebebasan perdagangan tanpa
belenggu yang zalim, diberi hak kepada seluruh kegiatan ekonomi rakyat termasuk
kepada penganut bukan Islam dalam perkara yang dizinkan oleh agama mereka dan
diharamkan oleh Islam, yang akhirnya menyebabkan rakyat tertindas berbagai kaum
menerima pentadbiran Islam.
59. Konsep
zakat adalah kebajikan pengumpulan hasil dan pengagihannya yang adil secara
ibadat bagi penganut Islam sepanjang hidup, walau pun tanpa diurus oleh
kerajaan tetapi zakat tetap diwajibkan ke atas penganut Islam dan tidak wajib
bagi penganut bukan Islam. Seterusnya dipanjangkan dalam konsep mengendalikan
sistem percukaian yang tidak berkait dengan ibadat kepada penganut bukan Islam,
samada sumber asli atau percukaian ke atas kegiatan ekonomi rakyat. Ianya
diambil daripada mereka yang berada, tidak membebankan rakyat miskin dan
menganggur. Mengagihkan harta untuk rakyat dengan konsep adil terhadap semua
dan perbelanjaan urusan kerajaan yang tidak bakhil dan boros. Zakat wajib
dikekalkan kerana ibadat harta bagi penganut Islam. Ada pun cukai boleh
dihapuskan apabila tidak memerlukan.
60. Dalam
pengagihan sumber zakat, para ulama bersepakat diutamakan penduduk di daerah
zakat diambil, maka begitulah juga konsepnya dalam sistem pengagihan sumber
negara. Bermakna kerajaan pusat tidak boleh sewenang-wenangnya mengangkut hasil
mana-mana wilayah, tanpa menilai sepenuhnya keperluan kesejahteraan hidup di
wilayah berkenaan. Rasulullah S.A.W. bersabda :
الناس شركاء في ثلاثة , الماء والنار والكلأ
[Manusia itu
bersyarikat dalam tiga perkara (menjadi keperluan umum) iaitu air , api dan
padang ragut]
Hadirin dan
hadirat sekelian,
61.
Konsepnya ialah, keperluan umum hendaklah dikawal oleh kerajaan supaya tidak
ada kalangan yang mengambil kesempatan bagi diri mereka dan kroni daripada
perkara yang menjadi kepentingan umum. Maka keperluan umum sudah tentu berubah
mengikut peredaran zaman, sehingga dipanjang dalam perkara-perkara yang lain
seperti pendidikan, kesihatan dan segala kemudahan awam yang lain.
62. Bahkan
di zaman negara Islam yang bertamadun berjaya diwujudkan penginapan dan khidmat
percuma untuk para musafir yang dinamakan Musafir Khanah. Di sinilah maka cukai
yang membebankan rakyat seperti tol boleh dihapuskan, pendidikan percuma dan
rawatan percuma boleh dilaksanakan.
63. Bagi
mengurang beban kos saraan hidup seharian ketua isi-rumah, pendekatan yang
wajar adalah untuk meningkatkan „pendapatan boleh berbelanja‟ dan bukan
dengan pemberian „one-off‟ secara bermusim. Mengurangkan kos utiliti seperti air dan elektrik,
kesihatan, pelajaran, pengangkutan serta keperluan makanan asas jelasnya akan
meningkatkan „pendapatan boleh berbelanja‟ ketua isi-rumah serentak mengangkat kehidupan yang lebih bermakna dan
tidak hanya bergantung kepada subsidi dan „pemberian‟ one-off
yang diamalkan oleh kerajaan UMNO-BN secara bermusim.
64.
Kebajikan negara disumbangkan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama,
maupun faktor kedudukan geografi wilayah jauh atau dekat; semuanya dinilai
kepada tahap keperluan memenuhi kesejahteraan hidup rakyat terlebih dahulu.
Natijahnya menjalinkan hubungan yang baik di antara kerajaan dan rakyat, dan di
kalangan rakyat majmuk. Keadaan yang berbeza dengan kerajaan sebelumnya samada
di kalangan bangsa sendiri, atau penjajah yang menakluk. Maka kedatangan Islam
diterima dengan rela hati oleh seluruh rakyat tempatan. Di sinilah menunjukkan
kepada kita, betapa luasnya contoh jalan penyelesaian yang diberikan oleh Islam
apabila kita terbuka mendengar dan bersedia untuk melaksanakannya.
Hadirin dan
hadirat sekelian,
MEMBANGUN
SEMULA SISTEM PENDIDIKAN
65. PAS
berkewajipan memperkenalkan agenda pembangunan insan yang sebenarnya mengikut
acuan Allah Pencipta manusia dan seluruh alam. Kegagalan sistem pendidikan
menjadikan negara dan bangsa ketinggalan, lemah dan hina.
66.
Pendidikan adalah pembangunan insan, mestilah mengikut acuan kejadian manusia
yang ditetapkan Allah mengikut fitrahnya. Kemusnahan tamadun umat terdahulu
yang hebat kerajaan dan bangunannya adalah kerana tidak membangun insan
mengikut fitrahnya, sehingga tidak melaksanakan tugasnya dengan baik dan adil
di bumi Allah, berlaku kezaliman bukan sahaja terhadap rakyat yang lemah
ditindas, bahkan terhadap ilmu. Tokoh-tokoh ilmuan dihapuskan setelah mencapai
kejayaan yang disumbangkan kepada negara dan bangsanya supaya tidak dipindahkan
kepada pihak lain atau dianggap mencabar kedudukan pemimpin. Ada ahli falsafah
yang dibunuh, arkitek yang dipotong tangannya. Keadaannya lebih melampau
apabila menolak para Rasul yang dipilih oleh Allah dengan ilmu wahyu.
67. Tamadun
bangsa – bangsa tersebut masih ada peninggalan sejarahnya yang boleh dilawati
untuk diambil iktibar, bahawa pembangunan dengan ilmu sains dan teknologi tanpa
hidayah kepada akal dan pembangunan rohani di dalam jasadnya berakhir dengan
kemusnahan. Kini kita sedang menyaksikan tanda bermulanya kemusnahan tamadun
barat yang menjadi senjata kezaliman terhadap diri manusia dan alam sekitarnya.
68. Inilah
yang sedang kita lihat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025
yang dibentangkan oleh kerajaan BN. Visi sistem pendidikan yang dicadangkan itu
gagal diberikan roh pegangan agama yang tulen kepada pelajar untuk berdepan
dengan cabaran krisis akhlak di masa depan; sementara pihak kerajaan pula yakin
menjadikan pencapaian akademik negara maju tertentu sebagai kayu pengukur maju
atau tidaknya sistem pendidikan itu sendiri. Guru-guru pula berdepan dengan
satu lagi eksperimen baru, yang terus memberi tekanan baru kepada bidang
perguruan, akhirnya guru menjadi mesin yang bukan lagi melaksanakan peranan
mendidik generasi akan datang. Terkini ialah tindakan kerajaan memperkenalkan
sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah, walaupun ada kebaikannya
tetapi melaksanakannya secara separuh masak tanpa menyediakan infra tenaga
tambahan yang mencukupi akan hanya mendera guru-guru yang terlibat. Selain dari
itu, bidang pendidikan Islam terus berada di luar arus perdana, ditambah pula
dengan cadangan untuk kononnya memperkukuh Pendidikan Islam dan Moral dengan
memberi lebih fokus ke atas “teras nilai” dan “falsafah agama utama” menjelang
2017 adalah satu kenyataan yang membawa masuk fahaman liberalisme dan
mengenepikan semangat agama Islam sebagai agama persekutuan.
69. Maka PAS
berkewajipan membetulkan acuan pendidikan membangun insan. Mengembalikan semula
dasar dan konsep pendidikan Islam, membangun insan merangkumi kewajipan dunia
dan akhirat, dalam perkara fardu „ain dan fardu kifayah, bagi urusan dunia dan
akhirat. Menegakkan kemerdekaan yang sebenarnya bagi rakyat, supaya bebas
daripada pemikiran penjajahan yang masih ada sama ada kesan penjajah asing atau
penjajah dalaman sendiri yang menghilangkan jati diri manusia yang berkemampuan
dengan aqidah, akhlak dan kebijaksanaan ilmu.
70. Peranan
bahasa kebangsaan yang menjadi jiwa bangsa wajib diperkasakan menjadi bahasa
ilmu dan pentadbiran negara dan perpaduan rakyat, bersama bahasa ibunda kepada
semua kaum dan menggalakkan pengajian bahasa asing bagi menimba ilmu yang
bermanfaat daripada mana-mana sahaja, kerana sabda Rasulullah S.A.W. :
الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها . )ابن
ماجه(.
(Kebijaksanaan
itu laksana barang tercicir kepunyaan seorang yang beriman, maka di mana sahaja
dia menemuinya, hendaklah dia memungutnya).
71. PAS
dalam kerajaan Pakatan Rakyat wajib memastikan tidak ada kalangan rakyat yang
tercicir daripada pendidikan, mengikut tahap kemampuan masing-masing, sekurang-kurangnya
fardu „ain bagi setiap orang dan diperingkat fardu kifayah dalam urusan agama
dan dunia sebanyak-banyaknya. Peruntukan kewangan pula wajib disediakan oleh
kerajaan dengan secukup – cukupnya dalam kemudahan ini, sebagai melaksanakan
tanggungjawab menyediakan pendidikan kepada rakyat.
72. Mengikut
Islam, sesebuah kerajaan itu tidak rugi termasuk dari segi kewangan dengan
memperkenalkan pendidikan percuma, bahkan memberi pulangan hasil negara yang
meningkat dengan kewujudan rakyat yang dibina insannya dengan saksama dapat
menambahkan hasil negara. Segalanya berlaku apabila rakyat berilmu, beriman dan
budiman. Rakyat tidak menjadi bodoh yang tidak berguna atau pun cerdik menipu
tidak boleh ditumpang.
Hadirin dan
hadirat sekelian,
KOMITMEN PAS
UNTUK RAKYAT
73. PAS juga
bersedia untuk menerima amanah sebagai komponen kerajaan Pusat atau pun negeri
bersama dengan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya yang akan datang ini. Kita
percaya bahawa dengan sokongan rakyat dan keahlian PAS yang merangkumi berbagai
bidang kepakaran, selain dari kalangan teknokrat yang boleh bekerjasama dengan
kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat, kita bersedia untuk menunaikan amanah yang
lebih besar ini.
74. PAS
percaya dan yakin bahawa peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat akan berlaku
dengan lancar dan aman sekiranya rakyat memberikan amanahnya kepada kita.
Kepada rakyat keseluruhannya, jangan takut untuk berubah kepada yang lebih
baik. Maka sekiranya kita gagal melaksanakan amanah itu, rakyat bolehlah
menghukum kami dalam pilihanraya yang seterusnya
75. Komitmen
besar PAS ini memberikan suatu jaminan bahawa jentera kerajaan Pusat atau
Negeri yang terdiri dari pegawai berbagai peringkat ini tidak akan dizalimi
atau dibalas dendam, kerana merekalah yang akan melaksanakan dasar kerajaan
semasa yang dipilih oleh rakyat. Hubungan yang baik dengan institusi Raja
berpelembagaan akan dipertahankan, sebagaimana komitmen bersama Pakatan Rakyat
yang kita ikrarkan.
76.
Sekiranya diberikan amanah ini, maka PAS juga akan mengusulkan supaya
dimansuhan akta-akta yang zalim, mengembalikan kewibawaan institusi penting
dalam negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR), instituti pendakwaan dan kehakiman, Parlimen Malaysia,
pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan sebagainya. Perjalanan pilihanraya
yang lebih adil dan bebas akan terus diperjuangkan oleh PAS, walaupun setelah
kita sampai ke Putrajaya nanti kerana inilah ciri sebuah negara demokrasi yang
sihat.
Hadirin dan
hadirat sekelian,
77. Kepada
rakyat bebagai kaum dan etnik di Sabah dan Sarawak pula, marilah kita sama-sama
bangunkan negara Malaysia ini secara bersama bergandingan tenaga dengan penuh
adil dan saksama. Hak rakyat peribumi Sabah dan Sarawak yang dijanjikan akan
dilaksanakan, selain dari komitmen bersama Pakatan Rakyat menerusi deklarasi
penting semasa kita menyambut ulangtahun Hari Malaysia pada 16 September yang
lalu. Hasil kekayaan bumi royalti minyak sebanyak 20 peratus akan dipulangkan
kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
78. Selain
dari melaksanakan tekad kita bersama Pakatan Rakyat sebagaimana yang sama-sama
kita rangkakan dalam Buku Jingga, PAS juga ingin melebarkan komitmen untuk
membaiki kerosakan yang ada dalam negara kita sekiranya diberi ruang untuk ke
Putrajaya, selain dari iltizam untuk sama-sama membangunkan negara kita ke arah
yang lebih baik menerusi MANIFESTO khusus yang akan dibentangkan kepada rakyat
bila tiba masanya yang sesuai nanti.
79. Antara
intipati terpenting komitmen PAS ialah, untuk memartabatkan Islam sebagaimana
yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, mengiktiraf dan mengupayakan
peranan generasi muda, meningkatkan dan mengiktiraf peranan wanita, membela dan
memajukan golongan petani, meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan
tanpa membebankan rakyat, agenda khas ekonomi dan pengurusan kewangan,
memperkenalkan keadilan sistem pendidikan, memperkenalkan seni-budaya yang
memartabatkan nilai hidup insan, dan sebagainya.
80. Selain
dari komitmen yang dinyatakan tadi, PAS juga berkongsi nasib yang menimpa
peneroka luar bandar yang ada di waktu ini. Peneroka luar bandar khususnya
berbangsa Melayu yang terdiri daripada 112 ribu peneroka dan lebih 1 juta warga
Felda terdiri daripada peneroka, keluarga dan kakitangan Felda. Sebarang
tindakan yang dilakukan terhadap Felda akan memberi kesan yang besar kepada
kelompok mega rakyat Malaysia ini.
81. Kita
sama-sama lihat, bahawa sejurus selepas Felda di senaraikan di Bursa Malaysia
melalui anak syarikatnya Felda Global Ventures (FGV), ia menjadi satu detik
hitam kepada warga Felda keseluruhannya. Aset Felda yang berupa tanah, ladang
dan pelbagai aset lain yang menjadi hak milik bersama warga Felda, kini sudah
dibuka kepada milikan bebas termasuk syarikat-syarikat asing atas nama
penyenaraian. Maka berteraskan amanah membela rakyat, PAS menyatakan komitmen
berterusan untuk menyelamatkan tanah dan seluruh aset Felda ini dan diagihkan
kekayaan tersebut kembali kepada rakyat sekiranya diberi mandat membentuk
kerajaan nanti.
Hadirin dan
hadirat sekelian,
82.
Baru-baru ini juga, pihak kerajaan telah melaksanakan Sistem Penguatkuasaan
Automatik – AES yang telah mula dikuatkuasakan pada 23 September 2012 yang
lalu. Membantah perlaksanaan AES tidak bermaksud kita bersetuju pengguna
jalanraya memandu sewenang-wenang tanpa mengendahkan undang-undang dan
peraturan jalanraya.
83. PAS di
bawah Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE], telah membantah perlaksanaan
AES ini kerana terlalu banyak kekeliruan dan kecelaruan yang timbul dalam
perlaksanaannya. Antaranya lokasi pemasangan kamera AES di tempat-tempat yang
tidak sesuai dan tidak munasabah. Cara penguatkuasaannya pula melibatkan
syarikat-syarikat swasta yang akan mendapat imbuhan hasil berniaga menerusi
pembayaran saman-saman oleh pesalah lalulintas.
84. Alasan
bahawa kelajuan adalah penyumbang utama kemalangan tidak boleh diterima dengan
mudah dan sewenang-wenangnya. Benar, kelajuan adalah antara punca kemalangan
tetapi bukan punca utama. Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia
pernah menyebut bahawa 85.74% punca kemalangan adalah disebabkan faktor
manusia, 10.62% disebabkan keadaan persekitaran manakala 3.64% lagi adalah
faktor kenderaan. Faktor manusia inilah yang memerlukan pendidikan dan
pendekatan yang lebih holistik bukan dengan memasang kamera-kamera untuk
menyaman sebagai satu bentuk perniagaan.
85. PAS juga
mengulangi komitmen untuk menilai kembali projek-projek mega yang sepatutnya
memberikan pulangan ekonomi kepada negara tanpa membebankan rakyat dan alam
sekitar. Projek-projek seperti Kilang Penapisan dan Petrokimia di Pengerang,
Johor; sepatutnya dilaksanakan tanpa melibatkan pemindahan 25,000 penduduk yang
menghuni selama puluhan tahun di 10 buah kampung tradisi, melibatkan pemindahan
lebih dari 10 buah sekolah, masjid dan sebagainya. Kita tidak menolak projek
ekonomi seperti ini, tetapi PAS menolak kezaliman di atas nama pengambil alihan
tanah secara tidak adil, pemusnahan ekologi kawasan perikanan, yang seterusnya
menjejaskan mata pencarian hidup rakyat sendiri.
86. PAS juga
mengiktiraf peranan golongan perajurit yang banyak berkorban untuk negara. Kita
akan memperjuangkan supaya Yayasan dan Koperasi Persatuan bekas-bekas Tentera
seluruh Malaysia, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Syarikat Perumahan Angkatan
Tentera (SPAT) untuk diberi tenaga baru serta diperluaskan fungsinya, dalam
usaha membangunkan ekonomi tentera dan veteran. Semuanya ini adalah untuk
memastikan bantuan kebajikan berterusan kepada tentera dan veteran sekeluarga
terus terpelihara, selain dari komitmen untuk memberikan bantuan pendidikan
sepanjang hayat kepada tentera, balu tentera dan tanggungan mereka.
Hadirin dan
hadirat sekelian,
PILIHANRAYA
87.
Dikesempatan ini juga, PAS ingin merakamkan ucapan terimakasih yang tidak
terhingga kepada seluruh rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan
Perak yang telah memberikan amanah kepada kita secara bersama dalam muafakat
Pakatan Rakyat, dan pegawai-pegawai dalam pentadbiran kerajaan negeri yang
telah bekerjasama memahami perlunya terus bertugas dengan amanah dengan
kerajaan semasa iaitu kerajaan Pakatan Rakyat, dengan matlamat untuk membawa
perubahan yang lebih baik dari kerajaan yang terdahulu.
88. Kita
menyedari bahawa sekarang ini kita berada dihujung tempoh pemerintahan di
negeri-negeri yang kita menangi menerusi pilihanraya umum ke 12 yang lalu,
sebelum ianya diserahkan kepada rakyat untuk menjadi hakim sekali lagi dalam
PRU-13 nanti. Tentunya tugas terpenting untuk kita ialah, mempertahankan
negeri-negeri yang kita menangi dengan seluruh gerakerja dan tenaga yang kita
miliki dengan penuh keazaman untuk melebarkan kemenangan sehingga sampai ke
Putrajaya, insyaAllah.
89. Kita
juga menyedari bahawa sudah tentunya tempoh hampir lima tahun ini tidak
mencukupi untuk kita lakukan perubahan yang besar yang kita citakan di negeri
yang kita perintah, kerana dalam masa yang sama kita berdepan dengan konsep
federalisma songsang yang memberikan kuasa negeri yang terhad, campurtangan dan
tekanan secara tidak adil oleh kerajaan pusat terhadap pemerintahan kita, tidak
sempatnya kita menukar sistem pentadbiran menyusahkan rakyat yang berakar umbi
dari peninggalan kerajaan BN sejak sekian lama, selain dari beberapa kelemahan
kita sendiri yang perlu dibaiki secara berterusan dengan seni menyelesaikan
masalah secara penuh hikmah.
90.
Kerja-kerja asas pilihanraya yang ada hendaklah diteruskan tanpa henti,
manakala pengarahan gerakerja khusus menjelang pilihanraya ini akan diberikan
oleh jentera Jabatan Pilihanraya PAS Pusat dan Jabatan Pilihanraya Negeri,
Dewan Ulama – Muslimat – Pemuda, dan Lajnah masing-masing yang menyumbang
kepada keseluruhan tugas pilihanraya ini tanpa perlu saya perincikan
strateginya dalam muktamar pada hari ini. Patuhlah kepada arahan-arahan ini
tanpa rasa ragu dan lemah.
Hadirin dan
hadirat sekelian,
91. Ingatlah,
bahawa ungkapan menuju ke Putrajaya yang saban waktu kita laungkan; melalui
program Himpunan Hijau ke Putrajaya, Program PAS ganti UMNO, Himpunan
Kebangkitan Rakyat; semuanya adalah berpijak di atas kenyataan keazaman kita
untuk membawa rakyat sama-sama melakukan perubahan. Ianya bukanlah suatu mimpi,
tetapi turut berada dalam jangkauan hasil dari muafakat bersama dalam Pakatan
Rakyat.
92. Di saat
ini sehinggalah kita berdepan dengan PRU ke-13 nanti, seluruh negara akan
berdepan dengan taufan wang yang akan masuk ke setiap buah rumah dan jiwa
manusia yang ada di tanahair kita ini. PAS akan berdepan dengan ujian getir
rakyat yang dipujuk dengan wang, projek dan sebagainya, selain dari berbagai
cara penipuan yang menjadi senjata utama lawan kita.
93. Maka
kita perlu menyatakan komitmen untuk melakukan tindakan-tindakan tertentu dalam
menghadapi PRU-13 ini. Tindakan Pertama : Petugas PAS perlu banyak bersabar dan
kekal bersiap sedia walaupun terganggu oleh strategi BN melambat-lambatkan PRU,
sebab penundaan tarikh-tarikh PRU adalah sememangnya strategi BN untuk
menurunkan moral serta melemahkan kedudukan kewangan kita, selain dari mereka
juga cuba memancing isu yang akan memerangkap kita. Sepanjang tempoh ini
jugalah, kita akan berdepan dengan tiupan api perkauman dan ketegangan oleh
media arus perdana yang menjadi perkakas dalam mempertahankan kerakusan
kerajaan UMNO-BN. Teguhlah dengan jamaah, nescaya kita akan terus selamat dan
mampu menghadapi dengan cabaran ini.
94. Tindakan
Kedua : Petugas PAS hendaklah banyak membuat persediaan menjaga benteng
masing-masing (Parlimen atau DUN) menghadapi musuh yang amat licik. Marilah
kita meneliti Firman Allah SWT :
يَا أَي هَُّا الَّذِينَ آمَنُواْ اصْبُِِواْ وَصَابِرُواْ
وَرَابِطُواْ وَاتَّ قُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ ت فُْلِحُونَ
Maksudnya :
Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan
tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah
supaya kamu beruntung. (al-Imran : 200)
95. Tindakan
Ketiga : Petugas PAS hendaklah bersedia menangani kedatangan orang-orang Melayu
khususnya golongan muda yang sudah berubah tetapi tidak menzahirkan sokongan
kerana menghormati ibubapa mereka yang masih menyokong UMNO. Sikap orang muda sekarang
amat berbeza dengan generasi terdahulu. Fahamilah, bahawa mereka tidak suka
ceramah yang mencaci-cela orang, mereka menyokong PAS tetapi tidak mahu menjadi
ahli, mereka mahukan pimpinan PAS memperincikan agenda-agenda yang dijanji dan
dan bukan sekadar retorik, mereka cepat cakna perkembangan semasa kerana
sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain menerusi facebook, blog, sms dan
lain-lain.
96. Tindakan
Keempat : PAS juga hendaklah memenangi sebanyak mungkin kerusi yang diamanahkan
kepada PAS dengan keutamaan ialah mempertahankan semua kerusi Parlimen yang
telah dimenangi PRU2008 (24 kerusi), kerusi parlimen yang lain akan diberikan
suntikan kerja yang tersusun dengan disokong oleh pimpinan pusat yang
diamanahkan tugas tumpuan ini, semua parlimen yg ditandingi PAS di Sabah dan
Sarawak akan juga diberi tumpuan khusus bagi menjamin kemenangan bersama.
97.
Sehubungan dengan itu, media parti seperti Harakah dan Harakahdaily, bersama
dengan Jentera Penerangan parti hendaklah bertindak membentuk fikrah dan
menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti yang telah distrategikan. Tempoh
yang ada ini wajar dimanafaatkan sepenuhnya untuk menyampaikan maklumat
pencapaian pemerintahan kerajaan kita kepada ahli-ahli kita, yang kemudiannya
akan menyampaikannya kepada rakyat yang menjadi pengundi senyap dalam
pilihanraya. Konsep mendahulukan kebijaksanaan daripada kemusnahan atau
kemarahan hendaklah diutamakan.
98.
Pilihanraya umum ke-13 ini juga adalah merupakan pilihanraya yang melibatkan
perang siber. Persiapannya bukan lagi seperti pilihanraya yang pernah kita
lalui sebelum sebelum ini. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, petugas-petugas
kita disemua peringkat mesti melakukan reformasi cara bekerja dengan menguasai
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutamanya dalam menghadapi fenomena
perang siber menerusi media baru ICT sekarang ini.
99.
Kerjasama penerangan dan ICT perlu diperkukuhkan segera untuk menghadapi PRU-13
ini dengan mewujudkan satu urusetia berkaitan Media Baru sebagaimana yang
diresolusikan dalam Persidangan ICT dan Media Baru 2011 pada tahun lepas. Saya
menyeru kepada semua pimpinan PAS terutamanya yang terlibat dengan Lajnah
Penerangan dan Jabatan Pilihanraya disemua peringkat melihat potensi ICT dan
Media Baru ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan kempen dan dakwah melalui
laman sesawang, youtube, facebook, twitter, webtv, selain dari ceramah dan
bahan-bahan media cetak.
Hadirin dan
hadirat sekelian,
ARAHAN
KEPADA AHLI DAN PIMPINAN PAS
Marilah
dengan fikiran yang terbuka, penuh keazaman, berbekalkan keimanan kepada Allah
dan janjinya dunia-akhirat, keyakinan kita kepada perjuangan kita ini, maka
saya ingin membuat pengarahan berikut kepada semua perwakilan yang ada pada
hari ini :
1. Saya
mengarahkan kepada semua petugas, ahli dan pimpinan PAS untuk sentiasa
menggenggam matlamat perjuangan untuk Islam, memurnikan fikrah perjuangan,
tidak leka, tidak melaksanakan perkara yang merugikan perjuangan, seterusnya
tidak mencelarukan fikrah dengan urusan yang tidak penting.
2. Saya
mengarahkan agar semua jentera parti : dewan - dewan, lajnah, negeri untuk
menumpukan perhatian kepada kerja pilihanraya, dengan ikrar untuk
mempertahankan negeri yang ditadbir menerusi muafakat Pakatan Rakyat, dan
seterusnya melebarkan ke negeri lain, hinggalah ke pemerintahan Pusat.
3. Saya
menyeru kepada semua Kerajaan negeri di bawah PAS bersama Pakatan Rakyat -
menggunakan masa yang tinggal ini untuk menyelesaikan urusan rakyat, teruskan
kerja kebajikan; tanpa meninggalkan gerakerja parti hingga ke peringkat bawah
dalam masyarakat.
4. Saya
mengarahkan kepada semua pihak dalam parti, supaya berada di tahap
bersiap-siaga yang paling tinggi untuk menghadapi Pilihanraya umum ke-13 – di
mana kita akan berdepan dengan mainan nakal serta provokasi media dan BN yang terus
menerus melaga-lagakan pimpinan PAS ke tahap yang tidak dapat kita bayangkan,
akan terus memporak-perandakan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat sebagai
langkah untuk melemahkan saf dan semangat kita. Jangan mundur, jangan
terkeliru. Dengarlah panduan dan kenyataan rasmi yang diberikan oleh pimpinan
tertinggi dari masa ke semasa. Semua pihak dalam parti perlulah mengelakkan
diri dari melakukan kesilapan yang meremehkan kita di hadapan rakyat.
5. Saya
mengarahkan kepada semua pihak dalam parti supaya melaksanakan tugas
pilihanraya masing-masing dengan penuh hikmah, mengajak rakyat untuk berubah -
bukan memusuhi rakyat, bertemu, bercakap dan menulislah dengan bahasa yang
difahami oleh mereka, semuanya dengan penuh keikhlasan untuk mendapat keredhaan
Allah SWT.
6. Saya
mengarahkan kepada semua saf kepimpinan dan ahli, marilah sama-sama kita
mengeratkan ukhuwwah sesama kita, dan terus memperkukuhkan hubungan hablun
minallah semua petugas dan ahli PAS sebagai senjata yang akan menguatkan
semangat berjuang, tidak mundur, dan memohon pertolongan dari Allah SWT serta
bertawakkal kepada Nya. Suasana menghadapi pilihanraya janganlah menjadi
penghalang kepada memperbanyakkan amal ibadat, solat, puasa sunat, bermunajat
yang akan menjadi benteng dalam perjuangan kita ini kerana kemenangan Islam
adalah kurniaan Allah SWT.
7. Marilah
pada hari ini, kita sama-sama memahami tema muktamar kali ini, serta menyusun
gerakerja dan strateginya nanti dalam semangat tema muktamar NEGARA
BERKEBAJIKAN TERAS PERPADUAN.
PENUTUP
Akhirnya,
dikesempatan ini bagi pihak muktamirin sekelian, saya mengucapkan terima kasih
yang tidak terhingga kepada YAB Menteri Besar Kelantan dan Kerajaan Negeri
Kelantan, seluruh saf kepimpinan Badan Perhubungan PAS Kelantan, PAS Kawasan
Pengkalan Chepa, Pengarah dan Jawatankuasa Induk Muktamar, Jabatan Amal, dan
semua petugas yang terlibat, serta semua pihak yang menjayakan Muktamar ke-58
ini. Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
Seterusnya,
saya RASMIKAN Muktamar Agung PAS kali ke-58 ini dengan menyebut
بسم الله الرحمن الرحيم
dan sabda
Rasulullah SAW :
سيروا على بركة الله
الله أكبر ولله الحمد
No comments:
Post a Comment